Monday, December 2, 2013

Usahawan keropok lekor

Usahawan keropok lekor



Proses pembungkusan dilakukan berhati-hati bagi menjamin kualiti keropok lekor berada dalam keadaan yang baik.
Biarpun kedengaran agak janggal bagi sesetengah daripada kita kerana kontraktor dan perusahaan makanan merupakan dua perkara yang berbeza. Namun, tidak bagi Zainal Abidin kerana bagi beliau, kedua-duanya membabitkan perniagaan.
Segalanya bermula apabila isterinya menyertai kursus membuat keropok lekor yang akhirnya menimbulkan minat mereka berdua untuk mengusahakan produk makanan tersebut.
Menurut Zainal Abidin yang juga merupakan pengarah, Keropok House dan Industry Sdn. Bhd., berbekalkan modal pendahuluan RM50,000 dia dan isteri membuka sebuah kilang kecil di kawasan perindustrian Glenmarie di Shah Alam, Selangor.
"Pada ketika itu (peringkat awal) saya masih meneruskan perniagaan sebagai seorang kontraktor sehinggalah perniagaan berkembang maju akhirnya saya mengambil keputusan untuk fokus dalam perusahaan keropok lekor sejuk beku ini.
"Semasa di peringkat awal perusahaan, saya banyak dibantu oleh agensi-agensi kerajaan terutamanya Jabatan Perikanan MalaysiaĆ¢€ katanya ketika ditemui di kilang keropok lekor sejuk beku miliknya di Shah Alam, Selangor pada program Kembara Media Perikanan yang diadakan baru-baru ini.
Ujar Zainal Abidin, mengusahakan produk makanan lebih mudah berbanding bidang kontraktor kerana aliran wang tunai diperoleh setiap hari. Manakala bayaran bagi bidang kontraktor adalah berdasarkan projek yang dilaksanakan.
Ketika ditanya mengapakah memilih keropok lekor berbanding produk makanan lain, Zainal Abidin menjelaskan, ketika berkursus di bawah seliaan Jabatan Perikanan, jabatan tersebut lebih menumpukan kepada produk berasaskan ikan.
Setelah menjalani beberapa kursus pembuatan makanan berasaskan ikan, akhirnya Zainal Abidin memilih perusahaan keropok lekor kerana produk tersebut masih kurang diusahakan di sekitar Selangor.
Perusahaan keropok lekor Zainal Abidin terus berkembang, mendorongnya membuat keputusan untuk terjun terus ke bidang tersebut dan terus mengikuti pelbagai lagi kursus di bawah seliaan Jabatan Perikanan dan agensi-agensi kerajaan yang lain.
Selain kursus, Zainal Abidin turut menerima bantuan peralatan pemprosesan keropok lekor, bantuan pemasaran daripada jabatan dan promosi produk menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Kini Zainal Abidin telah berpindah ke lokasi yang lebih baik dan kadar pengeluaran keropok lekornya juga dapat dipertingkatkan antara 45 hingga 55 tan sebulan.
Kebanyakan produk Keropok House & Industry Sdn. Bhd. dipasarkan di pasar malam, kedai makanan sejuk beku, pasar raya, malah turut berjaya menembusi pasaran luar negara seperti ke Brunei dan juga Singapura.
Antara cabaran menghasilkan produk makanan berasaskan ikan seperti keropok lekor pastinya stok bahan mentah atau isi ikan.
Jelas Zainal Abidin, dia mendapatkan stok bahan mentah berupa isi ikan yang dikenali sebagai oto shimi di sekitar Sungai Besar, Selangor dan juga Pantai Remis, Perak.
Selain menghasilkan keropok lekor, Zainal Abidin kini mula mempelbagaikan produk antaranya otak-otak dan bebola ikan bagi mengurangkan persaingan dengan pengusaha keropok lekor yang semakin bertambah di Selangor.



~***~Hubungi utk BERKURSUS : Tel No. +6012 299 7309~***~

. .
~***~LadingEMAS~***~

Usahawan muda ternak ikan keli

Usahawan muda ternak ikan keli

PROSES suntikan penggalak akan memudahkan ikan keli betina menjalani proses bertelur.


KETIKA mula-mula bapanya menyerahkan urusan penternakan kolam ikan keli kepada Mohd. Aminudin Mohd. Zaibani, dia baru berusia 19 tahun.
Kepercayaan itu diberikan selepas dia selesai menamatkan pengajian di Institut Skill Tech Mara, Melaka dalam kursus Sijil Kemahiran Perikanan.
Bermula waktu itu, kolam yang telah diusahakan sejak tahun 1991 perlu dikendalikannya secara bersendirian.
''Cabarannya cukup besar kerana bukan mudah untuk menguruskan operasi kolam ternakan di kawasan yang besar ini.
''Tambahan pula, saya langsung tidak mempunyai pengalaman selain hanya ada sedikit ilmu yang diperolehi ketika belajar dahulu,'' katanya ketika ditemui di kolam ternakannya di Sungai Besar, Selangor baru-baru ini.
Bercerita mengenai tempoh masa lima bulan pertama selepas mengambil alih kolam berkenaan, dia berhadapan dengan masalah yang cukup besar.
Waktu itu, operasi ternakannya terbantut disebabkan kehabisan makanan ikan dan ubat-ubatan selain keadaan kewangan yang tidak stabil untuk tujuan pusingan modal.
Semuanya gara-gara dia gagal menguruskan perjalanan aktiviti jualan, penternakan dan pembenihan ikan secara konsisten.
''Selepas kejatuhan itu, saya mula berfikir untuk bekerja lebih keras dan memberi fokus terhadap aktiviti penternakan kerana tidak mahu perniagaan yang ayah usahakan selama ini terkubur begitu sahaja.
''Jadi, saya bertekad untuk bangun semula. Saya bermula secara kecil-kecilan dengan membeli benih ikan daripada pengusaha lain, menternak dan kemudian menjualnya kembali.
''Dalam masa enam bulan, saya berjaya mengumpul modal untuk membina perusahaan ternakan baru,'' jelas anak ketujuh daripada lapan orang adik-beradik itu.
Dia yang ketika ini berusia 21 tahun kemudian mengatur pelbagai strategi penternakannya yang didaftarkan di bawah penjenamaan High Tech Aquaculture.
Antara usaha tersebut adalah mencari lebih ramai pelanggan berpotensi selain menimba pengalaman serta ilmu daripada penternak berjaya.
Operasi penternakan dan pembenihan miliknya semakin stabil menjelang Jun 2010.
Melihat daripada segi aktiviti pemasaran, Mohd. Aminudin mengambil pendekatan menjual anak benih dan ikan matang pada harga yang rendah.
''Tujuannya untuk meningkatkan kepercayaan pelanggan dan penternak. Saya juga akan membantu penternak-penternak ini mencari pemborong bagi membeli hasil ikan mereka.
''Apabila anak benih dijual pada harga rendah di samping mempunyai pasaran tetap, saya yakin para penternak pasti akan lebih seronok dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti penternakan ini.
''Secara tidak langsung, saya juga akan dapat mengekalkan lebih 80 peratus pelanggan tetap,'' katanya yang mengusahakan operasi penternakan serta pembenihan ikan keli, puyu, sepat dan tilapia.
Di samping itu, Mohd. Aminudin turut membekalkan spesies ikan lain seperti patin, baung dan jelawat mengikut permintaan.
Setakat ini, dia mempunyai 17 buah kolam simen, 14 kolam separuh simen dan enam kolam tanah yang dibina di kawasan seluas satu ekar dengan pengurusan operasi kolam dibantu oleh tiga orang kakitangan.
Pada masa depan, dia bercadang untuk menukar sistem kolamnya kepada yang lebih moden menggunakan permukaan marmar.
Sistem tersebut mempunyai kelebihan boleh mengurangkan bau selain ikan dapat membiak dengan lebih selesa, tidak mudah luka dan berkualiti.




~***~Hubungi utk BERKURSUS : Tel No. +6012 299 7309~***~
. .
~***~Lading EMAS~***~

Usahawan Ikan Keli - Hj. Mohd Rizaudin bin Salleh

Kisah Usahawan Ikan Keli - Hj. Mohd Rizaudin bin Salleh

Kali ini kumpulan NilamSoft Sdn Bhd akan mengetengahkan kisah tentang seorang usahawan ikan keli yang berjaya di Kluang, Johor Darul Takzim. Hj. Mohd Rizaudin bin Salleh atau lebih selesa dikenali sebagai Hj. Din, merupakan anak kelahiran Kluang, Johor. Beliau merupakan anak bongsu dari 7 orang adik beradik.


Hj. Din telah melibatkan diri dengan keusahawanan ikan keli sejak 2010. Minat beliau terhadap perikanan dan sesuai dengan hobi beliau yang kerap memanjakan diri dengan laut, mendorong beliau untuk memulakan perniagaan dalam bidang ini. Perniagaan ini telah dimulakan oleh kakak beliau sendiri pada 5 tahun yang lepas, iaitu pada tahun 2008. Memandangkan tiada perkembangan dicapai pada ketika itu, Hj. Din membuat keputusan untuk menyambung perniagaan tersebut. Dengan harga pasaran ikan keli pada ketika itu hanya RM2 sekilogram dan tanpa sebarang pinjaman dari mana-mana pihak, beliau telah mengambil alih perniagaan tersebut daripada kakaknya dan menyusun strategi baru untuk mempromosikan perniagaan beliau dengan lebih meluas. Daripada hanya 3 kolam ikan keli, kini sudah meningkat kepada 24 kolam. Siapa sangka, kini harga pasaran borong ikan keli mencecah RM7 sekilogram.

Hj. Din telah bekerjasama dengan pihak FAMA (peraih) untuk mendapatkan bekalan ikan keli dan benih ikan keli. Dengan kajian pasaran selama setahun, banyak faktor-faktor yang dikaji untuk mencuri minat para penjual ikan keli untuk mendapatkan bekalan ikan keli yang berkualiti daripada beliau. Dengan saingan pemborong ikan keli berbangsa lain, tidak begitu sukar bagi Hj. Din untuk mendapatkan peniaga yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu. Antara perkara yang disebutkan kepada peniaga beliau adalah dengan menawarkan harga yang lebih murah dan status kehalalan yang diragui jika membeli daripada pemborong ikan keli berbangsa bukan Melayu. Dengan cara itu, Hj. Din dapat merebut peluang dari peniaga Melayu di Pasar Kluang.

Pemasaran

Apabila ditanya tentang strategi pemasaran, beliau menceritakan bahawa banyak cara yang telah dilakukan untuk menambat hati peniaga ikan keli di Pasar Kluang, Johor. Selain mengkaji kehendak dan keperluan peniaga ikan keli dan juga menawarkan harga yang lebih rendah, beliau juga telah mengupah syarikat pengedar surat khabar di Kluang untuk menyelitkan 'handout pamphlet' ke dalam surat khabar untuk tempoh tertentu. Promosi melalui banner juga dilakukan sebagai satu langkah mengenalkan diri kepada orang awam. Akhirnya, beliau berjaya menambat hati para peniaga sehinggakan bekalan ikan keli daripada beliau menjadi permintaan di Kluang, Mersing dan Johor Bahru. Kini, kolam beliau bukan sahaja dikunjungi oleh peniaga-peniaga ikan, malah juga dikunjungi oleh orang persendirian yang ingin mendapatkan ikan keli yang lebih segar dan murah. Dan pendapatan beliau sehingga hari ini telah pun mencecah puluhan tan ikan keli yang menjadi permintaan ramai.

Kejatuhan.

Sebagai pengusaha dan juga peniaga, Hj. Din tidak terkecuali dalam merasa kerugian dan kejatuhan. Walau bagaimanapun, beliau bernasib baik kerana tidak mengalami kerugian dalam tempoh masa yang lama. Pernah satu ketika, lebih daripada 3 tan ikan-ikan keli yang diusahakan oleh beliau mati tanpa punca. Siasatan yang dibuat tidak dapat mengesahkan apakah punca sebenar yang menyebabkan ikan-ikan tersebut mati. Beliau bernasib baik kerana telah mendapat bantuan daripada pihak FAMA. FAMA memberikan khidmat rawatan kepada ikan-ikan yang tinggal dengan cara hutang. Setelah semuanya kembali pulih, Hj. Din akan membayar khidmat tersebut kepada FAMA secara ansuran. Itu adalah kelebihan Hj. Din, yang telah berjaya menagih kepercayaan daripada pihak tertentu seperti FAMA. Akhirnya, perniagaan beliau kembali seperti sedia kala, malah lebih baik dari sebelumnya.

Perancangan Seterusnya.

Kami sempat bertanyakan apakah perancangan seterusnya? Takkanlah hanya ingin terus mengusahakan ikan keli sahaja? Beliau menjawab, perancangan seterusnya akan melibatkan modal yang lebih besar dan pulangan yang lebih lumayan. Beliau bercadang untuk menternak ikan tilapia dan betutu pula. Menurut beliau, ikan betutu mempunyai permintaan yang tinggi dan harganya sangat mahal sehingga boleh mencecah RM80 sekilogram. Ikan betutu mengambil masa 9 bulan hingga 1 tahun untuk dieksport. Dan jika berhasil, berkemungkinan tahun ini akan dieksport ke Singapura.

Di bawah merupakan persekitaran kolam ikan keli yang diusahakan oleh Hj. Din. Perkara pertama yang dapat dilihat di persekitaran kolam ini adalah kebersihan dan susun atur yang sangat kemas.









~***~Hubungi utk BERKURSUS : Tel No. +6012 299 7309~***~
. .
~***~LadingEMAS~***~