Wednesday, November 6, 2013

IKAN PUYU


RAHSIA PEMBENIHAN IKAN PUYU


1. Sediakan induk matang (berumur lebih 6 bulan ke atas)
2. Kenal pasti jantina: 
>>ikan Puyu Jantan biasanya berbadan kecil, sirip bawah agak panjang, bentuk badan memanjang. Tips paling senang, urut perlahan-lahan di bahagian abdomen ke arah alat sulitnya. Perhatikan ada cecair putih keluar sedikit dari alat sulitnya. Itu menunjukkan ianya' ikan puyu jantan. jadi, asingkan


>>Ikan Puyu Betina pula, senang Shja, badan agak lebar,perut buncit. Urut perlahan-lahan di bahagian abdomen, perhatikan betul-betul akan ada keluar butiran kecil (telur ikan). asingkan


3. Untuk lebih yakin buat nisbah 5 jantan 3 betina. Lebih banyak jantan lagi bagus. Ini untuk mengelakkan Pembenihan anda gagal.
4. Suntik ikan puyu satu-satu dengan Hormon Ovaprim. Lebih kurang 0.05ml ovaprim dengan menggunakan jarum insulin
5. Arah suntikan sama dengan keli.
6. Lepaskan dalam satu tong yang berisi air bersih sedalam 1 kaki. Tong jangan  terlalu besar, saiz lebih kurang 2 kaki X 3 kaki.


7. Tutup tong dengan jaring hitam untuk mengelakkan gangguan.
8. Telur akan keluar dalam tempoh 24 jam.
9. Pastikan betul betul, Telur yang Jernih adalah telur berjaya disenyawakan.
    Manakala Telur yang Putih Susu, adalah yang gagal disenyawakan.
10. Penetasan akan berlaku dalam tempoh24 jam
11. Hari pertama: Rega ikan akan nampak seperti rambut,kecil dan malas bergerak.
12. Biasanya rega akan mula makan selepas 48 jam. Bagi ikan makan artemia, moina atau avantemia.




Ikan Puyu merupakan spesis ikan air tawar yang paling lasak. 
Sawah atau tali air serta sungai kecil menjadi habitat utama spesis ini, bersisik dan bersirip keras memudahkan spesis ini bergerak di atas tanah yang berair, kerana pada ketika tertentu pada musim hujan kebanyakkanya berhijrah dan akan memanjat tebing sungai mencari lopak air yang lain. 
Ia paling layak digelarkan spesis yang suka hijrah.
Spesis ini juga mampu bertahan tanpa air hingga beberapa jam. Ikan puyu mempunyai khasiat yang sama dengan ikan-ikan air tawar yang lain. Kini ikan puyu mulai diternak secara komersial oleh individu persendirian atau organisasi memandangkan terdapat permintaan yang sangat tinggi di kalangan pemborong dan pengusaha industri makanan seperti kedai makan, restoran, hotel dan pasar borong.
Harga bagi ikan ini di pasaran boleh mencecah sehingga RM20 ke RM30 sekilo [tahun 2015]


Mempelajari sedikit mengenai ikan puyu saya nyatakan bahawa ikan ini adalah dari  famili Anabantidae dan dari genus : Anabas dan species ini mempunyai nama saintifik sebagai Anabas testudineus Bloch. Beberapa spesis Ikan Puyu yang lazim kita dengan meliputi kepada 2 jenis ikan puyu yang biasa diternak iaitu Jenis Ikan Puyu Siam dan Ikan Puyu Kampong. Spesis Ikan Puyu Siam ini boleh didapati dikawasan paya air payau. Ikan ini berwarna coklat. Mulutnya runcing sedikit dan terdapat bintik bintik. Puyu jenis coklat ini memang ada di seluruh negara bukan sahaja di Siam, tapi di malaysia kita di panggil ‘Puyu Siam’
 Induk betina puyu ini boleh mencapai 600gm seekor. Anak ikan puyu siam lebih tahan lasak dan pembesarannya lebih cepat berbanding ikan puyu kampong tapi untuk pembesaran yang cepat haruslah diberi makan yang cukup untuk pembesaran ikan puyu ini. Jangkamasa ternak dalam tempoh 3.5 – 4.5 bulan dipelihara dalam kolam. Puyu Kampong. Ialah puyu yang berwarna agak kehijauan dan berbintik-bintik hitam di badan. Puyu jenis ini lambat sedikit membesar untuk mencapai tahap 200 gram. Ikan puyu yang betina mengambil masa 6 bulan. Tetapi kelebihannya ialah rasanya lebih manis dan kurang lemak dari puyu coklat atau puyu siam. Selalu dikatakan terbukti lebih enak rasanya dari baka siam. Tempoh matang ikan puyu puratanya antara 120 – 150 hari[3 ~5 bulan] bergantung pada saiz benih, pemberian makanan dan cara pengurusan air. Sementara ikan puyu jantan beratnya purata 150 gram seekor berbanding puyu betina antara 180 gram - 250 gram seekor. Kajian menunjukkan satu populasi sebanyak 60% adalah ikan puyu betina dan 40% adalah terdiri dari ikan puyu jantan.

Kawasan habitat ikan puyu adalah di sawah atau tali air serta sungai kecil menjadi habitat utama spesies ini, ikan ini hidup berkumpulan dan mudah di jumpai dikawasan air yang bersih serta mempuyai sumber makanan yang banyak. Spesis ini boleh dikesan dengan memerhatikan riak dipermukaan air. ia perlu kepermukaan air untuk megambil udara. Spesis ini sangat aktif pada waktu petang dan gemarkan stuktur sungai atau parit. Teknik menternak puyu dalam kolam adalah paling signifikan. 
Lazimnya kepadatan kolam yang sesuai adalah sebanyak 3 - 4 ekor setiap sekaki persegi dengan kedalaman air 3 - 4 kaki. Ikan puyu yang dipelihara adalah ikan puyu siam yang saiznya agak lebih besar sedikit daripada baka ikan puyu tempatan yang ada di Malaysia. Mengadakan keadaan persekitaran yang menyerupai makanan organik. Adalah digalakkan dipermukaan kolam dipenuhi dengan media seperti keladi bunting, kangkung, kiambang dan kemeling. Mengikut kajian, kolam ternakan yang paling baik adalah kolam tanah kerana habitat ikan ini datangnya dari persekitaran neutral dari tanah. Untuk kolam tanah 20′ x 40′ boleh memuatkan ikan puyu lebih kurang dalam 10k. Untuk pembesaran ikan air tawar, kolam tanah memberi jangka masa pembesaran lebih cepat berbanding kolam-kolam lain. Kolam ikan puyu harus di letakkan tumbuhan seperti kiambang ini bagi menggalakkan ikan puyu mendapat oksigen secara lebih cepat dan mengekalkan suhu air tersebut dan ikan tidak melompat keluar dari kolam . Air tersebut haruslah di letakkan klorin dan di biarkan selama 3 hingga 4 hari. Ikan puyu amat gemar dengan tumbuhan kiambang atau tumbuhan yang hidup di dalam air atau di atas air. Pengurusan kolam yang baik dapat mengekalkan suhu air pada 28C
TERNAKAN IKAN PUYU (Anabas testudineus) merupakan satu usaha yang boleh manjana pendapatan dengan usaha bersungguh-sunggu dan sedikitilmu pengetahuan yang baik. Pengenalan penternakan ikan puyu boleh diperolehi daripada lamanweb, kursus rasmi atau melalui tinjauan teknologi kekawasan projek sedia ada. Kini say adapati memang tidak ramai dikalangan kita di Malaysia yang menjalankan ternakan ikan puyu seperti di negara jiran Thailand. Penulis dapati Ikan Puyu dikenal juga dengan nama ‘Ikan Betok’ dan ada setengah-tengah orang pula memanggil ‘Betik’. Ikan Puyu adalah jenis ikan yang pada umumnya hidup liar di perairan air tawar berukuran kecil dan panjangnya hingga sekitar 25 cm. Setengah-tengah orang memelihara ikan puyu untuk tujuan perhiasan atau mereka menjadikannya platform menghalang kuasa jahat. Ikan ini juga sering dijadikan ikan hiasan didalam rumah kerana ia dipercayai boleh menghalang TOYOL daripada mencuri duit kita (Itu kepercayaan dikampong saya dahulu). Maka boleh dikatakan setiap rumah akan memelihara sekurang-kurang seekor ikan puyu dalam rumah terutama apabila dikatakan banyak duit hilang dicuri toyol. Kini kepercayaan tersebut sudah terhakis. Ikan Puyu biasanya menghuni disawah padi, tasik, paya, lubuk dan anak sungai. Ikan puyu merupakan spesis ikan air tawar paling lasak kerana rupa bentuknya bersisik licin dan bersirip tajam, mempunyai jangka hayat yang lama dan mampu hidup lebih lama diatas darat walaupun tanpa air. Artikel beberapa siri ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi menternak ikan puyu untuk dijadikan bahan rujukan dan bacaan anda semua.


Pembenihan Ikan Puyu boleh daripada proses Pembenihan Semulajadi atau buatan. Benih ikan boleh dihasilkan tanpa suntikan atau secara semulajadi. Untuk menunggu mendapatkan hasil tanpa suntikan sememangnya memerlukan jangka masa yang lama. Walau bagaimanapun penantian ini berpadanan kerana ikan yang dipelihara dapat mengeluarkan hasil tanpa perlu menyuntik. Untuk menunggu pembenihan ikan, harus menyimpan sepasang ikan puyu dalam air yang kotor dan membiarkan selama 6 bulan. Pemberian sejenis hormon khas membantu meningkatkan peratus ikan puyu betina. Hormon ini diberikan semasa anak ikan puyu dilepaskan didalam kolam tanah yang dibina bagi tujuan penternakan ikan puyu secara komersil. Selepas itu barulah dimasukkan kedalam kolam pembesaran, ia harus di beri makan secukupnya iaitu 20 peratus dari berat badan dan di beri 4-5 kali sehari. Waktu makan 4-5 kali sehari perlu di lakukan selama 2-3 minggu pertama dan mengikut jadual.


Ikan puyu betina jauh lebih besar dan lebih cepat besar dari puyu jantan. Kita yang biasa dengan ikan ini akan mendapati perbezaan ketara dari segi marfologi ikan puyu jantan dengan betina apabila menelitinya (Sila lihat foto disebelah). Dalam kita hendak memahirkanproses ini, aktiviti menggredkan ikan puyu dilakukan selepas sebulan dengan mengasingkan puyu jantan yang agak kecil dan panjang. Walaupun ikan ini di ternak sehingga 6 bulan, lazimnya ikan puyu jantan susah membesar dan susah hendak di jual. Ikan puyu boleh memakan apa saja kerana ia jenis omnivour dan ini menyebabkan ikan ini daiketegorikan sebagai ikan yang lasak. Sebaiknya untuk kita berjaya kena menternak puyu betina. Puyu betina memerlukan jumlah lemak dan minyak yang lebih dari ikan-ikan yang lain kerana ikan puyu betina menyimpan lemak sebanyak mungkin untuk bertelur. Bagi meningkatkan bilangan telur pada puyu betina perlu berikan makanan berlemak dan berminyak bagi meningkatkan penghasilan telur dan seterusnya anak ikan puyu. Seekor induk ikan puyu mampu mengeluarkan sehingga 50 ribu anak benih. Ini membolehkan mereka yang ada kemahiran untuk menghasilkan benih puyu tidak bermasaalah untuk mencari benih puyu dengan syarat ia mempunyai kemahiran dan kelengkapan.


Kaedah Penyuntikan ikan puyu perlu dilakukan seperti teknik pembiakan ikan yang lain. Penyuntikan hormon terhadap ikan Puyu dilakukan bersamaan antara induk jantan dan betina (penyuntikan dilakukan hanya sekali). Penulis dapati jenis hormon yang digunakan dalam penyuntikan ini adalah hormon ovaprim dengan dos yang di berikan pada penyuntikan tersebut sebanyak 0.4 ml/Kg induk sama ada ia dos untuk induk ikan betina mahu pun untuk suntikan bagi induk ikan jantan. Setelah selesai dilakukan penyuntikan antara induk ikan puyu jantan dan induk ikan puyu betina maka induk ikan tersebut diletakkan pada bekas pembiakan (kolam mengawan dan bertelur) bertujuan untuk melakukan proses mengawan dan bertelur dengan kadar populasi disyorkan dan perbandingan 3 : 1 
(3 ekor puyu jantan dengan sebanyak 1 ekor puyu betina). 
 Setelah ikan Puyu mengawan dan bertelur dalam masa selama antara 10-12 jam maka induk ikan jantan dan betina diangkat atau dikeluarkan daripada bekas mengawan. Sebaiknya telur ikan puyu yang telah dikeluarkan perlu dibiarkan balam bekas tersebut. Penetasan telur yang telah dihasilkan oleh induk ikan puyu dilakukan pada bekas penetasaan yang diberi udara (aeration) menggunakan pam pengudaraan akuarium sebagai cara untuk menambah oksigen terlarut di dalam air. Sebaiknya masa ini dibuat pemerhatian teliti untuk kita dapat mempastikan kadar peratus kejayaan penetasan. Lazimnya telur ikan Puyu akan menetas antara 10 hingga 12 jam selapas proses ini. Sila baca artikel atas untuk mengetahui proses seterusnya untuk mengetahui ilmu penternakan ikan puyu yang boleh dilakukan oleh usahawan berminat di Malaysia. Ikan Puyu atau Ikan betuk mempunyai potensi yang baik untuk dijadikan aktiviti pertanian yang menguntungkan.


Pemberian makanan untuk ikan puyu perlu untuk mempastikan ikan tersebut membesar dan boleh dituai mengikut jadual. Ikan puyu selalu memerlukan makanan sekurang-kurangnya 2 kali sehari dan mampu untuk mencapai tahap matang 4-6 bulan dimana ia bergantung tahap kesuburan air dan sistem penjagaan. Teknologi kini lebih mudah dan ikan puyu akan cepat membesar dengan formulasi makanan ikan komersil di pasaran seperti keluaran Syarikat Cargill dan Gold Coin dalam bentuk pellet atau butiran (floated granules) yang ada dijual dipasaran (sila lihat foto sebelah). Semasa anak ikan baru dimasukkan kedalam kolam pembesaran ia mesti diberi makanan secukupnya iaitu sebanyak 4-5 kali sehari dimana ini akan menjadikan kadar untuk pembesaran ikan sehingga 20% dari berat badan. Kaedah ini perlu juga dijalankan selama 2-3 minggu pertama. 
 Pada umur 2 - 3 minggu pertama adalah masa yang kritikal dengan memberi makan sebanyak 4- 5 kali sehari kerana ikan puyu adalah sejenis ikan karnibal yang akan makan anak puyu lain atau anak ikan lain didalam kelompok dikolam. Jika ini berlaku maka populasi anak ikan puyu akan berkurangan dalam lokasi pemeliharaan.


Pemberian makan lain seperti bahan usus ayam, baja ikan dan lain-lain bentuk makanan selain daripada pellet dapat membantu mengurangan isu karnibalism dimana cara ini lazimnya mampu  bagi mengurangkan sehingga 50% dari jumlah populasi jika tidak di kawal. Selain itu pemberian makanan ikan puyu yang dicadangkan seperti bahan pallet telur katak campur dengan baja pembesaran iaitu bahan seperti Bakuhanseki sesuai dilakukan. Selain daripada itu boleh digunakan Mix Vitamin digunakan untuk dicampur dengan makanan pallet bagi menanbahkan lagi vitamin dalam makanan ternakan. Kadar campuran yang disyorkan 10 gram mix vit dengan sebanyak 1 kg makanan pallet ikan. Minyak Omega digunakan untuk dicampur dalam makanan ikan bagi menambah pembesaran ikan ternakan. Kadar campuran digunakan adalah 10 ml dengan sebanyak 1 kg makanan pallet ikan. Boleh juga menggunakan media makanan seperti kelapa sawit, buah neram, ulat sagu, cengkerik, ubi kayu, cacing tanah, perut ayam, gewang (mengilat) dan lain-lain lagi. Bahan seperti EM boleh juga dimasukkan dalam kolam ternakan untuk rawatan air atau dicampur dalam makanan ikan. Minyak Omega digunakan untuk dicampur dalam makanan ikan bagi menambah pembesaran ikan ternakan. Kadar campuran 10 ml dengan sebanyak 1 kg makanan pallet ikan. Bahan lain seperti Artemia sebagai alternatif moina untuk makanan rega ikan yang berumur 4 hari -10 hari.


Lazimnya selepas sebulan diternak akan diadakan aktiviti pengredan atau proses pemilihan ikan puyu. Aktiviti ini perlu bagi kita mengeluarkan atau proses untuk mengasingkan ikan puyu jantan, apabila sampai ke peringkat matang ianya susah membesar tidak seperti mana ikan betina. Pengurusan kolam merupakan aktiviti yang penting dan perlu dititikberatkan dalam bidang akuakultur. Pengurusan kolam bermula dari benih ikan mula dilepaskan sehinggalah ikan-ikan yang diternak mencapai saiz pasaran dan kerja-kerja mengutip hasil dijalankan. Pengurusan yang baik akan menentukan kejayaan dalam bidang ternakan ikan, projek dapat diteruskan dan memberi keuntungan kepada penternak. Langkah-langkah yang perlu diberi penekanan dan perhatian dalam pengurusan kolam iaitu dalam aspek kadar pelepasan benih, saiz benih, masa pelepasan benih, penyukatan suhu air kolam, kawalan pertumbuhan plankton, pertukaran air, makanan tambahan, makanan rumusan, musuh ikan, pengendalian lepas tuai, rekod pengurusan kolam dan lain-lain lagi yang perlu diberi perhatian.
Pengawalan Penyakit Ikan Puyu adalah satu perkara yang perlu diberikan perhatian. Dalam cara mengawal penyakit ikan, faktor yang boleh menyebabkan ikan menjadi lemah adalah disebabkan suhu, dimana badan ikan bergantung kepada suhu keadaan sekitaran (air). Sebenarnya faktor suhu merupakan satu faktor yang penting untuk diperiksa selalu. Apabila perubahan suhu berlaku dengan cepat lazimnya ikan puyu akan mengalami kejutan dimana ini akan menyebabkan ikan menjadi lemah. Antara contoh dimana faktor suhu menyebabkan tekanan apabila paras air yang cetek di dalam kolam adalah tidak sesuai. Perkara ini akan menyebabkan di mana air cepat panas waktu tengah hari dan cepat sejuk apabila hujan turun dengan tiba-tiba.yang akan mengejutkan ikan puyu. Ikan yang baru diterima dan masih didalam bekas hendaklah direndamkan dahulu dalam kolam sebelum ikan itu dilepaskan. Jika perkara ini tidak dilakukan maka akan berlaku kejutan kepada ikan. Ini disebabkan perbezaan suhu di dalam plastik dengan air di dalam kolam yang membolehkan ada anakikan akan mati.



Sumber dan mutu air yang digunakan mestilah tidak mengandungi bahan-bahan pencemaran organik, kandungan oksigen hendaklah melebihi 4ppm, kandungan ammonia tidak melebihi 0.02 ppm dan pHnya di antara pH6.5 - pH9.0. Cara untuk pengendalian adalah penting di mana pengendaliannya yang kasar juga akan menyebabkan badan ikan menjadi luka-luka. Luka-luka tersebut boleh memberi peluang untuk serangan daripada patogen atau kuman dan ini menyebabkan penyakit ikan akan menyerang badan ikan. Faktor Kesesakan dan kepadatan ikan yang terlalu tinggi dalam kolam boleh menyebabkan kesesakan. Faktor kesesakan lazimnya dapat meningkatkan kandungan ammonia dalam air dimana ia seterusnya menyebabkan mutu air menurun. Selain daripada ijuga lazimnya ikan puyu juga turut mengalami tekanan. Makanan ikan-ikan ternakan adalah terdiri dari makanan asli iaitu fitoplakton dan zooplankton dan makanan tambahan. Makanan hendaklah diberi sebaik-baiknya 2 kali sehari, iaitu pada waktu pagi dan petang. Banyaknya makanan tambahan yang hendak diberi biarlah mencukupi dan sederhana. Pemberian makanan secara berlebihan akan menyebabkan mutu air menurun. Bagi mengawal dan mengelakkan penyakit ikan, setiap kolam mestilah mempunyai sistem pengaliran air masuk dan keluar yang berasingan supaya penyakit ikan tidak dapat merebak daripada sebuah kolam ke kolam yang lain.

Beberapa teknik bagi mengawal patogen penyebab penyakit ikan puyu perlu dibuat. Pengawalan Patogen, Saluran dimana air masuk hendaklah diletakan dengan penapis untuk mengelakan kemasukan air liar yang kemungkinan membawa penyakit. Langkah ini juga dapat mengawal kemasukan siput dan parasit Argulus dan Lernaea. Aktiviti pengapuran kolam hendaklah dilakukan apabila kolam dikeringkan. Ini akan membunuh patogen dan menjaga dasar kolam daripada menjadi masam. Kadar kapur yang digunakan adalah 865 kg bagi 1 hektar kolamAnak ikan puyu yang baru dibeli sebaiknya perlu untuk diberi rawatan menggunakan formalin (200 ppm selama 10-20 minit) sebelum dimasukan kedalam kolam. Ini juga dapat menangalkan parasit yang terdapat di luar badan ikan. Jika terdapat kemudahan, adalah lebih baik jika ikan yang telah dirawat disimpan didalam tangki/kolam kecil selama 2 minggu untuk memastikan ikan tidak mempunyai sebarang penyakit sebelum dimasukan didalam kolam. Jangan campurkan ikan besar dengan ikan yang kecil kerana ini boleh menyebabkan penyakit primierSebelum proses pengawanan ikan dijalankan, induk hendaklah dirawat terlebih dahulu dengan formalin kerana ada kemungkinan ikan mempunyai patogen yang akan menjangkiti anak ikan.
Ikan mestilah diberikan makanan yang sempurna kerana faktor kekurangan makanan boleh menyebabkan ikan menjadi lemah. Ini memudahkan patogen menyerang ikan.



Mereka yang ingin mulakan projek ternakan ikan puyu perlu menyediakan Pelan Rancangan Perniagaan (Business Plan). Lazimnya projek ternakan ikan puyu dilaksanakan adalah sebagai langkah usaha sampingan untuk menambah pendapatan. Ini kerana ternakan ikan puyu ini mendapatkan permintaan yang tinggi di kalangan penduduk tempatan. Beberapa kriteria perlu dititiberatkan kepada projek ini termasuk aspek Kolam Ternakan. Kolam ternakan air tawar bergantung kepada size projek secara kecil-kecilan atau komersial. Kolam ternakan sebaik-baiknya dikelaskan kepada 3 kolam mengikut kategori Kolam seperti kolam pembenihan, kolam penggredan dan kolam ternakan. Kolam sebaik-baiknya dinaiktarafkan kolam yang sedia ada adalah untuk meningkatkan lagi produktiviti dan lebih berdaya maju. Selaras untuk memenuhi pasaran tempatan. Dalam cashflow projek ini akan membuat pembelian benih yang berkualiti dan bermutu. Ini bagi memastikan ternakan yang dijalankan dapat dirancang dan diprogramkan dengan pengurusan yang teratur. Benih ikan puyu boleh diperolehi dari pembekal tempatan dengan kadar harga Saiz 1 Inci (Harga10 Sen), Saiz 1.5 Inci (12 Sen) dan untuk benih Saiz 2 Inci (15 Sen). Pengeluaran hasil ikan puyu meliputi aspek kemasukan benih induk, pemakanan, pengawanan, penggredan ikan dan pengeluaran ternakan ikan puyu. Pengeluaran mengambil masa dalam tempoh 4 – 6 bulan. Jumlah pengeluaran adalah bergantung kepada sistem dan pengurusan kolam ternakan yang diuruskan. Analisa menunjukkan secara puratanya, pulangan kepada penternak pada kadar anggaran 80% setiap kali tuai dan jualan. Kadar hidup ternakan ikan dititikberatkan bagi mendapatkan hasil dan pulangan yang baik. 

IKAN PUYU - ADAKAH BERPOTENSI?

IKAN PUYU (Anabas testudineus) merupakan spesies ikan air tawar yang paling lasak dari keluarga Anabantidae yang mudah didapati dinegara kita. Adakah ikan puyu ini ujud dan berpotensi untuk dijadikan satu bidang usaha yang boleh menguntungkan dan memberikan pulangan yang baik?. Ini merupakan satu peluang kepada bakal usahawan jika mereka ingin menjadikan penternakan dan penjualan ikan puyu sebagai punca pendapatan. Pada penulis, ikan puyu dikenali sebagai ‘Climbing Perch’ kerana sifat semula jadinya yang tahan lasak dan mampu bertahan dan berpindah kekawasan lain perlu dikenali dahulu oleh bakal usahawan. Saya dahulu memang minat menangkap ikan puyu di sawah atau tali air serta sungai kecil di kampong saya di Sawah Ring, Muar, Johor semasa remaja dulu pada tahun 1970’an kerana membantu orang tua menanam padi. Ikan puyu lazimnya akan menjadikan habitat utama dikawasan air tawar dikolam atau anak sungai disekitar kampong dan sawah padi sebagai kawasan sesuai. Ikan puyu yang bersisik dan bersirip keras memudahkan spesies ini bergerak di atas tanah yang berair. Pada saya ikan ini sedap dimakan setelah dibersihkan kemudian digoreng dengan bubuh sedikit kunyit dan garam. Ia sesuai dimakan dengan nasi putih dan juga sayuran. Walau pun ikan puyu mempunyai tulang yang keras berbanding dengan ikan sepat atau ikan seluang, rasa daging ikan puyu adalah lebih lemak.  anda boleh baca artikel tulisan saya mengenai ikan sepat (Sila klik disini). Saya masih ingat pada ketika tertentu pada musim hujan kebanyakan ikan puyu berhijrah dan akan memanjat tebing sungai mencari lopak air yang lain. Ia paling layak digelar spesies yang suka berhijrah. Ikan puyu adalah jenis ikan yang lasak dan mampu hidup dalam keadaan kualiti air yang kurang baik. Spesies ini juga mampu bertahan tanpa air hingga beberapa jam. Artikel subuh sempena cuti Raya Qurban pada 11 Zulhijjah 1436H ini saya menceritakan dalam "Anim Agro Technology" mengenai ikan puyu berdasarkan pengalaman penulis semasa muda dahulu dan pembacaan dari beberapa buku.

Spesies ikan puyu biasanya hidup secara berkumpulan didalam lubuk atau kolam yang mempunyai air bersih secara semula jadi. Ikan ini mudah terancam oleh aktiviti-aktiviti penangkapan ikan seperti aktiviti menjaring, pukat, jala, tuba dan aktiviti memancing yang keterlaluan (tanpa mengamalkan kaedah 'tangkap dan lepas' bagi yang bersaiz kecil). Pada masa kini telah ada teknologi untuk menternak ikan puyu secara komersial dijalankan iaitu dengan cara menggunakan kolam simen atau kanvas dan paling sesuai adalah menternak dalam dalam kolam tanah. Teknologi penternakan ikan puyu boleh dipelajari melalui kursus penternakan ikan air tawar dianjurkan oleh Jabatan Perikanan atau melalui lawatan persendirian ke projek-projek ternakan ikan puyu di dalam negara atau luar negara yang berjaya secara komersil. Negara Thailand juga dilaporkan telah menjalankan penternakan ikan puyu dengan agresif dikawasan sawah padi semenjak dahulu lagi sebagai sumber pendapatan tambahan terutama kepada petani dan pesawah. Ini kerana di Thailand terdapat banyak air disekeliling sawah mereka dan ianya dijadikan asas untuk aktiviti penternakan ikan puyu secara komersil. Penulis ada beberapa kali melawat projek ternak ikan puyu disekitar Bangkok dahulu. Negara Indonesia juga aktif didalam aktiviti penternakan ikan puyu yang dijalankan secara kecil-kecilan dan taraf komersil. Penternakan ikan puyu secara moden menggunakan bahan makanan daripada pelet makanan ikan komersil yang boleh dibeli seperti memelihara ayam. Makanan ikan ini mampu memberikan peratus tumbesaran yang sesuai untuk mempercepatkan penuaian hasil. 

Ikan puyu popular dikalangan penduduk di Utara Semenanjung Malaysia untuk dibuat Ikan Pekasam selain daripada ia ada dijadikan lauk makanan dengan digoreng rangup dan dimakan dengan nasi putih. Ikan Pekasam adalah satu teknik pengawetan ikan dimana ikan darat yang dikatakan berbau hanyir diproses dengan merendam dalam air garam dengan sekam dan serbuk beras (Sila lihat foto disebelah). Anda boleh baca artikel saya mengenai ikan pekasam (Sila anda klik disini). Kalau pada masa dulu hanya orang-orang Melayu dan Siam yang meminati ikan puyu tetapi sekarang dilaporkan harga ikan puyu pun telah mahal disebabkan permintaan tinggi oleh Orang Bangladesh yang bekerja di Malaysia. Pendek kata kalau ada jualan ikan puyu segar di pasar malam atau pasar basah, warga Bangladesh sanggup berbaris untuk mereka membelinya bagi dijadikan lauk makan. Kajian persendirian simpel saya dibeberapa lokasi mendapati harga ladang ikan puyu sekitar RM 7.00 – RM 9.00 sekilogram sementara harga runcit dalam lingkungan RM 10.00 – RM 15.00 sekilogram. Harga ini jauh lebih mahal atau tinggi berbanding dengan harga semasa zaman saya kecil dulu iaitu cuma RM 1.00 sekilogram, itu pun kalau ada orang yang hendak membeli dikampong masa dulu!. Permintaan untuk ikan puyu kini semakin meningkat kerana ramai pekerja luarnegara daripada Indonesia, Vietnam dan Bangladesh yang suka akan ikan ini. Mereka lazimnya akan membeli secara pukal dan makan dengan nasi putih. Ikan air tawar ini mungkin kurang dikenali atau dimakan oleh generasi muda sekarang kerana mereka lebih kenal akan daging ayam KFC, Burger Mc Donald, Sushi King, Ayam Nandos dan banyak lagi. 

Kajian peribadi saya juga menunjukkan ikan puyu yang sesuai untuk dijual bila saiz ikan berada sekitar 180 - 250 gram seekor. Jika saiz ikan terlalu kecil atau terlalu besar maka ia memang agak sukar diterima pasaran. Bagaimana pun didapati apa yang penting adalah kesegaran dan juga saiz keseragaman ukuran. Semasa saya melawat projek ternakan ikan puyu di Kedah, saya dimaklumkan bahawa ikan ini akan matang dalam masa 120-150 hari [ 3--5 bulan] bergantung kepada saiz benih, pemberian makanan dan cara pengurusan air. Juga dimaklumkan bahawa didapati ikan puyu jantan purata beratnya cuma 150 gram seekor berbanding ikan puyu betina yang bersaiz lebih berat iaitu sekitar 180-250 gram seekor. Kemungkinan ramai dikalangan kita sendiri tidak kenal perbezaan diantara ikan puyu jantan dengan ikan puyu betina. Dalam beberapa laporan kajian menunjukkan dalam satu populasi sebanyak 60% adalah ikan puyu betina dan bakinya 40% adalah terdiri dari ikan puyu jantan. Ikan puyu betina dewasa akan bertelur dan menetaskan telurnya setelah proses persenyawaan. Kini teknik pembiakan ikan puyu membolehkan aktiviti penternakan ikan ini boleh dikomersilkan dengan lebih baik.

Dalam membuat rujukan dan teknologi cara menternak ikan puyu di Thailand semasa saya berkursus di Kyusei Nature Farming Institut di Saraburi, Bangkok pada tahun 2006 saya telah mendapati pemberian sejenis hormon khas membantu meningkatkan peratus ikan puyu betina. Hormon ini diberikan semasa anak ikan puyu mula dilepaskan didalam kolam tanah yang dibina bagi tujuan penternakan ikan puyu secara komersil. Kepadatan yang disyorkan di Pusat Latihan Kyusei Farming tersebut adalah sebanyak 3 - 4 ekor setiap sekaki persegi. Kolam Tanah yang dibuat berukuran 40 kaki x 100 kaki dengan kedalaman air 3 - 4 kaki mampu menampong sebanyak 10,000 - 12,000 ekor ikan puyu. Sebaiknya kolam ini mempunyai sistem saliran air masuk dan air keluar yang baik agar pertumbuhan ikan dapat berlaku dengan cepat dengan menggunakan makanan pelelt yang diberikan. Kualiti air juga perlu sentiasa diperiksa agar ia tidak mengandungi bahan racun kimia yang digunakan untuk sawah padi. Ikan puyu akan mati jika kualiti air tercemar memasukki kolam. Ikan puyu yang dipelihara di pusat tersebut adalah ikan puyu siam yang saiznya agak lebih besar sedikit daripada ikan puyu tempatan yang ada di Malaysia.

Pemerhatian saya mendapati ikan puyu nampak mudah untuk diternak kerana faktur ketahanan nyawa, tahan lasak, susah mati, 'air breather' dan juga ikan ini makan apa sahaja makanan sesuai yang diberikan. Teknologi penternakan ikan ini juga kini lebih mudah dan cepat membesar dengan formulasi makanan ikan komersil di pasaran seperti pelet makanan ikan keluaran Syarikat Cargill dan Gold Coin dalam iaitu bentuk pellet atau butiran (floated granules). Lazimnya semasa anak ikan baru masuk kedalam kolam pembesaran mesti diberi makan secukupnya iaitu 4 - 5 kali sehari untuk menjadikan kadar pembesaran sehingga 20% dari berat badan. Kaedah ini perlu dijalankan selama 2-3 minggu pertama selepas benih dilepaskan kedalam kolam. Keadaan pemberian makanan ikan pada umur 2-3 minggu pertama adalah kritikal dimana perlu untuk memberi makan sebanyak 4 - 5 kali sehari kerana ikan puyu adalah sejenis ikan karnibal yang mana ia akan makan anak puyu lain atau anak ikan lain-lain selain puyu didalam kelompok sama dikolam. Pemberian makanan seperti usus ayam, baja ikan dan lain-lain bentuk makanan selain daripada pellet dapat membantu mengurangkan masaalah atau isu karnibalism dimana cara ini mampu mengurangkan sehingga 50% dari jumlah populasi jika tidak di kawal. Bagaimana pun perlu ada saliran air masuk dan keluar dengan sempurna jika diberikan makanan tambahan seperti diatas. Pengalaman penternak ikan puyu komersil yang penulis teliti menunjukkan selepas sebulan perlu ada aktiviti dengan membuat aktiviti pengredan (Grading) atau pun proses pemilihan ikan puyu dimana kita perlu mengeluarkan ikan puyu jantan sahaja. Ini kerana apabila sampai peringkat matang lazimnya ikan puyu jantan susah membesar seperti ikan betina tetapi ia makan makanan yang diberikan. Ikan jantan jika tidak dikeluarkan akan menyebabkan hasil jualan kurang kerana saiznya yang kecil dan ia kurang digemari kerana kandungan daging ikan yang kurang. Bagi meningkatkan bilangan telur pada puyu betina perlu berikan makan berlemak dan berminyak dimana ini akan dapat meningkatkan penghasilan telur dan seterusnya anak ikan puyu yang diternak.

Terdapat kepercayaan dalam kalangan masyarakat Melayu yang mana ikan puyu mampu menghalang gangguan makhluk halus seperti gangguan toyol dan jin. Kerana itu penulis mendapati masyarakat Melayu lama memelihara spesies ini di dalam rumah dekat rumah mereka untuk tujuan itu sebagai satu amalan biasa jika ada kawasan sesuai. Sebenarnya ikan puyu memang sesuai dijadikan ikan akuarium walau pun warna dan bentuknya tidak cantik seperti ikan guppy, ikan laga dan ikan hiasan yang lain. Ikan ini tidak mudah mati walau pun sistem pengudaraan dalam akuarium tidak berfungsi untuk beberapa hari. Jika dicampur dengan ikan lain dalam akuarium dan tidak diberikan makanan, maka nahaslah ikan kecil lain tersebut kerana kemungkinn besar ia akan menjadi habuan ikan puyu!.
 Pada penulis penternakan ikan puyu adalah berpotensi untuk dimajukan kepada usahawan dalam Malaysia yang telah bersedia dengan mempunyai ilmu pengetahuan mengenai industri penternakan ikan puyu ini. Setidak-tidaknya blog tulisan saya ini boleh dijadikan bahan rujukkan asas untuk mendapatkan sedikit sebanyak maklumat mengenai ikan puyu. Adalah disarankan agar mereka yang serius untuk menternak ikan puyu untuk pergi ke Jabatan Perikanan terdekat bagi mendapatkan khidmat nasihat teknikal serta bantuan kewangan jika ada. Wasallam!...

IKAN AIR TAWAR...IKAN PUYU....
DALAM PAYA...TEMPAT BERTUMPU...
HARGA MAHAL...SEMUA MAMPU...
KINI DITERNAK...TEKNOLOGI BARU..
  . Wasallam!  



IKAN PUYU.. BETUK PUN SAMA...
MUDAH DITERNAK...OLEH SEMUA...
PILIH TAPAK...BENIH DARI MANA...
MASA SINGKAT...DAPAT HASILNYA...


 

IKAN PUYU (karuK) mempunyai pelbagai khasiat seperti menahan serangan penyakit, meningkatkan tenaga lelaki dan melambatkan proses penuaan.

~***~Hubungi utk BERKURSUS : Tel No. +6012 299 7309~***~

. .
~***~LadingEMAS~***~

No comments:

Post a Comment