PELUANG terhidang disediakan kerajaan berjaya menguatkan lagi
semangat dan kesungguhan untuk seseorang itu terbabit dalam bidang
perniagaan.
Bermula sebagai penternak ikan secara kecil-kecilan,
kini berkat kegigihan dan bantuan daripada Jabatan Perikanan negeri,
Fatimah Abu Bakar, 47, muncul pengeluar pelbagai produk berasaskan ikan
air tawar.
Dia yang mengusahakan perniagaan di bengkel terletak
di Kampung Pulau Rusa, Pekan, Pahang kini turut memiliki 15 kolam simen
yang menempatkan lebih 15,000 ikan keli.
Selain itu, wanita ini
turut menternak lebih 25,000 ikan patin dan tilapia merah pelbagai saiz
dalam 18 sangkar yang ditempatkan dalam Sungai Pahang.
"Saya
memulakan perusahaan ini sejak 2003, asalnya hanya untuk memenuhi masa
terluang tetapi kini ia menjadi satu perniagaan yang menguntungkan.
"Selain
menjual ikan segar, saya turut terbabit mengeluarkan 10 produk
berasaskan ikan air tawar seperti serunding ikan keli, keropok, temosa
segera, nugget ikan dan popia.
"Setiap minggu saya memerlukan
lebih 20 kilogram ikan keli bersaiz besar iaitu antara satu kilogram
hingga dua kilogram seekor untuk menghasilkan serunding," katanya.
Menurutnya,
sokongan suami, Mohd Yusoff Ismail, 56, yang turut bertanggungjawab
memasarkan produk yang dihasilkan melancarkan lagi perniagaannya.
Rutin
harian Fatimah kini lebih tertumpu kepada aktiviti memberi makan ikan
dalam kolam dan sangkar, selain terbabit dalam menghasilkan pelbagai
produk lain.
Untuk menghasilkan serunding ikan keli, ia hanya
memerlukan daging ikan saja manakala penggunaan rempah tradisional yang
dihasilkannya sendiri lebih menambah keenakan.
Memanfaatkan
proses penyediaan serunding menggunakan teknologi moden, mesin mengacau
dalam kawah akan berpusing selama tiga hingga empat jam tanpa henti.
"Selain
enak dimakan begitu saja atau dijadikan inti temosa dan popia,
serunding yang saya hasilkan turut sesuai dijadikan lauk nasi.
"Dengan
penyediaan yang terbaik dan menggunakan resipi tradisional, serunding
ikan keli saya mampu disimpan sehingga lapan bulan," katanya.
Sehingga
kini, serunding ikan keli yang dihasilkan mendapat sambutan
menggalakkan terutama daripada masyarakat Melayu serta pelancong asing.
Kini
produk berkenaan dipasarkan di beberapa pasar raya terkemuka di Pahang
selain kedai runcit di samping diedarkan oleh Lembaga Pemasaran
Pertanian Persekutuan (Fama).
Menurutnya, selain membekalkan
pelbagai produk berasaskan ikan air tawar, dia turut memasarkan dan
menjadi peraih untuk beberapa jenis ikan seperti tilapia, keli dan
patin.
Setiap minggu sebanyak satu metrik tan ikan segar dijual ke seluruh negeri membabitkan restoran, pasar dan penjual runcit.
"Penggunaan
makanan proses membuatkan ikan saya ternak tidak berbau selain
dagingnya yang lebih enak untuk pelbagai jenis masakan.
"Untuk membantu penternak kecil di daerah ini, saya juga membeli ikan mereka sebagai usaha memenuhi permintaan pengguna," katanya yang bercadang untuk menambah jumlah sangkar.
Bagi Mohd Yusoff, ikan keli yang terhad membuatkan mereka tidak mampu memenuhi permintaan terhadap serunding termasuk ikan segar.
"Kami terpaksa menolak permintaan
beberapa pasar raya terkemuka di seluruh negara yang inginkan serunding
dengan jumlah banyak selain dibekalkan secara berterusan.
"Bagi mengelak masalah berlaku, saya terpaksa membatalkan niat untuk memasarkan serunding ikan keli ke pasaran yang lebih luas," katanya yang mempunyai lima pekerja.
Menurutnya,
untuk menghasilkan serunding yang berkualiti daripada segi rasa dan
ketahanan menyimpan, tumpuan diberikan terhadap kebersihan dan kesegaran
ikan.
Katanya, peralatan moden sumbangan Jabatan Perikanan
negeri bernilai RM40,000 turut berupaya meningkatkan lagi pengeluaran
dan kualiti produk.
"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada
Jabatan Perikanan negeri yang banyak membantu menyediakan kelengkapan
seperti mesin, peti sejuk dan ketuhar yang berjaya melancarkan
pengeluaran.
"Sokongan Fama yang membantu daripada segi pemasaran
turut meningkatkan lagi semangat saya dan isteri dalam perniagaan ini,"
katanya. |
No comments:
Post a Comment