Wednesday, June 30, 2010

Hantu dan Puaka

Bicaraku tentang Hantu dan Puaka PDF  | Print |  E-mail
Sumbangan dari : http://mutalibattholib.blogspot.com/2010/03/bicaraku-tentang-hantu-dan-puaka.html

Cerita-cerita Hantu dan Puaka , atau jembalang begitu sebati dan menjadi satu rencah di dalam alam Melayu. Malah dewasa ini banyak cerita-cerita seram dihidangkan kepada kita baik di dalam media cetak mahupun media elektronik. Ada yang tidak percaya dan tak kurang pula yang percaya kewujudan dan pengaruhnya kepada kehidupan manusia. Kerana itulah institusi-institusi bomoh atau pawang masih bertahan dalam dunia yang semakin maju dan moden ini.

Pontianak, langsuir, pocong, dan pelbagai lagi panggilan sering dinisbatkan pada makhluk yang menjadi igauan ngeri kebanyakaan kita. Wajah yang hodoh dan menakutkan sering menjadi satu label kepada Hantu dan Puaka ini. Tanah perkuburan, hutan tebal, dan rumah tinggal pula sering dikaitkan dengan kemunculan mereka.

Kerana takut kepada Hantu dan Puaka inilah ada yang memakai tangkal, ada yang membuat semah, ada yang meminta izin kepada penunggu laut, hutan, dan gua takala ingin masuk ke dalamnya, dan pelbagai lagi kaedah dicipta manusia untuk terhindar dari kecelakaan yang dibawa oleh mereka. Tak kurang pula yang meminta nombor ekor, minyak pengasih, dan ilmu-ilmu paranormal dari mereka ini. Begitulah kuatnya kesan hantu dalam masyarakat kita.

Di sini saya ingin menyatakan bahawa hantu-hantu tersebut tidaklah menakutkan jika dibandingkan dengan hantu yang akan saya nyatakan di bawah ini.

Hakikat Hantu

Hantu dan Puaka yang saya maksudkan ini sememangnya menakutkan. Mereka berupaya memporak-peranda dan memusnahkan hidup seseorang insan. Hantu dan Puaka ini dapat merenggangkan hubungan suami-isteri, merosakkan ikatan kemasyarakatan, dan juga melemahkan perpaduan sesama insan.  Malah mereka dapat menimbulkan seribu-satu masalah dalam kehidupan manusia.

Mereka mampu merasuk diri manusia yang tidak memakai apa-apa ‘Pendinding’. Pendinding yang paling baik adalah tangkal yang diambil dari Al-Quran al-Karim. Bagaimanapun, rasukan Hantu dan Puaka ini masih boleh terjadi andai ikatan tangkal itu longgar atau diikat dengan cara yang salah iaitu bukan dari cara yg ditunjukkan oleh nabi Muhammad SAW.

Bagaimanakah untuk kita melawan hantu-hantu ini? Caranya kita perlu membersihkan atau menyucikan tempat berkumpul atau sarang Hantu dan Puaka tersebut. Nampak mudah tetapi perlaksanaannya memerlukan semangat dan keazaman yang kuat. Andai sarangnya telah dibersihkan maka Hantu dan Puaka tersebut tidak dapat menggangu manusia sewenang-wenangnya.


------------------------------------------------------------------------------------


Bismillahirahmanirahim. Sesungguhnya hantu-hantu tersebut adalah Hasad, Dengki, Khianat, Ujub, Riak, Bongkak, Sombong, Malas, Syak-wasangka, Penakut, tidak Amanah, Kedekut, Pendusta,Tamak haloba dan berbagai-bagai lagi . Segala sifat-sifat keji itulah sebenarnya hantu-hantu yang dapat merosakkan diri manusia. Untuk menghalaunya dari diri kita, kita perlu membersihkan sarang berkumpulnya hantu-hantu tersebut. Di mana?

....inna fil jasadi mudghah, iza solahat, solahal jasadu kulluh, wa iza fasadat, fasadal jasadu kulluh, ala wa hial qalb'

Di dalam jasad ada seketul daging. Jika ia baik maka baiklah keseluruhan jasad, andai ia buruk maka buruklah sekalian jasad. Sesungguhnya ia adalah hati.

Kita mengunakan tangkal al-Quran sebagai pendinding kita. Ianya perlu diikat kemas dan kuat supaya tidak terjatuh atau terlucut. Ia perlu diikat pada apa? Pada lengan? Pada kaki? Pada pinggang? Pada leher? Ianya perlu diikat pada kehidupan kita. Jangan tanggalkan tangkal itu walau sekejap sekalipun.

            Sememangnya kita perlu takut kepada hantu-hantu ini. Kerana apa? Kerana kita takut jika ianya merosakkan iman kita, ketakwaan kita, keikhlasan kita, dan juga akhlak kita. Atas sebab itulah kita perlu melawannya sekuat hati. Inilah yang dipanggil jihad al-kubra (jihad paling besar) oleh Rasulullah SAW.

            Wahai sahabat sekalian, kenapa kita takut kepada hantu-hantu di perkuburan cina, di bawah pokok besar, di dalam rumah tinggal, atau yang berada tengah belantara sedangkan hantu yang paling besar dan menakutkan itu berada di dalam diri kita sendiri?

Di dalam kehidupan nabi dan para sahabat, pernahkah kita mendengar penekanan mereka mengenai kaedah-kaedah menghalau pontianak, mengusir polong, atau menangkap toyol.? Akan tetapi nabi Muhammad SAW menekankan supaya kita bersifat amanah dalam hati, benar dalam percakapan, dan jujur dalam perbuatan. Baginda mengajar kita supaya tidak dengki-mendengki, hasut-menghasut, riak, sombong, dan segala sifat yang negatif dalam diri manusia.

Sesungguhnya itulah hakikat hantu yang sebenarnya. Semoga Allah SWT meredhai kita dan memberi kita kekuatan melawan nafsu kita yang mengila. Wabillahi taufik wal hidayah. Wasalam.

http://mutalibattholib.blogspot.com/2010/03/bicaraku-tentang-hantu-dan-puaka.html
Lading_Emas

No comments:

Post a Comment