BERDOA
Sebagai makhluk atau hamba Allah yang sentiasa di dalam serba
kelemahan dan kekurangan sudah barang tentu kita berhajat
kepada bantuan dan pertolongan orang lain yang lebih kaya dan
lebih berharta, jadi Siapakah gerangan. yang dapat memberi
pertolongan kepada kita dalam erti kata yang sebenarnya.
Sebagai jawapannya, tentulah tidak lain dan tidak bukan hanya
Allah SWT semata-mata yang benar-benar dapat menolong dan
membantu hamba-hamba Nya yang sentiasa memerlukan
pertolongan.
Oleh yang demikian, janganlah sekali-kali kita berdoa atau
memohon kepada sesuatu selain daripada Allah Taala, kerana
perbuatan itu termasuk ke dalam perbuatan syirik yang amat
dibenci lagi dikutuk oleh Allah SWT. Sebenarnya doa adalah
merupakan suatu ibadat yang besar ertinya dalam kehidupan
setiap individu Muslim di alam jagat ini di mana ia mendatangkan
manfaat dan faedah sama ada faedah kebaikan untuk dunia mahu
pun akhirat dan sama ada untuk menolak atau menghindar dari
segala bencana dan mara bahaya sama ada yang sudah berlaku
atau belum berlaku, ini amatlah tepat sekali sebagaimana sabda
Rasulullah s.a.w,
Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat al-Hakam);
“Berdoa itu memberi manfaat terhadap sesuatu. yang telah
berlaku dan dari apa yang belum berlaku,
maka lazimlah kamu dengan berdoa wahai hamba-hamba Allah.”
Dalam sebuah hadis lain pula Baginda pernah bersabda,
Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat Ahmad);
“Tiada seorang pun yang mendoakan dengan satu doa melainkan
Allah akan memberinya
apa yang dipinta atau mencegah daripadanya dari kejahatan
seumpamanya selagi
ia tidak berdoa untuk melakukan dosa atau memutus silaturahim”
Berdasarkan kepada keterangan-keterangan di atas sudah jelas
bagi kita bahawa berdoa amatlah perlu di mana-mana sahaja dan
pada bila-bila masa lebih-lebih lagi di waktu-waktu tertentu
yang memerlukan bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT
yang maha kaya lagi maha berkuasa. Sebaliknya, adalah menjadi
suatu kesalahan yang besar kepada mereka yang tidak berdoa
kepada Allah sebaliknya memohon kepada sesuatu selain daripada
Allah.
Berdoa adalah menjadi suatu bentuk amalan harian bagi orang-
orang yang beriman dan beramal soleh sebagai senjata buat
mereka, bahkan para Nabi dan Rasul juga sentiasa berdoa
kepada Allah di mana doa mereka sering di perkenan dan
diterima oleh Allah, selain dari doa-doa biasa, maka Allah Taala
memperuntukkan kepada para Rasul itu suatu doa yang paling
mustajab lagi dimakbulkan dengan serta merta yang menjadi sakti
atau mukjizat kepada mereka. Mereka telah berjaya dan berhasil
di mana segala kehendak dan permintaannya itu dimakbulkan
kecuali junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. yang masih lagi
menyimpan doa tersebut untuk dipohon kepada Allah di akhirat
kelak, ini telah dijelaskan sendiri oleh Baginda dalam sebuah
hadis,
Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat as-Syihaan);
“Sesungguhnya bagi setiap Nabi itu ada doa yang sesungguhnya
telah mendoakan dengannya pada umatnya
lalu diperkenankan baginya dan sesungguhnya aku telah
menyimpan atau menyediakan doaku
sebagai syafaat bagi umatku di hari akhirat nanti.”
Dalam mencari kemakbulan berdoa, perlu juga mencari masa-masa
yang tertentu di mana doa Allah akan makbulkan seperti
dijelaskan dalam hadis berikut;
Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat at-Tirmizi);
Daripada Abi Umamah katanya: “Ditanya orang kepada
Rasulullah s.a.w. Bilakah doa yang paling
diperkenankan? Jawab Baginda: Ialah separuh malam yang kedua
dan sesudah solat-solat
yang diwajibkan (solat lima waktu)”
Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat ibnu ‘Asaakar);
“Ada lima malam yang tidak ditolak doanya iaitu: Malam pertama
dalam bulan Rejab,
malam Nisfu Syaaban, malam Jumaat, malam Raya Fitrah dan
malam Raya Qurban.”
Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat an-Nasa’i);
“Tidak ditolakkan doa di antara Azan dan Iqamat.”
Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat al-‘Aqiili);
“Tiga golongan di mana doa-doa mereka di perkenankan iaitu; Doa
orang berpuasa, doa orang yang di dalam perjalanan dan doa
orang yang dianiayai.”
Sebelum dari kita berdoa kepada Allah Taala dengan harapan
semoga doa atau permintaan kita itu diterima, maka hendaklah
terlebih dahulu kita mengetahui sedikit sebanyak mengenai
peraturan dan adab-adab berdoa, di antaranya selain dari kita
dituntut membuat pembersihan diri, berwuduk dan menghadap
kiblat maka;
1. Hendaklah memujikan Allah Taala terlebih dahulu, kemudian
diikuti dengan selawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad
s.a.w. mi dapat difahamkan dan sebuah hadis Baginda yang
berbunyi:
Mahfum hadis Rasulullah;
“Apabila berdoa oleh seseorang kamu maka hendaklah dimulakan
dengan memuji Allah dan memuja-Nya kemudian hendaklah
berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w., kemudian berdoalah
dengan apa yang dikehendakinya.”
2. Hendaklah mengangkat kedua belah tangannya ke paras bahu
ketika berdoa dan hendaklah menyapu ke mukanya apabila selesai
dari berdoa. Ini berdasarkan kepada sebuah keterangan hadis;
Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat at-Tirmizi);
Daripada Omar telah redha Allah kepadanya berkata ia: “Adalah
Rasulullah s.a.w. apabila menghulurkan dua tangannya ketika
berdoa, tidak mengembalikan kedua-duanya sehingga menyapu ia
dengan kedua-duanya akan mukanya.”
Dan dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Daud di
mana Baginda bensabda:
Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat Abu Daud);
“Apabila kamu memohon kepada Allah Taala (berdoa) maka
pintalah dengan perut-perut tapak tangan kamu dan janganlah
kamu memohon akan dia dengan belakang tangannya, kemudian
janganlah kamu mengembalikan dia sehingga kamu menyapu
dengannya akan muka kamu, maka sesungguhnya Allah menjadikan
padanya berkat.”
3. Hendaklah percaya dan yakin dengan sepenuh hati bahawa
doanya diperkenankan oleh Allah. Dalam konteks ini junjungan
besar kita Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda:
Mahfum hadis Rasulullah (Riwayat at-Tirmizi);
“Berdoalah sekalian kamu kepada Allah pada hal kamu yakin
diperkenankan dan ketahuilah bahawasanya Allah Taala tidak
memperkenankan doa dari hati orang yang lalai lagi lupa.”
4. Hendaklah berdoa dengan penuh khusyuk dan tawaduk serta
perlahankan suaranya, ini bertepatan sekali dengan perintah
Allah sebagaimana tersebut dalam surah al-A’raf ayat 55.
Mahfum firman Allah (al-A’raf :55);
“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan secara
perlahan (tersembunyi) kerana sesungguhnya Ia tidak suka
kepada orang-orang yang melewati batas.”
Wallahhu’alam
(Petikan dari buku “Himpunan Doa-doa Pilihan dari Al-Quran &
Al-Hadis” oleh Prof. Dato’ Dr. Haron Din & Ust. Ishak Din,
Cetakan 2000)
Lading_Emas
-
No comments:
Post a Comment