Monday, August 24, 2009

HAMKA ~ Buya Hamka - Tokoh Ilmuan Nusantara

http://groups.google.com/group/darulsaka/files?upload=1

Buya Hamka - Tokoh Ilmuan Nusantara

2008 Feb 19 at 2/19/2008 Posted by Afham Jauhari Bin Aldi
HAMKA atau singkatan kepada Haji Abdul Malik Karim Amrullah lahir pada 17 Februari 1908 di sebuah desa kecil Sungai Batang, di tepi danau Maninjau Sumatera Barat. Pada 17 Februari 2008 yang lalu merupakan tarikh yang ke-100 sempena kelahiran beliau. Satu majlis ringkas mengingati tarikh kelahiran Prof. Dr. Hamka telah dianjurkan oleh Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) pada tarikh itu di Anjung Rahmat, Gombak.

Tulisan ringkas saya ini akan menceritakan serba sedikit tentang tokoh ulama, pemikir, novelis serta pujangga Islam nusantara ini. Ramai yang masih kurang mengenali peribadi tokoh ini walaupun sering mendengar namanya mahupun sering merujuk Tafsir Al-Azhar karangannya. Sebelum itu, izinkan saya merujuk Prof. Dr. Hamka kepada Buya Hamka dalam tulisan saya ini. Ayah Buya Hamka, Abdul Karim Amrullah atau Haji Rasul adalah seorang ulama serta seorang penulis yang produktif. Datuknya, Amrullah juga seorang yang ulama yang berpengaruh di Minangkabau.

Buya Hamka mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Maninjau sehingga kelas dua. Ketika usia Buya Hamka mencapai 10 tahun, ayahnya telah mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Di situ Buya Hamka mempelajari agama dan mendalami bahasa Arab. Buya Hamka juga pernah mengikuti pengajaran agama di surau dan masjid yang diberikan ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjopranoto dan Ki Bagus Hadikusumo.
  Dalam usia 19 tahun, Buya Hamka melaksanakan ibadah haji ke Tanah Suci Mekah. Tindakan beliau ini ambil kerana beliau merasa kurang mendapat perhatian darpada ayahnya yang sibuk menguruskan pelbagai tugasnya sebagai pengajar di Thawalib. Buya Hamka berangkat ke Mekah tanpa memberitahu ayahnya, bahkan dengan wang yang hanya cukup untuk menyewa kapal dari medan ke Jeddah. Setelah kembali ke tanah air dia diterima oleh ayahnya dengan rasa terharu dan dinikahkan dengan seorang gadis bernama Siti Raham.

Buya Hamka mula-mula bekerja sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di Padang Panjang pada tahun 1929. Buya Hamka kemudian dilantik sebagai dosen di Universitas Islam, Jakarta dan Universitas Muhammadiyah, Padang Panjang dari tahun 1957 hingga tahun 1958. Setelah itu, beliau diangkat menjadi rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan Profesor Universitas Mustopo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun 1960, beliau menjawat sebagai Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia, tetapi meletakkan jawatan itu ketika Sukarno menyuruhnya memilih antara menjadi pegawai negeri atau bergiat dalam politik Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi).

Buya Hamka adalah seorang serba boleh dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan seperti filsafat, sastra, sejarah, sosiologi dan politik, baik Islam maupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. Buya Hamka juga rajin membaca dan bertukar-tukar pikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjopranoto, Haji Fachrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang ahli pidato yang handal.

Buya Hamka juga aktif dalam gerakan Islam melalui organisasi Muhammadiyah. Beliau mengikuti pendirian Muhammadiyah mulai tahun 1925 untuk melawan khurafat, bidaah, tarekat dan kebatinan sesat di Padang Panjang. Mulai tahun 1928, beliau mengetuai cabang Muhammadiyah di Padang Panjang. Pada tahun 1929, Hamka mendirikan pusat latihan pendakwah Muhammadiyah dan dua tahun kemudian beliau menjadi konsul Muhammadiyah di Makassar.

Kemudian beliau terpilih menjadi ketua Majlis Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah, menggantikan S.Y. Sutan Mangkuto pada tahun 1946. Beliau menyusun kembali pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah ke-31 di Yogyakarta pada tahun 1950.

Pada tahun 1953, Buya Hamka dipilih sebagai penasihat pimpinan Pusat Muhammadiah. Pada 26 Juli 1977, Menteri Agama Indonesia, Prof. Dr. Mukti Ali melantik Buya Hamka sebagai ketua umum Majlis Ulama Indonesia tetapi beliau kemudiannya meletak jawatan pada tahun 1981 karena nasihatnya tidak dipedulikan oleh pemerintah Indonesia.

Kegiatan politik Buya Hamka bermula pada tahun 1925 ketika beliau menjadi anggota partai politik Sarekat Islam. Pada tahun 1945, beliau membantu menentang usaha kembalinya penjajah Belanda ke Indonesia melalui pidato dan menyertai kegiatan gerilya di dalam hutan di Medan. Pada tahun 1947, Buya Hamka diangkat menjadi ketua Barisan Pertahanan Nasional, Indonesia. Beliau menjadi anggota Konstituante Masyumi dan menjadi pemidato utama dalam Pilihan Raya Umum 1955. Masyumi kemudiannya diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada tahun 1960.

Dari tahun 1964 hingga tahun 1966, Buya Hamka dipenjarakan oleh Presiden Sukarno kerana dituduh pro-Malaysia. Semasa dipenjarakanlah maka beliau mulai menulis Tafsir al-Azhar yang merupakan karya ilmiah terbesarnya. Setelah keluar dari penjara, Hamka diangkat sebagai anggota Badan Musyawarah Kebajikan Nasional, Indonesia, anggota Majeis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota Lembaga Kebudayaan Nasional, Indonesia.

Selain aktif dalam soal keagamaan dan politik, Hamka merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit. Sejak tahun 1920-an, Hamka menjadi wartawan beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1932, beliau menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. Buya Hamka juga pernah menjadi editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.

Buya Hamka juga menghasilkan karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen. Karya yang pertama-tama yang beliau hasilkan ialah buku berjudul Si Sabariyah, ditulis dengan huruf jawi dan berbahasa Minangkabau. Si Sabariyah merupakan kisah benar seorang gadis bernama Sabariyah yang berkahwin dengan seorang pemuda bernama Pulai, Oleh kerana miskin, Si Pulai pergi merantau meninggalkan kampung sedang Sabariyah tinggal bersama ibunya.

Kemudian ada lelaki kaya yang datang dari perantauan yang ingin mencari isteri. Rupa-rupanya ibunda Sabariyah ingin mempunyai menantu kaya namun Sabariyah menolak. Dalam keadaan seperti itu Pulai pulang dan mendengar perbicaraan keduanya yang ibu Sabariyah mendesak perceraian anaknya dengan Si Pulai. Dpendekkan cerita akhirnya Si Pulai membunuh Sabariyah sebelum membunuh dirinya sendiri.

Selepas karya tersebut yang dihasilkan pada usia yang sangat muda serta mendapat sambutan, beliau semakin giat menulis dengan karya ilmiah. Karya ilmiah terbesarnya ialah Tafsir al-Azhar. Nama Al-Azhar diambil sempena nama Masjid Al-Azhar yang terletak berdekatan rumahnya di daerah Kebayoran Baru, Jakarta, di mana di situlah tempat beliau menyampaikan kuliah tafsir beliau. Antara novel-novelnya yang mendapat perhatian umum dan menjadi buku teks sastera di Malaysia dan Singapura termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Merantau ke Deli.

Buya Hamka pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti anugerah kehormatan Doctor Honoris Causa, Universitas al-Azhar, 1958; Doktor Kehormat Persuratan, Universitas Kebangsaan Malaysia, 1974 (disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Tun Abdul Razak); dan mendapat gelar Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno dari pemerintah Indonesia.

Buya Hamka telah pulang ke rahmatullah pada 24 Julai 1981, namun jasa dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam. Beliau bukan sahaja diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara kelahirannya, malah jasanya di seluruh alam Nusantara, termasuk Malaysia dan Singapura, turut dihargai.

Bersempena mengingati tarikh kelahiran ke-100 Buya Hamka, sebuah kelab pemikiran iaitu Kelab Pemikiran HAMKA di bawah GPTD telah ditubuhkan dan sebuah Program Wacana Pemikiran Hamka akan diadakan pada Sabtu ini 23 Februari 2008 bertempat di Dewan Seminar Anjung Rahmat, Gombak.

Program bermula pada jam 8.30 pagi dan tamat jam 12.30 tengahari dengan bayaran seorang peserta RM3 sahaja. Penceramah jemputan ialah En. Ahmad Naim Jaafar (Peguam Korporat) dan En. Azhar Ahmad (Ketua Penolong Pengarah MITI). Kedua-dua mereka merupakan penggemar yang mendalami ketokohan dan karya Buya Hamka. Program ini terbuka kepada semua pecinta ilmu untuk sama-sama kita tingkat pengetahuan kita terhadap tokoh kesayangan kita ini. Wallahua'lam.

:: Rujukan untuk tulisan ini: Buku berjudul - Hamka dan Transformasi Sosial Di Alam Melayu (ABIM, DBP, UIA & UPM - 2001)

http://afhamjauhari.blogspot.com/2008/02/buya-hamka-tokoh-ilmuan-nusantara.html


Lading Emas

No comments:

Post a Comment