Wednesday, June 30, 2010

Seribu Kesah

Kebencian

Posted by Mutalib attholib
Di sebuah sekolah rendah yang terletak di tengah-tengah ibukota, kelihatan seorang guru sedang berjalan perlahan menuju ke kelasnya yang terletak di hujung koridor sekolah. Guru muda tersebut menolak sebuah troli yang di atasnya terdapat sekarung guni yang agak padat berisi tomato. Kerutan di wajahnya menandakan karungan guni tersebut agak berat. Guru-guru lama di sekolah tersebut hanya memerhatikan perlakuan guru pelatih itu dengan perasaan hairan, namun mereka hanya berdiam diri.

Guru muda tersebut asalnya dari desa. Setelah tamat pengajian di maktab perguruan, dia terus ditempatkan di sekolah rendah itu sebagai guru pelatih. Sebagai seseorang yang telah dididik dengan nilai-nilai murni dari keluarga, dia agak canggung melihat anak-anak muridnya yang bersikap egois dan suka membenci. Walaupun masih setahun jagung, mereka sudah mempunyai sifat permusuhan antara sesama sendiri.

Setelah ucapan selamat dari murid-murid kepada guru muda itu, dia menarik kerusinya dan duduk di tengah kelas membelakangkan papan tulis. Pelajar-pelajarnya memandang guru pelatih itu dengan seribu pertanyaan apatah lagi dengan seguni tomato yang terletak di tepi kerusi guru tersebut.

“Wahai muridku sekalian” ujar sang guru membuka kata. “Tentu kamu semua tertanya-tanya tentang seguni tomato yang saya bawa ini” sambungnya lagi. Murid-murid di dalam kelas itu berpandangan sesama sendiri.

“Saya ada suatu aktiviti yang amat menarik!” jelas guru muda itu apabila melihat anak-anak muridnya mengaru-garu kepala.

“Begini, kamu semua dikehendaki mengambil tomato dari dalam guni ini sebanyak mana bilangan orang yang kamu benci” guru pelatih itu memberi arahan.

“Kemudian kamu hendaklah menulis nama orang yang kamu benci itu di atas tomato tersebut” sambung sang guru lagi. “Setiap tomato mewakili satu nama orang yang kamu benci” ujarnya dengan harapan murid-murid itu memahami arahannya.

Pelajar-pelajar cilik itu berpusu-pusu mengambil tomato dari karung guni tersebut. Ada yang mengambil 3 biji, ada yang mengambil 5 biji, malah ada juga yang ambil hingga 10 biji tomato. Kemudian masing-masing ralit menulis nama orang yang mereka benci ke atas tomato masing-masing. Ada yang menulis nama kawan sekelas yang mereka benci, ada yang mencoret nama guru yang mereka tak suka, ada pula yang melakarkan nama artis yang mereka tidak gemari, dan macam-macam lagi. Ada juga kembali semula ke karung guni untuk mengambil lagi tomato sehingga akhirnya habis semua sekali tanpa sisa.

Setelah selesai, guru muda itu mengagih-agihkan beg plastik kosong kepada setiap anak muridnya dan mengarahkan mereka memasukkan tomato-tomato tadi ke dalam beg plastik masing-masing. Murid-murid itu mematuhi tanpa banyak soal.

“Baiklah pelajar sekalian, saya hendak kamu semua membawa beg plastik masing-masing kemana sahaja kamu pergi samada ke sekolah atau pergi bersiar-siar selepas waktu sekolah.” ujar sang guru dengan nada tegas. “Saya mahu kamu buat apa yang saya suruh ini selama seminggu” sambungnya lagi.

Terkejut sang murid apabila mendengar arahan tesebut. “Tetapi kenapa cikgu?” tanya salah seorang dari mereka.

“Ada sesuatu yang amat menarik akan berlaku selepas 1 minggu” jawab guru muda itu sambil tersenyum. Kata-kata sang guru disambut dengan anggukan kepala para pelajar. Walaupun mereka tertanya-tanya motif arahan tersebut, namun mereka juga teruja dengan tugasan pelik itu. Mereka bagaikan tidak sabar untuk menunggu tempoh seminggu yang ditetapkan oleh guru mereka.

----------

Seminggu berlalu. Guru pelatih itu memasuki kelasnya seperti biasa. “Baiklah murid-murid sekalian,  sila keluarkan beg plastik yang berisi tomato kamu dan letakkan di atas meja masing-masing” arah sang guru sejurus selepas diberi ucapan selamat oleh murid-muridnya.

Dengan wajah yang berkerut, mereka meletak beg plastik mereka ke atas meja. Bau busuk mula menyelinap ke rongga hidung mereka yang berada di dalam kelas. “Baiklah, saya ingin anda semua ceritakan apa yang berlaku selama seminggu ini. Ada apa-apa masalah tak?” soal guru muda itu bersungguh-sungguh.

Umpama bertih goreng, mereka mengadu masalah yang mereka hadapi. Namun rata-rata mengadu tentang tomato mereka yang telah busuk dan bonyor. Tak kurang pula yang mengadu tentang berat tomato terutamanya mereka yang yang mengambil hingga lebih 10 biji tomato minggu lalu. Tambah memeritkan, mereka terpaksa mengusung ia ke sana sini selama seminggu.

Guru pelatih itu hanya tersenyum. Dia cuma memandang sahaja gelagat anak muridnya dengan tenang. Setelah mereka habis mengadu, barulah sang guru berdiri dan mula memberi penjelasan.

“Wahai anak-anak sekalian.. Tomato itu umpama kebencian yang tersimpan di dalam hati kamu” jelas guru itu.

“Seperti mana tomato itu, ia akan menjadi busuk dan berulat apabila disimpan terlalu lama” sambung sang guru lagi.

“Semakin banyak kebencian, semakin beratlah jiwa kamu menanggungnya. Ia menjadikan hati kamu lemah dan terkurung dalam kebinasaan” terang guru pelatih itu lagi.

“Ingatlah, kamu hanya mengusung tomato itu seminggu dan kamu sudah mula rasa tidak selesa. Bayangkan kebencian yang kamu usung ke sana ke mari selama bertahun-tahun… Bagaimana agaknya keadaan hati kita?” soal guru dengan nada yang sedikit sebak.

Murid-murid kelas itu melihat air mata bergenang di mata guru mereka. Sesekali mereka menjeling ke arah tomato-tomato yang membusuk di atas meja. Kotak pemikiran anak-anak cilik itu dapat memahami kiasan sang guru. Jestru itu mereka hanya mampu menundukkan kepala.

______________________________________________

M.A: Ingatlah wahai sahabat-sahabat sekalian, bersihkanlah hati kita dari kebencian yang tidak berkesudahan. Kebencian hanya bisa merosakkan akal, hati dan budi kita sendiri. Belajarlah untuk memaafkan. Belajarlah untuk menyayangi. Moga penulis dan sidang pembaca sekalian berada di bawah payung lindungan Allah sentiasa. Wasalam.

10:50 AM

Rumahku Seluas Semesta

Posted by Mutalib attholib
Seorang sufi ditanya berapa besar rumahnya, berapa ramai ahli keluarganya, dan berapa banyak hartanya. Jawab si sufi “rumahku seluas alam semesta, ahli keluargaku adalah segala yang  terzahir bagiku, manakala hartaku adalah segala khazanah yang terdapat di langit dan bumi”.

Bertanya lagi si penanya “jikalau rumahmu seluas semesta, mengapa aku tidak nampak kamu bersiar-siar di atas awan-awan atau beristirehat di dalam tanah yang kita pijak ini?”
Bertanya si sufi pula “aku juga tidak pernah melihat kamu berjalan di atas bumbung rumahmu, malah aku juga tidak pernah melihat kamu berehat-rehat di bawah lantai rumahmu, maka apa yang kau hairankan jika aku pun begitu?”

Terdiam si penanya. Kemudian dia bertanya lagi “Jika ahli keluargamu itu setiap yang terzahir, maka mengapa kamu membeza-bezakan mereka? Aku melihat kau bergurau-senda dengan anak-anak kucing ditepi jalan, tetapi kamu tidak pula melakukan sedemikian dengan harimau-harimau dihutan? Ketawa sang sufi mendengar soalan si penanya. Pabila reda ketawanya dia pun menjawab “Kamu juga bersenda gurau, bermain kuda-kuda, dan kejar-mengejar dengan anak-anakmu dirumah bukan? Tetapi adakah kau akan melakukan perkara yang sama terhadap bapa saudaramu yang garang dan pemarah? Tentu sahaja cara engkau bergaul dengan adik-beradikmu berbeza dengan cara kau bergaul dengan isterimu, begitu juga cara kau bergaul dengan isterimu tidak sama dengan cara kamu bergaul dengan ibu bapamu. Bukankah begitu?”

Si penanya termanggu sebentar untuk mentamsilkan jawapan si sufi. Setelah beberapa minit berlalu dia bertanya kembali, “jika hartamu adalah segala khazanah yang ada dilangit dan dibumi, maka mengapa kau tidak mengambil sahaja makanan-makanan yang dijual dipasar tanpa membayarnya?

Jawab si sufi sambil tersenyum “adakah kamu sanggup mengambil makanan dari mulut anak-anakmu lalu menyuap kemulutmu? Sudahku khabarkan semesta ini adalah rumahku, dan mereka semua adalah ahli keluargaku, maka adakah aku akan bersikap bakhil dan mementingkan diriku sendiri sahaja? Tentu tidak bukan!”

“Walau dimana pun aku berada, disaat suka mahupun duka, aku tetap rasa tenteram dan damai kerana aku berada di dalam rumahku dan tiada apa yang mampu mengugatku di dalam rumahku sendiri” ujar si sufi menutup kata sambil berjalan tenang meninggalkan si penanya.
2:21 AM

Rumi (Sang Pencinta Agung)

Posted by Mutalib attholib
Jalaluddin Rumi memang bukan sekadar penyair, tetapi ia juga tokoh sufi yang berpengaruh pada zamannya. Rumi adalah guru tersohor tarekat Maulawiah --sebuah tarekat yang berpusat di Turki dan berkembang di daerah sekitarnya. Tarekat Maulawiah pernah berpengaruh besar dalam lingkungan Istana Turki Utsmani dan kalangan seniman pada sekitar tahun l648. 

Sebagai tokoh sufi, Rumi sangat menentang pendewa-dewaan akal dan indera dalam menentukan kebenaran. Pada zamannya, ummat Islam memang sedang dilanda penyakit itu. 

Bagi kelompok yang mengagul-agulkan akal, kebenaran baru dianggap benar bila mampu digapai oleh indera dan akal. Segala sesuatu yang tidak dapat diraba oleh indera dan akal, cepat-cepat mereka ingkari dan tidak diakui. 

Padahal, menurut Rumi, justru pemikiran semacam itulah yang dapat melemahkan iman kepada sesuatu yang ghaib. Dan karena pengaruh pemikiran seperti itu pula, kepercayaan kepada segala hakekat yang tidak kasat mata, yang diajarkan berbagai syariat dan beragam agama samawi, bisa menjadi goyah.

Rumi mengatakan, "Orientasi kepada indera dalam menetapkan segala hakekat keagamaan adalah gagasan yang dipelopori kelompok Mu'tazilah. Mereka merupakan para budak yang tunduk patuh kepada panca indera. Mereka menyangka dirinya termasuk Ahlussunnah. Padahal, sesungguhnya Ahlussunnah sama sekali tidak terikat kepada indera-indera, dan tidak mau pula memanjakannya."

Bagi Rumi, tidak layak meniadakan sesuatu hanya karena tidak pernah melihatnya dengan mata kepala atau belum pernah meraba dengan indera. Sesungguhnya, batin akan selalu tersembunyi di balik yang lahir, seperti faedah penyembuhan yang terkandung dalam obat. "Padahal, yang lahir itu senantiasa menunjukkan adanya sesuatu yang tersimpan, yang tersembunyi di balik dirinya. Bukankah Anda mengenal obat yang bermanfaat? Bukankah kegunaannya tersembunyi di dalamnya?" tegas Rumi. (source: http://www.khamush.com/melayu)

Lading_Emas

No comments:

Post a Comment