Mengapa Saya Memilih Sejarah Usmaniah? | for everyone |
Mengapa saya memilih untuk membuka blog mengenai sejarah Empayar Usmaniah?
Beberapa tahun yang lepas (semasa menuntut di Universiti Utara Malaysia), penulis memang gemar melayari internet, lebih tepat lagi di makmal/lab di kolej (Kolej Yayasan al-Bukhary)...
Sebelum ini memang penulis suka membuka atau melayari laman-laman web sejarah, khususnya sejarah kejatuhan kota Melaka. Pada pendapat penulis, terdapat satu 'misteri' besar dimana sebuah empayar besar di Asia Tenggara (Empayar Islam Melaka) boleh jatuh diserang musuh, malah lebih membingungkan lagi ialah Melaka yang sering digambarkan 'kolot', 'kuno', 'purba' (dalam cerita Puteri Gunung Ledang-PGL digambarkan orang Melayu tidak berbaju, pusat dagangan dunia di pelabuhan Melaka lebih dhaif dari pasar malam, malah lebih dhaif daripada 'Pesta Malam Kampung Talam dalam filem 'Man Laksa')...
Misteri-misteri tersebut tidak terjawab. Penulis bagaimanapun telah menemui penemuan yang lebih membingungkan (tak silapnya di laman web 'Sejarah Melayu')...bahawa tentera Melaka melawan portugis menggunakan senjata api. Tapi kenapa kalah?
Penulis juga jumpa buku 'Peluru petunang'...sudah sah, orang Melayu sudah lama ada teknologi senjata api...direkodkan oleh Penjajah Portugis, antara harta rampasan perang melaka ialah lebih 2000 laras meriam kecil 'Lela Rentaka'.
Membingungkan...1511M senjata api sudah ada di Melaka.
Penulis juga mengkaji sejarah Jepun, khususnya mengenai Peperangan dan Samurai (masa ni memang tengah 'taksub' dan 'gila' samurai. Lebih-lebih lagi filem 'The Last Samurai' baru keluar di wayang.
Salah satu peperangan yang terkenal ialah 'Pertempuran Nagashino' (Battle of Nagashino) antara pasukan 3000 tentera 'Ashigaru' pakatan Oda Nobunaga-Tokugawa Ieyasu bersenjatakan senapang 'arquebus' melawan 10 000 tentera berkuda Takeda Katsuyori. Semuanya tewas dimamah peluru termasuk 24 panglima Puak Takeda. Peristiwa ini berlaku pada 28 Jun 1575, iaitu kira-kira 64 tahun selepas kejatuhan Melaka. Ini bermakna orang Melayu sudah mengenal senjata api.
Misteri itu berlanjutan sehingga tiba di sebuah Ramadhan. Penulis ingat lagi Program 'Jejak Rasul 11' membawa tajuk "Si Cupak dari Istanbul". Ia mengenai hubungan antara dunia nusantara Melayu dengan sebuah kuasa empayar Usmaniah di Eropah, lebih tepat lagi sebuah kuasa empayar Islam di dunia Barat selepas jatuhnya kuasa Islam di Andalusia, Sepanyol.
Penulis akui, memang tidak tahu apa-apa mengenai sejarah Usmaniah atau Ottoman mengikut sebutan barat. Selepas itu, penulis banyak mengkaji di internet mengenai sejarah Usmaniah dan apa-apa yang berkaitan dengannya.
Tidak banyak bahan sejarah Usmaniah dalam Bahasa Melayu. Antara matlamat penulis, semoga blog ini dapat mengumpulkan artikel sejarah untuk bacaan pembaca yang berbahasa Melayu. Maka idea ini dimulakan sedikit demi sedikit melalui suatu proses jangka panjang iaitu 'terjemahan' dari sumber berbahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Diharap semua pembaca dan pengunjung mendapat manfaatnya.
Maka bermulalah sebuah 'pengembaraan' menelusuri sejarah empayar ini.
Empayar Islam Terakhir!
Ilustrasi Bersejarah tentang Usmaniah | for everyone |
[sumber...: Lambang Kerajaan Turki Usmaniah
. .
No comments:
Post a Comment