Thursday, August 4, 2011

Tarekat/ Tasauf ~ Ilmu Tasawwuf Ilmu Tarikat-Sufiah, Ilmu Hakikat, Ilmu Makrifat, Ilmu KeTuhanan

HUKUM BERTASAWUF / BERTARIKAT

by Siratul Mustaqeem on Monday, July 25, 2011 at 10:50am

APAKAH HUKUM BERTARIKAT KE-ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA
BERSERTA DENGAN DALIL-DALIL DAN NAS-NAS SOHIH

BISMILLAAHIR ROHMAANIR ROHIM

Duhai SaudaraKu,

Telah sampai kepemerhatian kami persoalan-persoalan berkisar dan berhubung-kait dengan Tarikat-Sufiah dari berbagai-bagai pihak dan kelompok, dari dalam mahu pun dari luar Negara. Permasalahan diajukan berkisar pada hukum-hakam, asal-usul Tarikat-Sufiah , Silsilah, bentuk amalannya, kifiat zikir, upacara ritualnya, kesohihan amalannya, siapa perintis/Shaikh dan pengamalnya, bila tersebar dan berkembangnya, pengaruhnya, apakah amalan ini dari Sunnah,
apakah ia masih relevan, apakah bahaya beramal dengannya atau tidak beramal dengannya dan sebagainya.
Terlebih penting, apakah amalan ini Islamik?

Soalan, soalan, soalan, yang menuntut jawaban!

1] ILMU FARDHU 'AIN WAJIB DITUNTUT

Jumhurul Ulama sepakat menetapkan bahawa seluruh umat Islam [mukallaf] yang akil baligh dan berakal adalah wajib menuntut 3 jenis ilmu semasa hayatnya, yaitu:

1] ILMU USULUDDIN/TAWHID
2] ILMU FIQH/FEKAH/SYARIAT
3] ILMU TASAWWUF

Dalam praktiknya, kesempurnaan Islam dalam diri seseorang adalah apabila ia merangkumkan ketiga-tiga Ilmu seperti diatas, misalnya, dalam ilmu Tawhid ia mengetahui dan berpegang teguh kepada I’tikad/Aqidah yang Hak/benar terhadap Allah dan Rasul; andainya tidak maka ia akan jatuh Syirik.

Dalam ilmu Fiqh/Fekah/Syariat pula, ia akan mengetahui segala Hukum-hakam , peraturan,kaedah, syarat dan rukun setiap ibadah; andainya tidak maka, terbatallah ibadah tersebut.

Dan dalam Ilmu Tasawwuf pula, ia akan mempelajari ilmu tatacara pembersihan hati dari penyakit-penyakit Mazmumah/Rohani/batin [misalnya riak], kerana penyakit batin yang bersarang didalam hati sanubari seseorang itulah yang menyebabkan tidak diterima Allah akan amal-amal ibadahnya lantaran amal tersebut bercampur baur dengan riak, megah,takabbur, angkuh, hasad dan sebagainya, walau ia seorang ‘Abid atau tokoh Ilmuan sekali pun.

Justeru, mana mungkin ketiga-tiga Ilmu tersebut, yang saling lengkap-melengkapi, dipisah-pisahkan menurut selera dan nafsu kita masing-masing!

Majoriti umat Islam hanya cenderong untuk belajar Ilmu Fiqh dan Tawhid sahaja kerana mudah untuk dipelajari sendirian melalui buku/kitab dalam jurusan tersebut. Kerana telah terbiasa dengan amalan-amalan mudah dalam kedua bidang tersebut, masyarakat Melayu terus membudayakan pembelajaran ilmu-ilmu tersebut turun temurun, dari satu generasi ke satu generasi.

Ditambah pula oleh momokan ‘tokoh-tokoh Ilmuan Agama’ yang melarang masyarakat mendekati Ilmu
Tarikat/Tasawwuf dengan alasan-alasan yang tidak berasas!

Paling bahaya, mereka terus menyangka, menerima dan menetapkan bahawa hanya kedua-dua Ilmu itu sahaja yang wajib dipelajari/dituntut dan mereka telah pun layak bergelar orang Islam sejati.

Sebenarnya, pendirian ini telah tersasar amat jauh sekali!

Kerana, hanya segelintir, umat Islam yang cenderong mempelajari dan beramal dengan Ilmu Tasawwuf, walau pun Ilmu Tasawwuf ini adalah termasuk dalam kategori Ilmu Fardhu 'Ain dalam Agama Islam.

Apakah sebabnya majoriti umat Islam sering merasa gusar, memandang sinis, membenci, sekali-gus menjauhi Ilmu Tasawwuf?

2] DEFINISI ILMU TASAWWUF

Ilmu Tasawwuf mencakupi suatu bidang Ilmu yang amat luas berhubung dengan tatacara mengendali diri manusia melalui penyucian diri dan penjernihan amalan-amalan serta ibadah, sehingga menghasilkan keluhuran budi-pekerti dan akhlak terpuji dalam diri manusia, dan mencapai kesucian hidup dalam konteks hubungan dengan manusia dan, paling utama ialah interaksinya dan transaksinya dengan Penciptanya, yakni, ALLAH S.W.T.

Pada hakikatnya, Ilmu Tasawwuf itu amat mendokong dan menyempurnakan pengamalan kedua-dua Ilmu Fiqh dan juga Ilmu Tawhid tersebut.

Barangkali khalayak juga kurang faham, kurang mengerti atau tidak mengetahui bahawa Ilmu Tasawwuf adalah juga sinonim dengan apa yang dipanggil, Ilmu Tarikat-Sufiah, Ilmu Hakikat, Ilmu Makrifat, Ilmu KeTuhanan dan sebagainya.

Sememang dizaman Rasulullah nama Tasawwuf belum pernah wujud, namun intipati ilmu Tasawwuf telah pun diajar Rasulullah, bersumberkan al-Quran dan di amalkan oleh para sahabat dan para SalafusSoleh, zaman berzaman sehingga kehari ini.

3] PERKATAAN TAREKAT DISEBUT DALAM AL- QURAN

Walau pun perkataan Tasawwuf belum wujud diawal penyebaran Agama Islam, namun perkataan TAREKAT/TORIK ada disebut didalam al-Quran sebanyak 9 kali didalam 5 buah Surah, seperti berikut:

1] Surah an-Nisa – sebanyak 2 kali,
2] Surah Thoha – 3 kali,
3] Surah al-Qaf – 1 kali,
4] Surah al-Mukminun – 1 kali, dan
5] Surah al-Jinn – 2 kali.


4] DALIL-DALIL DAN NAS-NAS SOHIH ILMU TARIKAT-SUFIAH

Firman Allah, Quran Surah al-Jinn, ayat 16, bermaksud:

‘ Dan bahawasanya jika mereka tetap/teguh berjalan lurus diatas TARIKAT itu,benar-benar kami akan limpahkan kepada mereka air Rahmat yang melimpah-ruah [rezeki yang banyak]’

Rasulullah pula bersabda, bermaksud:

‘ Syariat itu adalah kata-kata ku, Tarikat itu adalah kelakuan ku, Hakikat itu adalah ehwal ku, dan Makrifat itu adalah kepala harta ku.’

Penjelasan kata-kata seperti Syariat, Tarikat, Hakikat dan Makrifat itu adalah berkait antara satu dengan yang lain, beza pada lafaznya tetapi yang satu menyempurnakan yang lain.
Misalnya, Syariat itu pohonnya dan Hakikat itu adalah buahnya. Pohon dengan buahtidak dibezakan kerana tidak ada orang bercucuk tanam untuk mendapatkan pohonnya sahaja melainkan menuju buahnya. Dan buahnya itu [Tasawwuf] tidak akan keluar sebelum adanya Syariat.

Berkata Imam Ahmad Hambal:

" Sesiapa yg mempelajari Syariat Islam tanpa melakukan Tasawwuf, maka ia menjadi Fasiq, dan sesiapa yg melakukan Tasawwuf sebelum ia mengerti Syariat Islam dengan benar, maka ia menjadi zindik. Sesiapa yg menyatukan kedua-duanya, itulah Islam sebenarnya."

Pada hakikatnya, seorang Sufi sebelum ia menjadi Sufi, ia telah menjadi Faqih terlebih dahulu, bahkan telah menjadi Imam dalam pelbagai Ilmu Fiqh dan Ilmu Kalam. Akan tetapi Ilmu Tasawwuflah yang telah membuahkan pengetahuan yg lebih halus dan jernih, dan Zauq yang mendalam kedalam jiwa mereka. Lebih dari itu, deria perasaan mereka menjadi lebih sempurna dan oleh itu dapat memantapkan seluruh amalan dan ibadah mereka dengan ikhlas lagi khusyuk.

Apabila seorang Faqih itu tidak mempunyai Ilmu mengenai hal ehwal kaum Sufi dan istilah-istilah mereka, maka ia adalah seorang Faqih yang kering. Seorang Faqih apabila Ilmunya tidak digilap dengan Ilmu Tasawwuf yang benar, maka Imannya tidak dimantapkan dengan Taqwa yang sungguh-sungguh; kemudian dilatih dan dihalusi oleh sifat-sifat Wara’, maka ia lebih mudah diperkotak-katikkan oleh hawa nafsunya sendiri.

Maka, adakah menghairankan jika terdapat dalam masyarakat Melayu, tokoh Agama atau orang dewasa bergelar Datuk, datuk atau Pak Haji terbabit dan disabitkan dengan jenayah maksiat?!

Berkata Ibni Khaldun:

‘ Asal utama dari ajaran Tarikat/Tasawwuf itu adalah tekun beribadah dan berhubung langsung kepada Allah ; menjauhkan diri dari kemewahan duniawi; tidak suka kepada apa yang diburu oleh ramai manusia seperti cenderong/asyik kepada kesukaan harta-benda dan kemegahan; malah lebih senang bersunyi-sunyi diri dalam melaksanakan ibadah kepada Allah.’

Penjelasan ini mencerminkan kesempurnaan dalam tatacara/kaedah perjalanan serta amalan Ahli-ahli TarikatSufiah yang Hak. Tegasnya, Kaum Sufi ini hanyalah mencontohi perjalanan Rasulullah serta para-para Sahabatnya; mereka bertaqwa, beribadah dan berdoa semata-mata kerana Allah dan tidak sekali-kali meminta sebarang ganjaran dan pembalasan.

Maka adalah suatu perkara yang amat menghairankan/aneh apabila Ahli-ahli TarikatSufiah [SUFI] yang begitu patuh kepada Syariat dan Sunnah Rasulullah, dan tidak pernah engkar mahu pun melanggar Hukum-hukum Syariat Allah,
telah dikecam hebat dan dituduh oleh Pihak Berwajib dan khalayak, sebagai tidak berpegang kepada Syariat Islam.

5] IMAM-IMAM MAZHAB YANG EMPAT

FaktaSejarah menunjukkan bahawa keempat –empat Imam Mazhab Fiqh ada belajar dan mengamalkan Ilmu TarikatTasawwuf dari tokoh-tokoh Sufi yang tersohor dizaman itu, seperti berikut:

1] Imam Syafie’ dan Imam Ahmad Hambal berguru kepada Syaikh Maaruf Kharkhi;
2] Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berguru kepada Imam Jaafar Siddiq.

Maka kita dapat merumuskan bahawa Ilmu Fiqh/Syariat dengan Ilmu TarikatTasawwuf amat berkait rapat, bak isi dengan kuku, bak aur dengan tebing dan saling memerlukan dan melengkapkan.

Jika tokoh besar seperti Imam-imam Mazhab Fiqh yang empat, menjadi rujukan, ikon/ikutan billion Umat Islam dahulu dan sekarang, dan tokoh Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali, pun belajar dan mengamalkan Ilmu TarikatTasawwuf, kami tidak
nampak dimana logiknya Umat Islam sekarang menjauhi Ilmu tersebut, seperti menjauhi wabak penyakit kusta, atau selsema babi!


6] TOKOH HUJJATUL ISLAM – IMAM AL-GHAZALI

Didalam kitab Bidayat al-Hidayah, Imam al-Ghazali berkata;

‘ Sepatutnya orang yang mengajar ilmu itu menegah murid-muridnya daripada dilalaikan oleh pelajaran ilmu Fardhu Kifayah, sebelum mereka selesai mempelajari Ilmu-ilmu Fardhu ‘Ain yang tiga perkara; yakni, Ilmu Tawhid [Usuluddin], Ilmu Syariat [Fiqh], dan Ilmu Tasawwuf [Tarikat].’

Tegasnya lagi:

‘ Bahawa kaum Sufi itulah [Ahli Tasawwuf] yang benar-benar telah menempuh jalan yang telah dirintis oleh Nabi Besar Muhammad S.A.W. dan yang dikehendaki oleh Allah S.W.T.’

Didalam kitab Ihya ‘ulum al-din, beliau menegaskan lagi:
   "Barangsiapa yang tiada baginya bahagian untuk mengetahui Ilmu TarikatTasawwuf, dikhawatiri ia akan menemui seburuk-buruk kematian, dan sekurang-kurang bahagian daripadanya ialah mengakui [membenarkan] dan bersangka baik dengan Ahli-ahlinya.’

Kenyataannya adalah, Ilmu TarikatTasawwuf itu dapat menghidupkan hati yang mati dan mematikan Nafsu syahwat yang rendah [haiwaniah dan dikutuk Allah] dalam diri seseorang; dapat memperlihatkan aib diri sendiri yang sering menghijab dan mendindingi seseorang dari Allah, dan akan terus jauh dariNya. Ilmu, selain TarikatTasawwuf, sering mengakibatkan hati menjadi keras dan sering pula menghiasi aib seseorang [sehingga dirasakan sebagai kelebihan pula], dan menjadikan pengamalnya bersifat megah, sombong, bongkak dan angkuh, yakni, ciri-ciri sifat Mazmumah yang amat disukai nafsu tetapi amat dibenci oleh Allah!

Didalam kitabnya berjodol ‘Al-Munqiz minad dholal’ [Pembebasan dari Kesesatan], Imam Al-Ghazali membuat penjelasan panjang-lebar dan pengakuan seperti berikut:

‘ Aku amat tertarik kepada kehidupan TarikatSufiah [kesufian] atau jalan Kerohanian/kebatinan. Nyata sekali jalan ini tidak dapat ditempuh, kecuali dengan ilmu dan amal kedua-duanya. Menempuh Tarikat/Jalan ini bererti menghadapi pelbagai tanjakan-tanjakan batin, dan menunjukkan amal itu lebih banyak kepada pembersihan diri. Hal ini perlu untuk mengosongkan batin manusia, dan kemudian mengisinya dengan ZIKIR kepada Allah Ta’ala. Bagiku, ilmu itu lebih mudah dari amal, maka, segeralah aku mulai mempelajari ilmu Sufi serta membaca kitab-kitabnya, antara lain adalah karya-karya Abu Thalib al-Makki, al-Haris al-Muhasibi, Al-Junaid, al-Syibli, dan Abu Yazid al-Busthami.

Dengan demikian, dapatlah aku memahami tujuan mereka. Maka aku ketahuilah, yang lebih dalam lagi hanya dapat dicapai dengan deria Perasaan, Zauq, pengalaman dan perkembangan kerohanian/kebatinan. Amatlah jauh perbezaan antara mengetahui erti sihat atau kenyang dengan mengalami Sendiri rasa sihat dan kenyang itu. Mengalami keadaan mabuk lebih jelas daripada hanya mendengar keterangan tentang ertinya. Walhal, yang mengalaminya mungkin belum mendengar sesuatu keterangan tentang perkara tersebut. Doktor yang sedang sakit amat arif tentang erti kesihatan. Tetapi ia sendiri sedang tidak sihat. Mengetahui ertinya dan syarat-syaratnya Zuhud tentu tidak sama dengan memiliki sifat Zuhud. Yang penting bagi mereka adalah pengalaman, bukan perkataan [actions and not mere words]. Maka, apa yang dapat dicapai dengan ilmu telah ku capai. Selanjutnya haruslah dengan Zauq dan menjalani kaedah Suluk/Khalwat.

Aku yakin benar-benar, kaum TarikatSufiah itulah yang betul-betul menempuh jalan yang dikehendaki oleh Allah Ta’ala. Merekalah golongan yang paling utama cara-cara hidupnya; paling tepat tindak-lakunya dan paling tinggi budi pekertinya. Bahkan, andaikata semua para ‘uqala, Hukama, para ahli Hukum dan Ilmu; para Ulama yang tahu rahsia Syara’; semua itu dihimpunkan untuk mencipta cara yang lebih utama daripada cara Sufi itu, tiadalah akan memberi hasil; sebab, segala gerak-gerik mereka [kaum Sufiah], baik zahir mahu pun batin, adalah diterangi Sinar dari Cahaya Kenabian. Didunia ini tidak ada cahaya yang lebih terang daripadanya.’

Tegasnya, Ilmu TarikatTasawwuf adalah pusaka keagamaan dalam Islam dan menjadi sebahagian dari Syariat Islam yang terpenting dan WAJIB dianuti dan dihayati oleh umat yang mengaku berAgama Islam dan berTuhankan Allah S.W.T!


7] APAKAH BAHAYANYA JIKA KITA TIDAK MENEMPUH/BERTARIKAT KE-ALLAH?


Terdapat terlalu banyak bahaya dan risiko bagi seseorang yang tidak/belum menjalani Tarikat ke-Allah S.W.T. Antara faktor-faktor yang amat kritis/trajis dan terpenting adalah seperti berikut:

I] Tidak dapat mengenal sebenar DIRInya.
Ii] Tidak dapat mengenal Tuhan sebenarnya.
Iii] Tidak dapat mencapai khusyuk didalam Solat, sebab tidak kenal yang menyembah, masakan boleh kenal yang disembah.
Iv] Berpenyakit Rohani [jiwa]; merasa resah gelisah, tidak keruan/tenteram,mudah cemas,jiwa kosong, hidup tak bahagia,tiada ketenangan,walau kedudukan tinggi dan harta bertimbun.
V] Amalan dan hidup tak mendapat Barokah Allah [berkat].
Vi] Dikhawatiri mati dalam ‘SU’UL KHATIMAH.’
VII] Tidak menurut SUNNAH dan jejak langkah Rasulullah S.A.W.
VIII] Dan lain-lain.

8] PENDIRIAN ULAMA SUFI MUKTABAR

Perhatikan Firman Allah, Quran Surah al-Ahzab, ayat 72, bermaksud:

  "Sesungguhnya Kami telah mengemukakan AMANAT kepada langit , bumi dangunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul AMANAT itu, dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah AMANAT itu oleh manusia.
Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.’


Pada hakikatnya, AMANAT tersebut adalah RAHSIA besar yang dipertaruhkan oleh Allah kedalam dada manusia, sehingga manusia yang berjaya memelihara, memahami dan mencapai maksud sebenarnya, dinobatkan Allah kepersada Khalifah dan kewalian, seperti Firman Allah Quran, Surah al-Baqarah, ayat 30, bermaksud:

‘ Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang Khalifah dimuka bumi.’

Hanya melalui pemahaman dan pengamalan Ilmu TarikatSufiah sahaja, rahsia dari segala rahsia dapat dirongkai/leraikan, melalui fasa-fasa Mujahadah sehingga kematlamat akhirnya, seperti diisyaratkan oleh Firman-firmanNya, antaranya, bermaksud:

‘ Ingatlah, bagi Allah adalah Dzat Yang Maha Mengetahui semua makhluk dan semua urusan [memerintah]. Maha Suci Allah Tuhan semesta alam.’ Al-A’raf: 54.

Lagi Firman Allah, bermaksud:

‘ Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok [akhirat] dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.’ Al- Hasyr:18.

Lagi Firman Allah, bermaksud:

‘ Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah Wasilah/Tarikat/Jalan yang mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah pada Jalan/TarikatNya, supaya kamu mendapat keberuntungan.’ Al-Maidah: 35.

Dan FirmanNya lagi Quran, Surah Al-Ankabut, ayat 69, bermaksud:

‘ Barangsiapa yang berjuang dipihak Kami, pasti akan Kami pimpin ia keJALAN Kami.’

Dan lagi FirmanNya, bermaksud:

‘ Dan berjihadlah kamu pada Jalan/Tarikat Allah dengan Jihad yang sebenar-benarnya.’

Dan lagi FirmanNya, bermaksud:

‘ Tunjukilah aku keJalan yang lurus/benar.’

Lagi Firman Allah, bermaksud:

‘ Disisi Allah adalah tangga-tangga kenaikan [mi’raj].’

Lagi Firman Allah, bermaksud:

‘ Mengangkat Allah Ta’ala akan orang-orang beriman dan yang diberi ilmu akan beberapa pangkat yang tinggi.’

Lagi Firman Allah, bermaksud:

‘ Kedudukan mereka itu bertingkat-tingkat disisi Allah.’

Dan lagi Firman Allah, bermaksud:

‘ Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main sahaja dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami.’

Penegasan dari Dalil-dalil diatas menjadi Hujjah dan paksi, kenapa berTarikat ke-Allah adalah WAJIB hukumnya, dari kacamata dan pendirian Ulama TarikatTasawwuf muktabar, dari dahulu sehingga kini dan selamanya!

Jika diperhalusi, jelas amalan-amalan ilmu TarikatTasawwuf terdapat pada asal Syara’, baik dari yang terpancar dari sumber al-Quran, al-Hadith, al-atsar atau al-Ijma’. Ianya jelas akan membawa umat kesuatu tujuan pengamalan Syariat Islam yang sebenarnya, sesuai dengan yang dikehendaki Allah dan RasulNya!

Dalam erti-kata lain, Tasawwuf itu sah berasal dari ajaran Islam dan tidak diragukan kebenarannya, dan selayaknya digiat terus pengamalan dan perkembangannya!

9] SERUAN DAN PESANAN

Duhai Sahabat!

Ketahuilah bahawa tujuan/matlamat akhir menguasai Ilmu Tarikat/Tasawwuf itu adalah untuk kembali kehadrat Allah, bertemu dengan Allah, hingga mendapat redho Allah!

Perhatikan Firman Allah, bermaksud:

‘ Barangsiapa buta didunia akan buta juga diakhirat, bahkan lebih sesat lagi.’

Dari itu bukalah mata, minda dan hati anda bagi menyahut cabaran amat getir ini, sebelum anda dipanggil pulang untuk bertemu denganNya tanpa persediaan secukupnya! Berdoalah! Berserahlah!

Carilah seorang tokoh yang ahli dalam bidang itu, walau beliau tak dikenali ramai, namun mempunyai kepakaran dan Silsilah penerimaan Ilmu, terus keRasulullah.

Jangan merujuk/belajar dari tokoh-tokoh Ilmuan yang glamor kerana yang akan anda perolehi diakhir nanti hanyalah glamor juga! Kecuali itu yang anda cari!

Rumah siap pahat berbunyi,
Kail sejengkal lautan ingin diuji,
Rosak jam jangan dihantar ke tukang besi,
Rosak labu kerana tikus mudah dipercayai!

SELAMAT MENCARI DAN MEMPEROLEHI!
INSYAALLAH DIPERKENAN ILAHI!

Petikkan ~ http://www.facebook.com/notes/siratul-mustaqeem/hukum-bertasawuf-bertarikat/132410913513814

http://alahmadiyyah-rasah.blogspot.com/

. .
~***~LadingEMAS~***~

No comments:

Post a Comment