Ulama Yang Tegas Dengan Hukum dan Adab-adab Menuntut Ilmu - Bahagian 1
Kesempatan kali ini, ingin ambo siarkan biografi salah seorang dari guru amo iaitu al-Mukarram Tuan Guru Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Biografi ini sebenarnya telah banyak tersebar di internet namun ambo letakkan juga sebagai penghormatan ambo kepada guru ambo yang dikasihi ini. Dan ambo tambahkan sedikit maklumat baru selain daripada apa yang terdapat didalam kitab beliau. Biografi dan sanad ilmu beliau boleh di dapati dari kitab beliau seperti Hadits Musalsal, Ma'lumaat Tahammuk Haul Asbab Ikhtilaf Baina Fuqaha’ dan al-Awaail wa al-Awaakhir wa al-Asaanid.Biografi ini agak panjang, maka ambo pecahkan kepada dua iaitu bahagian pertama dan bahagian kedua.
Lahir: Al-Fadhil Tuan Guru Syaikh Muhammad Nuruddin bin Haji Marbu bin Abdullah Thayyib حفظه الله dilahirkan pada tanggal 1 September 1960M di sebuah desa yang bernama Harus di Amuntai, Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia. Anak ketiga dari tujuh bersaudara. Lahir dari sebuah keluarga yang taat beragama. Bonda beliau bernama Hajjah Rahmah binti Haji Muhammad Sobri (meninggal dunia pada 1984) adalah puteri dari seorang tokoh ulama besar di Kalimantan Selatan.
Pendidikan: Beliau belajar membaca la-Quran dari nenek beliau, ibu saudara beliau (Rokiah dan Zainab) dan kakak beliau (Ruminah). Manakala perdidikan formal beliau dapati di sekolah rendah di kampung Harus. Kemudian pada tahun 1974 beliau belajar di Pondok Pesantren Normal Islam – Rasyidiah Khalidiah - . Pengajian beliau disini tidak lama seluruh keluarga beliau telah berhijrah ke tanah suci Makkah dan menetap disana.
Pada tahun itu juga (1974) beliau meneruskan pengajiannya di Madrasah Shaulathiah al-Hindiyah [sejarah penubuhan madrasah ini boleh didapati disini] sehingga tahun 1982. Selain itu beliau juga mengikuti pengajian yang diadakan umum di Masjidiharam dan juga dirumah para masyaikh.
Pada tahun 1982 beliau telah menamatkan pengajiannya dengan kepujian mumtaz (cemerlang) di Madrasah Shaulathiah. Di samping belajar, beliau juga beliau turut mencurahkan ilmunya kepada para pelajar dari Indonesia. Beliau telah mengajarkan kitab Qatrunnada, Fathul Mu'in, 'Umdatussalik, Bidayatul Hidayah dan lain-lain sebelum naik ke kelas 'Aliyah.
Beliau merupakan murid kesayangan gurunya asy-Syaikh al-‘Allamah Ismail Utsman Zain al-Yamani رحمه الله . Dan guru inilah yang banyak mewarnai dalam kehidupan beliau. Tuan guru beliau ini banyak meluangkan waktunya yang berharga untuk beliau dan sering mengajak beliau untuk menemaninya ke Madinah bagi menghadiri program agama dan juga menziarahi maqam baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم. Sewaktu menceritakan pada abuzahrah perihal Tuan Guru yang dikasihinya ini … beliau kelihatan sebak dan matanya kemerahan menahan sedih.
Beliau mencurahkan segala usaha dan tenaganya serta dirinya mendekati para masyaikh untuk berkhidmat dan juga membekali diri dengan ilmu daripada guru-gurunya. Pernah beliau berkata kepada abuzahrah[Penulis], apa yang beliau nikmati kini adalah hasil dari keberkatan doa para masyaikh yang beliau telah berkhidmat kepada mereka. Dan kini beliau dapati pula apa yang pernah beliau berikan kepada para guru beliau dahulu.
Beliau amat gigih dalam belajar, maka tidak hairanlah kalau beliau mendapat tempat di hati para gurunya. Sebut sahaja ulama' yang ada di Mekah khususnya pasti beliau pernah berguru dengan mereka. Siapa yang tidak mengenali tokoh ulama' yang harum nama mereka disebut orang semisal Syaikh al-Allamah Hasan al-Masyath yang digelar Syaikh-ul-Ulama', Syaikh al-Allamah Muhammad Yasin al-Fadani, yang mendapat julukan Syaikhul Hadits wa Musnidud-dunya, Syaikh Ismail Usman Zin al-Yamani yang digelar al-Faqih ad-Darrakah (guru beliau ini menghafal kitab Minhajut Tholibin), Syaikh Abdul Karim Banjar, Syaikh Suhaili al-Anfanani, as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi al-Maliki, Syaikh Said al-Bakistani dan masih banyak lagi. Kata pepatah arab “cakap sahaja tanpa perlu khuatir”.
Kitab-kitab yang dipelajari beliau bersambung sanadnya hingga kepada pengarang, masyaAllah betapa hebat dan beruntungnya umur beliau dan segala-galanya yang diberikan oleh Allah, tidak salah kalau dikatakan ilmu beliau lebih tua dari umurnya.
Pada tahun 1983 beliau telah melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Azhar asy-Syarif dalam bidang syariah hingga mendapat gelar sarjana muda. Kemudian beliau meneruskan lagi pengajiannya di Ma'had 'Ali Liddirasat al Islamiah di Zamalik sehingga memperolehi diploma am “Dirasat 'Ulya” pada tahun 1990. Menurut beliau, perpindahan ke Mesir ini adalah kerana beliau dan beberapa orang lagi telah dihalang untuk mengajar pengajian di Masjidilharam kerana ketiadaan tauliah. Dan sekiranya mereka berkeras, maka mereka akan di tangkap oleh pihak berkuasa Saudi. Maka pada ketika itulah guru beliau menyarankan beliau untuk ke Mesir, belajar dan mengajar.
- Syaikhul ‘Ulama al-‘Allamah asy-Syaikh Hasan bin Muhammad bin Abbas bin Ali bin ‘Abd al-Wahid al-Masyath رحمه الله (wafat pada hari Rabu, 7 Syawal 1399H) – Syaikh Nuruddin mengambil dari beliau secara wijadah dan munawalah kebanyakkan karangan beliau seperti Is’aaf ahl al-Iman, Is’aaf ahl Islam, Inarah ad-Duja fi Maghazi Khair al-Wara’, Tuhfah al-Sunniyah fi Ilm al-Faraid’, Nasaih Diniyyah wa Wasaya Hamah’ dan lain-lain. Syaikh Nuruddin juga sering menghadiri perhimpunan di dalam majlis-majlis yang diadakan di Ja’ranah, ‘Arafah, Tan’im dan Madinah. Syaikh Nuruddin menceritakan bahwa beliau sering bersama gurunya al-‘Allamah Syaikh Ismail Utsman Zain berziarah ke rumah al-‘Allamah Syaikh Hasan Masyath pada petang setiap hari Khamis. Mereka akan bersholat Maghrib bersama ulama tersohor ini dan tidak akan pulang melainkan setelah mendapat doa dan nasihat dari al-‘Allamah Syaikh Hasan Masyath. Dari Syaikh inilah beliau mendapat nasihat dan wasiat untuk sentiasa mengamalkan Sholawat Masyisiah.
- Al-Faqih ad-Darakah al-‘Allamah al-Jalil asy-Syaikh Ismail Utsman Zain al-Yamani al-Makki رحمه الله (wafat 20 Dhulhijjah 1414H) – Syaikh yang banyak mendidik dan mencorak Syaikh Nuruddin. Antara kitab yang dibacakan pada ulama besar ini adalah Umdah as-Salik. Beliau juga meriwayatkan kitab Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan at-Tirmidhi, Sunan Nasai, Sunan Ibn Majah dan lain-lain.
- Al-‘Allamah al-Jalil, al-Faqih al-Fahhamah asy-Syaikh ‘Abdullah bin Said bin Muhammad Ubadi al-Lahji رحمه الله (wafat di hospital an-Nur, Mekah, jam 10.50 hari Sabtu, 1410H) – dari ulama besar berasal dari Yaman ini, beliau belajar kitab Tafsir Ibn Katsir, Shahih Muslim, Sunan Abu Daud, al-Minhaj, Bulughul Maram, Matan Abu Syuja’, al-Idhoh, al-Qawaid al-Asasiyah dan lain-lain. Telah menjadi kebiasaan Syaikh ’Abdullah Said al-Lahji, selepas selesai pengajian akan bergaul dan beramah mesra dengan murid-muridnya. Beliau akan menceritakan kepada mereka kisah-kisah lucu dan hikayat-hikayat lama yang mana iainya memberi kesan besar ke dalam jiwa murid-murid beliau dan mereka yang mengasihi beliau.
- Syaikhul Hadits wa Musnidud Dunya al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Yasin al-Fadani رحمه الله (wafat 28 Dhulqaedah 1410H) – Syaikh Nuruddin mengambil daripada beliau secara riwayat, ijazah dan wijadah dari kebanyakkan karangan, tsabat dan musalsal beliau.
- Al-‘Allamah al-Jalil asy-Syaikh as-Sayyid 'Atthas رحمه الله
- Al-Faqih al-Musyaarik asy-Syaikh al-‘Allamah Muhammad ‘Iwadh al-Yamani رحمه الله (beliau wafat ketika sedang sujud di dalam sholat) – dari ulama besar ini beliau belajar kitab Tarikh al-Adab al-‘Arabi, Shahih al-Bukhari, Umdah al-Ahkam, Muwatho Imam Malik, Misykat dan lain-lain.
- Syaikh Zakaria Bila al-Indonesia رحمه الله (wafat 1411H) – beliau mempelajari kitab Rawa`iq al-Bayan di dalam mentafsirkan ayat-ayat hukum, Fathul Mujib fi Syarh Manaasik al-Khatib, al-Hala wal Haram oleh al-Qardhawi dan lain-lain.
- Syaikh Muhammad Syibli al-Banjari رحمه الله – beliau mempelajari Matan al-Ajrumiyah, Matan Bina’, Kailani, Mutammimah, Syarh Mukhtasor Jiddan dan Syarh at-Tahrir.
- Syaikh Karim al-Banjari رحمه الله - kitab yang dipelajari dari ulama besar ini adalah Riyadhus Sholihin, Penawar Bagi Hati dan sebahagian dari kitab al-Jauhar al-Maknun (ilmu balaghah).- [gambar disebelah kiri]
- Syaikh ‘Abdul Karim al-Bukhari رحمه الله - kitab sunan at-Tirmidhi sewaktu di Madrasah Shaulatiyah.
- Syaikh ‘Adnan al-Afnani al-Indonisi رحمه الله - Dari ulama ini beliau belajar kitab Jam’ul Jawami’ (ilmu ushul), asy-Syamail al-Muhammadiyah, Mabadi Ilmu Falak, Syarh as-Syansuri pada Matan Rahbiyah dan lain-lain.
- Syaikh Saifurrahman رحمه الله – tenaga pengajar di Madrasah Syaulatiyah. Beliau mempelajari darinya kitab Sunan Nasaie dan Tuhfatus Saniyah (nahwu)
- Syaikh Sahili al-Anfanani رحمه الله – Salah seorang tenaga pengajar di Madrasah Syaulatiyah. Beliau mempelajari darinya kitab Khulashah al-Kalam (ilmu faraid), ilmu hisab, ilmu handasah dan lain-lain.
- Syaikh Said al-Bakistani رحمه الله - beliau menpelajari darinya ilmu mantiq dan shorof.
Diantara ulama yang beliau mengambil manfaat dari muhadarah, nasihat, taujihad, nadwah, pengajian dan karangan mereka, adalah:
- Al-‘Alim al-‘Allamah al-Faqih al-Jalil asy-Syaikh Hasanain Muhammad Makhluf – Mantan Mufti Mesir.
- Al-‘Allamah al-Muhaddits al-Kabir asy-Syaikh Muhammad Zakaria al-Kandahlawi رحمه الله
- Asy-Syaikh al-Jalil al-‘Arifbillah al-Habib ‘Abdul Qadir bin Ahmad as-Saggaf حفظه الله
- Syaikh Muhammad Muntashir al-Kattani al-Maghribi رحمه الله. Beliau tinggal di antara Mekah dan Madinah. Kemudian pada tahun 1409 kembali ke Maghribi dan wafat di Rabat Maghribi pada waktu dhuhur, 8 Shafar 1419H. (gambar sebelah)
- Al-‘Allamah al-Muhaddits al-Habib as-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Hasani al-Maliki رحمه الله
- Al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Makki al-Hind رحمه الله
- Syaikh Muhammad Makhluf رحمه الله
- Al-‘Allamah asy-Syaikh ‘Abdullah bin Hamid رحمه الله
- Al-‘Allamah al-Kabir, ad-Da’iyah ila Islami asy-Syaikh Muhammad Mutawalli asy-Sya’rawi رحمه الله
- Al-Imam al-Akbar asy-Syaikh ‘Ali Jadul Haq رحمه الله
- Syaikh Muhammad Zaki Ibrahim رحمه الله
- Al-Ustaz ad-Doktor asy-Syaikh Muhammad Tayyib an-Najjar رحمه الله
- Asy-Syaikh al-Jalil ar-Rabbani Muhammad ‘Abdul Wahid رحمه الله
- Al-‘Allamah al-Kabir asy-Syaikh Abul Hasan ‘Ali an-Nadwi رحمه الله
- Al-‘Allamah asy-Syaikh al-Faqih ‘Atiyyah Saqr رحمه الله
- Al-‘Allamah asy-Syaikh Hussin رحمه الله
- Syaikh ‘Abdul Hafidz al-Hind رحمه الله
- Al-Ustadz ad-Doktor Ahmad Umar Hasyim حفظه الله,
- Al-Ustadz ad-Doktor ‘Abdusshobur Syahin
- Al-Ustadz ad-Doktor ‘Abdul Fattah asy-Syaikh,
- Al-Ustadz ad-Doktor Nashr Farid,
- Al-‘Arifbillah asy-Syaikh Yusuf Mahyuddin al-Hasani asy-Syadhuli ad-Darqawi حفظه الله
- Al-Habib Salim bin Abdullah bin Umar asy-Syatiri حفظه الله – mendapat ijazah kitab al-Yaqutun Nafis
- Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz حفظه الله – membaca sebahagian dari Iqtibasul Anwar Minal Ihya’ dan Kibrit Ahmar oleh al-Habib ‘Abdullah bin Abu Bakar al-Aidarus (Aidarus al-Akbar).
- Al-‘Allamah Tuan Guru Haji ‘Abdullah Lubuk Tapah رحمه الله
- Al-‘Allamah Tuan Guru Haji Hasyim حفظه الله
- Al-‘Arifbillah Pak Su Mid Bukit Tembaga حفظه الله
- Tuan Guru Baba Hussin Dala رحمه الله, dan ramai lagi.
Kitab-kitab yang dibaca bersama guru-guru beliau. Kitab-kitab yang dibaca bersama para syuyukh beliau, terlalu banyak dan diantara yang beliau ingat adalah:
- Ilmu fiqih: Mukhtasar Safinahtun Naja, Matan Ghayah wat Taqrib, Umdatus Saalik wa Uddatun Naasik, Minhajut Tholibin, Syatah Tahrir, Syarah Mahalli ’ala Minhaj, Syarah ibn Qasim, Tuhfatul Muhtaj, al-Majmu’, Nihayatul Muhtaj, Mughni al-Muhtaj, Asna al-Mutalib, Fathul Wahhab dan lain-lain.
- Bab Manasik: Matan al-Idhoh dan Fathul Mujib fi Syarh Manaasik al-Khatib.
- Bab Faraid: Khulashotul Kalam, Matan ar-Rahbiyah serta syarahnya dan Syarh asy-Syanshuri.
- Tafsir dan Ulum Tafsir: Tafsir Jalain, Tafsir ibn Katsir, Rawa`iul Bayan, Mandzumah al-Zamzami serta syarahnya, Ulumul Qur’an oleh Syaikh Ismauil Utsman Zain dan al-Itqan.
- Aqidah: al-Jariidah dan syarahnya, Fathul Majid oleh Syaikh Nawawi Banten, ’Aqidatul Islam oleh al-Haddad, Qawaid al-’Aqaid oleh Imam al-Ghazali dan lain-lain.
- Hadits: Matn al-Arbain an-Nawawiyah, Bulughul Maram, ’Umdatul Ahkam, Riyadus Sholihin, al-Adzkar an-Nawawiyah, Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan at-Tirmidhi, Sunan an-Nasaie, Sunan Ibn Majah, Misykatul Mashobih, Muwatho Imam Malik, Mukhtasor Ibn Abi Jamrah, asy-Syamail al-Muhammadiyah oleh at-Tirmidhi, Kasyful Ghummah, al-Awail as-Sunbuliyah, Musalsalaat al-Fadani dan lain-lain.
- Mustholah Hadits: Matan al-Baiquniyah dan syarahnya at-Taqriiraatus Saniyah oleh Syaikh Hasan Masyath, Raf’ul Astar syarah Tholi’atul Anwar, Tadrib ar-Rawi oleh Imam as-Sayuthi, sebahagian dari Muqaddimah Ibn Sholah dan lain-lain.
- Tasawuf dan Suluk: Bidayatul Hidayah, Minhaajul ’Abidin, Ihya ’Ulumiddin, Mau’izatul Mu’minin, Hikam Ibn ’Athoillah, Iqadhul Himam, Risalah Mu’awanah, Nashoih ad-Diniyah wal Washoya al-Imaniyah, Risalah Qusyairiyah, al-Hadiqatul Aniiqah, Tanwirul Qulub dan sebahagian dari Lawaqihul Anwar.
- Ushul Fiqh dan Qawaid Fiqh: Idhoh al-Qawaid al-Fiqhiyyah, al-Madkhal ila ’Ilm al-Ushul, Syarah al-Waraqaat, Asyhbah wan Nazair dan Syarah Jam’i al-Jawami’
- Nahwu dan Shorof: Matan al-Aajurumiah, Syarah Mukhtasor Jiddin, at-Tuhfatus Saniyah, Mutammimah, Qatrul Nada, Syarah Ibn ’Aqil, Syarah Asymuni, al-Qawaid al-Asasiyah, Is’afut Thullab syarah Nazam Qaqaid al-I’rab, Matan Bina, Kalilani dan Matan Maqsud.
- Balaghah dan Mantiq: al-Balaghah al-Waadhihah, sebahagian dari al-Jauharul Maknun, Matan Isaghuji dan lain-lain.
InsyaAllah akan bersambung bahagian berikutnya ...............
Rauhah Habib Umar sewaktu Multaqo Ulama di Bogor. Kitab yang dibaca adalah Iqtibasul Anwar Minal Ihya. Dan sewaktu Multaqa baru-baru ini di baca kitab Kibrit Ahmar karya Habib Abdullah Al-Aidarus bin Abu Bakar as-Sakran رضي الله عنه
Tempat berlangsungnya rauhah
Thursday, April 23, 2009
Ulama Yang Tegas Dengan Hukum dan Adab-adab Menuntut Ilmu - Bahagian 2
BIOGRAFI TUAN GURU SYAIKH MUHAMMAD NURUDDIN MARBU ABDULLAH AL-BANJARI AL-MAKKI حفظه الله تعالى
Sambungan dari entri sebelumnya
Menabur jasa dan menyandang gelaran ‘Azharus Tsani’. Setelah menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar beliau menumpukan perhatiannya untuk mencurahkan ilmunya kepada ribuan para pelajar yang datang dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand yang menuntut di Universiti al Azhar sehingga beliau mendapat gelaran al Azharus Tsani (Azhar ke Dua) satu julukan yang terhormat dan tulus dari masyarakat Universiti al Azhar sendiri.
Beliau mengadakan kelas pengajian yang diberi nama “Majlis Al-Banjari Littafaqquh Fiddin” semenjak tahun 1987 sehingga 1998 yang mana buat pertama kalinya diadakan di rumah pelajar Johor dan rumah pelajar Pulau Pinang, di dewan rumah Kedah dan di dewan rumah Kelantan dan juga di Masjid Jami’ al Fath di Madinah Nasr. Di samping mengajar beliau juga menghasilkan kitab-kitab agama berbahasa Arab dalam pelbagai bidang yang banyak tersebar luas di Timur Tengah dan juga di negara Malaysia. Boleh dikatakan setiap para pelajar yang belajar di Al-Azhar Mesir semasa beliau berada di sana pernah menimba ilmu dari tokoh ulama' muda ini. Dan memanglah semenjak dari awal keterlibatannya dalam dunia ta'lim beliau telahpun menazarkan diri beliau untuk terus menjadi khadim (orang yang berkhidmat) untuk penuntut ilmu agama. Semoga Allah Ta’ala mengurniakan kesihatan dan ke'afiaatan kepada beliau serta keluarganya dan memberikan kesempatan yang seluasnya untuk beliau terus mencurahkan ilmu dan terus menghasilkan karya ilmiah.
Menghasilkan Karya Ilmiyah. Beliau telah melibatkan diri dalam dunia penulisan semenjak tahun 1991. Beliau telah menghasilkan karangan dan juga mentahqiq kitab-kitab mu'tabar tidak kurang daripada 50 buah karangan kebanyakkannya dalam bahasa Arab.
Antara kitab-kitab karangan beliau :
- الإحاطة بأهم مسئل الحيض والنفاس والاستحاضة
- تساؤلات وشبهات وإباطيل حول معجزة الإسراء والمعراج والرد عليها
- المختار من نوادر العرب وطرائفهم
- آدب المصافحة
- من هو المهدى المنتظر؟
- المجال الإقتصاد في الإسلام
- بيان مفتى جمهورية مصر العربية حول فوائد البنوك في ميزان أهل العلم
- سفر المرأة (احكامه و آدابه)
- الدرر البهية في إيضاح القواعد الفقهية
- معلومات تهمك
- أسماء الكتاب الفقهية لسادتنا الأئمة الشافعية
- أحكام العدة في الإسلام
- آراء العلماء حول قضية نقل الأعضاء
- أدلة بحريم نقل الأعضاء الآدمية
- الأمر بالمعروف والنهى عن المنكر في الكتاب والسنة
- العبر ببعض معجزات خير البشر صلى الله عليه وسلم
- محمد نور الدين مربو البنجاري المكي والأحاديث المسلسة
- الجوهر الحسن من أحاديث سيدنا عثمان عفان رضي الله عنه
- اسمى المطالب من بعض أحاديث سيدنا على بن أبي طالب رضي الله عنه
- مراقي الصعود من بعض أحاديث سيدنا عبدالله بن مسعود رضي الله عنه
- إفادة العام والخاص من بعض أحاديث سيدنا عبدالله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما
- الكواكب الدري من أحاديث سيدنا أبي سعيد الخدري رضي الله عنه
- الكواكب الأغر ببعض أحاديث سيدنا عبدالله بن عمر رضي الله عنهما
- زاد السلك من أحاديث سيدنا أنس بن مالك رضي الله عنه
- الإقتباس من أحاديث سيدنا عبدالله بن عباس رضي الله عنهما
- فيض الباري حول بعض أحاديث سيدنا أبي موسى الإشعري رضي الله عنه
- الردة أسبابها وأحكامها
- توفيق الباري لتوضيح وتكميل مسائل الإيضاح للامام النووي
- مكانة العلم والعلماء وآداب طالب العلم
- dan lain-lain
- رسالة المعاونة والمظاهرة والمؤازرة
- قرة العين بفتاوى الشيخ إسماعيل عثمان زين
- رفع الأستار عن دماء الحج والاعتمار
- شروط الحج عن الغير
- الحسن البصري
- إقامة الحجة غلى أن الإكثار في التعبد ليس ببدعة
- خصوصيات الرسول صلى الله عليه وسلم
- يستان العارفين
- dan lain-lain
Di samping itu beliau juga dijemput mengadakan pengajian dan ceramah bulanan atau mingguan di masjid-masjid, sekolah-sekolah. majlis-majlis perayaan agama malah suara beliau telah lantang bergema menyampaikan syiar agama di hotel-hotel, di pejabat kerajaan sama ada di negeri Kedah Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terangganu. Setiap kali pengajian yang diadakan pasti akan bertambah jumlah hadirin yang tidak mahu ketinggalan menimba ilmu dan menerima siraman rohani daripada beliau.
Walaupun beliau sudah kembali ke Indonesia, namun sehingga kini majlis pengajian yang dipimpin beliau masih aktif di Selangor, Wilayah Persekutuan, Kedah, Pahang dan lain-lain. Dan beliau juga mengadakan daurah tahunan di Malaysia. Beliau juga di jemput untuk mengadakan majlis pengajian di Kalimantan dan Singapura.
Membuka pesantrennya sendiri. Selepas 4 tahun menabur bakti di bumi Kedah, akhirnya beliau pulang ke tempat asal kelahirannya untuk menubuhkan pesantren beliau sendiri di Kalimantan dan seterusnya pada tahun 2004 beliau mengasaskan Ma’had az-Zein al-Makki al-‘Ali Litafaqquh Fiddin di Ciampiea, Bogor, Jawa Barat, Indonesia. Nama pesantren ini adalah mengambil sempena nama guru kesayangan beliau al-Faqih ad-Darakah al-‘Allamah al-Jalil asy-Syaikh Ismail Utsman Zain al-Yamani al-Makki رحمه الله. Konsep pesantren beliau adalah “اجتماع القديم الصالح والحديث النافع” yang bermaksud menghimpunkan ilmu-ilmu dulu yang benar (yang berkat) dan ilmu-ilmu baru yang bermanfaat. Disinilah beliau menetap bersama-sama keluarganya sehingga kini. Dan di pesantren inilah beliau mendidik mencurahkan ilmunya dan mendidik bakal-bakal ulama muda untuk meneruskan kesinambungan ilmu yang berteraskan kepada sistem pengajian bersanad.
Diantara Keistimewaan beliau
- Yang pertama dan utama adalah beliau istiqamah dan tekun serta gigih dalam apa jua yang dikerjakannya, terutamanya didalam menuntut ilmu. Sehinggakan walaupun beliau sudah terkenal ‘alim, namun beliau masih mencatit ilmu atau maklumat baru yang beliau pelajari atau dengari dari ulama-ulama lain. Ini telah beberapa kali abuzahrah saksikan sendiri, seperti ketika rauhah Habib Umar sewaktu Multaqa Ulama di Bogor juga di dalam beberpa majlis yang beliau hadiri.
- Beliau mempunyai semangat yang luar biasa tinggi, tegas dengan prinsip dan berdisiplin tinggi, berwibawa, bersemangat ketika menyampaikan ilmu dan tidak pernah kelihatan letih walaupun jauh dan lama masa mengajar.
- Dalam menyampaikan ilmu mengaitkan masalah semasa dengan apa yang disampaikannya sungguh amat luar biasa dan amat memberi kesan sekali kepada para hadirin.
- Sangat menekankan adab-adab ketika belajar kepada murid-murid beliau, yang mana agak sukar didapati sekarang ini guru yang tegas di dalam adab belajar. Bahkan abuzahrah menyaksikan sendiri adab-adab yang beliau tekankan itu dipraktikkan oleh beliau tatkala beliau bertalaqqi atau berada di dalam majlis ilmu yang dipimpin ulama lain.
- Beliau akan duduk iftirasy atau tawarruq ketika mengajar walaupun berjam-jam lamanya dan beliau tidak pernah duduk bersila ketika mengajar. Beliau pernah katakan pada abuzahrah, insyaallah ana tidak anak mengangkat atau meninggikan kaki di hadapan orang lain, melainkan ketika makan kerana mengikut akan sunnah.
Bergambar bersama sebahagian peserta Daurah Tafaqquh Fiddin -1 di Pondok Tuan Guru Haji Salleh, Sik, Kedah pada tahun 2007
Irsyadat al-Fadhil Tuan Guru Syaikh Muhammad Nurruddin: (Petikan ucapan sulung al-Fadhil Syaikh Muhammad Nuruddin hari pertama pengajian di kelas al-Ma'hadul ‘Ali Lit Tafaqquh Fiddin Derang, Kedah - pada hari Itsnin 9 Ramadhan 1419H bersamaan 28 Disember 1998 M.)
- Jangan tersilau dengan gelar PhD atau MA dan sebagainya. Penubuhan al Ma’hadul 'All Littafaqquh Fiddin ini untuk mendapat redha Allah dan membawa misi dan visi Nasratu Dinillah Taala dan Adda‘watu ilallah Menuntut ilmu untuk menolong agama Allah, bukan untuk sijil, syahadah atau untuk dunia serta pangkat.
- Terlalu murah kalau dengan ilmu hanya untuk mendapat gaji lumayan. Kalau belajar hanya untuk duit akan terhenti dengan duit, dapat duit tinggal ilmu.
- Tanggungjawab kita lah terhadap ilmu di tanahair khususnya dan seluruh dunia umumya.
- Siapkan diri untuk berkorban demi ilmu, agama. Ilmu untuk agama dan akhirat.
- Bekerjalah untuk Islam, jangan biarkan musuh Islam mengukut tanah umat Islam dikeranakan ulama kita tidur sedang kita asyik bertengkar sesama sendiri.
- Jadilah 'abidan lillah (hamba kepada Allah jangan 'abidan li makhluk (hamba kepada makhluk). Menuntut ilmu harus ikhlas baru berkat.
- Berakhlaklah dengan guru yang kita mengaji dengannya. Mohon restu guru, dekati dan dampingi mereka merupakan kunci dan rahsia keberhasilan.
- Hormatilah kitab-kitab, susun dengan baik dan terhormat, jangan letak sesuatu di atas kitab, membawa kitab jangan seperti menenteng ikan sahaja, dakapkan ke dada.
- Akhlak juga harus besar sebagaimana besarnya kitab-kitab yang kita pelajari dan beramallah, jangan sampai belajar di kelas Tafaqquh tapi tak berminat untuk beramal.
- Saya bukan seperti kebanyakan guru silat yang menyimpan langkah-langkah atau jurus-jurus maut yang mematikan dari diketahui murid-murid.
Bergambar bersama perserta Daurah Tafaqquh Fiddin -2 pada tahun 2008 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Akhir dari biografi ini, ambo bawakan beberapa petikan daripada sebahagian kata-kata hikmah beliau, antaranya:
- Kalau terpesona dengan ni’mat dunia yang bersifat sementara, maka kita akan terlepas dengan ni’mat akhirat yang kekal selamanya
- Kasihsayang boleh menyembuhkan segala kepedihan hati
- Apa ertinya yang bebas sedangkan hatinya terpenjara dengan hawa nafsu yang mencegahnya daripada zikrullah
- Kalau kita tidak pernah menangis, maka menangislah kerana kita tidak pernah menangis
- Kenapa malu kita kepadam anusia lebih kita utamakan daripada malu kita kepada Allah?
- Penyakit umat Islam sekarang ini adalah malas, kerana dengannya akan menjadikan segalanya tertangguh
- Kalau masih gelisah di dalam majlis zikir atau majlis ilmu, bererti kita masih terhijab dengan rahmat Allah Ta’ala
- Biar kelu dalam ucapan atau kaku dalam ceramah, tetapi jangan kelu dalam mebaca al-Quran dan kaku dalam mengerjakan ibadah
- Para sholihin, bathin mereka lebih cantik daripada zahir, sedangkan kita sebaliknya
- Apa erti badan yang sihat dan rupa yang cantik, sedangkan belum terjamin keselamatannya daripada dijilat api neraka
- Tiada sesuatupun yang dijadikan Allah itu sia-sia. Apa sahaja yang ditaqdirkan berlaku tersirat hikmah dan tujuan yang tertentu yang tidak difahami oleh akal manusia
- Gigih beribadah diwaktu muda membawa kesan rohani di waktu tua
- Sembunyikan kebaikanmu sepertimana kamu sembunyikan ke’aibanmu
- Lebih elok keliru dalam memaafkan daripada keliru dalam menghukum
- Sesiapa yang menjaga pandangan mata, maka ia akan dianugerahkan kemantapan hati
Sekian dari, abuzahrah, taman sri gombak26 Rabiulakhir 1430H/22 April 2009
~*~Nuruddin Al-Banjari -Menjadi Mufti Ketika Umur 15 Tahun
~*~Nuruddin Al-Banjari -Karamah dan Wali-Wali Allah
~*~Nuruddin Al-Banjari -Berjumpa Nabi Ketika Mimpi
. .
No comments:
Post a Comment