Monday, November 18, 2013

Testimoni ~ Pengusaha Ikan Air Tawar / Sungai

Fatimah Abu Bakar Pengusaha Ikan Air Tawar
Personalities
   
Setiap minggu satu metrik tan ikan segar dijual ke seluruh negeri.
1 of 2
  • TERNAK...Fatimah memberi makan ikan keli dalam kolam simen.
PELUANG terhidang disediakan kerajaan berjaya menguatkan lagi semangat dan kesungguhan untuk seseorang itu terbabit dalam bidang perniagaan.

Bermula sebagai penternak ikan secara kecil-kecilan, kini berkat kegigihan dan bantuan daripada Jabatan Perikanan negeri, Fatimah Abu Bakar, 47, muncul pengeluar pelbagai produk berasaskan ikan air tawar.

Dia yang mengusahakan perniagaan di bengkel terletak di Kampung Pulau Rusa, Pekan, Pahang kini turut memiliki 15 kolam simen yang menempatkan lebih 15,000 ikan keli.

Selain itu, wanita ini turut menternak lebih 25,000 ikan patin dan tilapia merah pelbagai saiz dalam 18 sangkar yang ditempatkan dalam Sungai Pahang.

"Saya memulakan perusahaan ini sejak 2003, asalnya hanya untuk memenuhi masa terluang tetapi kini ia menjadi satu perniagaan yang menguntungkan.

"Selain menjual ikan segar, saya turut terbabit mengeluarkan 10 produk berasaskan ikan air tawar seperti serunding ikan keli, keropok, temosa segera, nugget ikan dan popia.

"Setiap minggu saya memerlukan lebih 20 kilogram ikan keli bersaiz besar iaitu antara satu kilogram hingga dua kilogram seekor untuk menghasilkan serunding," katanya.

Menurutnya, sokongan suami, Mohd Yusoff Ismail, 56, yang turut bertanggungjawab memasarkan produk yang dihasilkan melancarkan lagi perniagaannya.

Rutin harian Fatimah kini lebih tertumpu kepada aktiviti memberi makan ikan dalam kolam dan sangkar, selain terbabit dalam menghasilkan pelbagai produk lain.

Untuk menghasilkan serunding ikan keli, ia hanya memerlukan daging ikan saja manakala penggunaan rempah tradisional yang dihasilkannya sendiri lebih menambah keenakan.

Memanfaatkan proses penyediaan serunding menggunakan teknologi moden, mesin mengacau dalam kawah akan berpusing selama tiga hingga empat jam tanpa henti.

"Selain enak dimakan begitu saja atau dijadikan inti temosa dan popia, serunding yang saya hasilkan turut sesuai dijadikan lauk nasi.

"Dengan penyediaan yang terbaik dan menggunakan resipi tradisional, serunding ikan keli saya mampu disimpan sehingga lapan bulan," katanya.

Sehingga kini, serunding ikan keli yang dihasilkan mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada masyarakat Melayu serta pelancong asing.

Kini produk berkenaan dipasarkan di beberapa pasar raya terkemuka di Pahang selain kedai runcit di samping diedarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Menurutnya, selain membekalkan pelbagai produk berasaskan ikan air tawar, dia turut memasarkan dan menjadi peraih untuk beberapa jenis ikan seperti tilapia, keli dan patin.

Setiap minggu sebanyak satu metrik tan ikan segar dijual ke seluruh negeri membabitkan restoran, pasar dan penjual runcit.

"Penggunaan makanan proses membuatkan ikan saya ternak tidak berbau selain dagingnya yang lebih enak untuk pelbagai jenis masakan.

"Untuk membantu penternak kecil di daerah ini, saya juga membeli ikan mereka sebagai usaha memenuhi permintaan pengguna," katanya yang bercadang untuk menambah jumlah sangkar.

Bagi Mohd Yusoff, ikan keli yang terhad membuatkan mereka tidak mampu memenuhi permintaan terhadap serunding termasuk ikan segar.

"Kami terpaksa menolak permintaan beberapa pasar raya terkemuka di seluruh negara yang inginkan serunding dengan jumlah banyak selain dibekalkan secara berterusan.

"Bagi mengelak masalah berlaku, saya terpaksa membatalkan niat untuk memasarkan serunding ikan keli ke pasaran yang lebih luas," katanya yang mempunyai lima pekerja.

Menurutnya, untuk menghasilkan serunding yang berkualiti daripada segi rasa dan ketahanan menyimpan, tumpuan diberikan terhadap kebersihan dan kesegaran ikan.

Katanya, peralatan moden sumbangan Jabatan Perikanan negeri bernilai RM40,000 turut berupaya meningkatkan lagi pengeluaran dan kualiti produk.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Jabatan Perikanan negeri yang banyak membantu menyediakan kelengkapan seperti mesin, peti sejuk dan ketuhar yang berjaya melancarkan pengeluaran.

"Sokongan Fama yang membantu daripada segi pemasaran turut meningkatkan lagi semangat saya dan isteri dalam perniagaan ini," katanya.
Source : Harian Metro
By : Mohd Rafi Mamat
11 Jan 2011
~*~*~*~*~ ~*~*~*~*~

~***~Hubungi utk BERKURSUS : Tel No. +6012 299 7309 ~***~

. .
~***~LadingEMAS~***~

No comments:

Post a Comment