Wednesday, June 29, 2011

Islam ~ Umat teramai.. Syg sekali..

  السلام عليكم ورحمة الله وبركاته   PENDAHULUAN   Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT. Artikel ini saya kongsikan sebagai berita gembira untuk umat Islam, bukan bahan untuk bermegah-megah bahawa umat Islam semakin ramai. Yang penting ialah kualiti seseorang Muslim, bukan kuantiti. Juga yang penting ialah ramai tapi bersatu, bukan ramai tapi berpecah-belah. Selamat membaca. Semoga bermanfaat. 
  STATISTIK TERKINI UMAT ISLAM SEDUNIA 
  Penduduk Muslim 2010: Asia Pasifik 1,005,507,000 (62.1%).
Timur Tengah dan Afrika Utara 321,869,000 (19.9%).
Afrika Sub-Sahara 242,544,000 (15.0%).
Eropah 44,138,000 (2.7%).
Amerika 5,256,000 (0.3%).
Jumlah 1,619,314,000 (100%).

Jangkaan Penduduk Muslim 2030:
Asia Pasifik 1,295,625,000 (59.2%).
Timur Tengah dan Afrika Utara 439,453,000 (20.1%).
Afrika Sub-Sahara 385,939,000 (17.6%).
Eropah 58,209,000 (2.7%).
Amerika 10,927,000 (0.5%).
Jumlah 2,190,154,000 (100%)
Sumber: Pew Research Center's Forum on Religion & Public Life, The Future of the Global Muslim Population (Washington, DC: Pew Research Center, 2011).
  Nota: Statistik yang dikemukakan oleh Pew Research Center tidak selaras dengan statistik CIA. Namun saya paparkan juga untuk tujuan perbandingan. 
  JUMLAH UMAT ISLAM SUDAH ATASI JUMLAH KRISTIAN 
  Ia fakta yang telah diketahui umum. Islam adalah agama terbesar di dunia dari segi jumlah penganut yang mempraktikkan Islam (practising followers). Kini Islam juga merupakan agama terbesar dari sudut jumlah kasar (gross numbers).
Menurut statistik Agensi Perisikan Pusat, Amerika (CIA), jumlah penduduk Islam telah meningkat dari 1.6 bilion pada tahun 2005 ke 1.84 bilion pada Ogos 2007. 
  Ada dua sebab mengapa hal ini berlaku:
(1) Peningkatan pantas jumlah saudara baru Islam
(2) Peningkatan pantas penduduk Islam (faktor kadar kelahiran). 
  1) Peningkatan pantas jumlah saudara baru Islam.
  Menurut Universiti Chicago, 300 hingga 400 warga Amerika kembali kepada Islam setiap hari. Islam adalah agama kedua terbesar di kebanyakan negara Barat termasuk Amerika dengan lebih dari 10 juta umat Islam, dan sekurang-kurangnya 30% dari jumlah ini adalah saudara baru. 70% dari saudara baru adalah wanita.
Menurut laporan EU, penduduk Muslim di Eropah akan meningkat tiga kali ganda dalam masa 10 tahun. 
  2) Peningkatan pantas penduduk Islam
  Negara-negara seperti Pakistan, India, Bangladesh, Indonesia, Malaysia dll, seramai 3,500,000 Muslim lahir setiap tahun.
Kadar kelahiran umat Islam naik pantas sedangkan di kalangan umat Kristian ianya menurun. Kristian kalah dari segi bilangan ini berbanding Islam, Buddha, athiest dan lain-lain falsafah timur.
Jumlah terkini umat Kristian ialah 1.8 bilion penganut.
  Memang benar bahawa dari jumlah 1.84 bilion Muslim, bukan semuanya Muslim yang sebenar. Tapi hal itu serupa saja dengan penganut Kristian, bukan semuanya Kristian yang sebenar. Mereka iktiraf JW dan lain-lain sebagai Kristian. Walau bagaimana pun, mana-mana puak yang tertolak telah diambilkira dalam statistik yang dikeluarkan.   
PERBANDINGAN JUMLAH ISLAM VS KRISTIAN 
  Berdasarkan statistik 2007 yang dikeluarkan oleh CIA:
Roman Katolik 16.99%,
Protestant 5.78%,
Ortodoks 3.53%,
Anglicans 1.25%.
Jumlah Kristian ialah 33.3%.
Perhatikan peratusan Roman Katolik, yang merupakan mazhab tunjang dalam agama Kristian, malah secara umumnya Kristian seolah-olah sinonim dengan mazhab Roman Katolik (yang berpusat di Vatican).
Jumlah 16.99% Kristian dari penduduk dunia itu sebenarnya sudah ketinggalan berbanding jumlah penganut agama Islam: Muslim 21.01%.
  Dari segi jumlah kasar (gross number): Kristian 1.8 bilion. Muslim 1.84 bilion. (setakat 2007). 
  Hal ini telah menimbulkan kegusaran di kalangan pemuka Vatican. Pada 28 Mac, 2008, Gereja Vatican telah mengisytiharkan menerusi akhbar Vatican, L'osservatore Romano: Islam telah mengatasi Kristian Roman Katolik sebagai agama terbesar di dunia. Untuk pertama kali dalam sejarah, Kristian tidak lagi menduduki tempat pertama kerana sudah diatasi oleh Islam.
Wakil Vatican berkata dalam satu temuramah dengan Akhbar Vatican bahawa Roman Katolik mewakili 17.4% dari penduduk dunia sedangkan Muslim mewakili 19.2%. Data adalah merujuk tahun 2006. ( Data mengenai Muslim dikumpulkan oleh negara Islam kemudian dihantar ke Bangsa-Bangsa Bersatu). 

    KERISAUAN PUAK KRISTIAN   
Para pemuka agama Kristian Roman Katolik ada sebab-sebab jelas mengapa mereka menjadi risau berikutan perkembangan ini. Mereka sudah tahu bahawa nisbah bilangan umat Islam itu tidak akan dapat diatasi lagi di masa akan datang.
Bila nisbah umat Islam sudah mengatasi nisbah umat Kristian, maka jurang nisbah itu semakin hari semakin besar.
Ada dua sebab paling utama mengapa hal ini berlaku:
  (1) Kadar Kelahiran Umat Islam Lebih Tinggi   Keluarga Muslim terkenal mempunyai ramai anak sementara Roman Katolik mempunyai anak yang semakin sedikit. Institusi keluarga Muslim yang stabil membolehkan kehidupan keluarga bahagia dan saling sayang menyayangi. Umat Islam tidak menganggap bertambahnya ahli keluarga sebagai beban, malah menganggapnya sebagai aset.
  (2) Peningkatan Mendadak Saudara Baru 
  Terutamanya setelah fitnah WTC 911, bila mana banyak statistik mengenai umat Islam mula direkod dengan lebih kemas, didapati bahawa jumlah saudara-saudara baru Islam secara komparatif telah meningkat, bukan menurun (sebagaimana yang diharapkan oleh Yahudi Zionis).
Penduduk di Barat telah secara senyap-senyap mendapatkan maklumat mengenai Islam menerusi membaca buku, melayari laman-laman web serta menonton video di internet. 
Sebahagian dari mereka ini telah secara senyap-senyap mengucap syahadah dan melakukan ibadah sebagai Muslim, dan hanya diketahui oleh keluarga mereka setelah beberapa tahun mereka kembali kepada Islam.
  Inilah yang paling merisaukan pihak Vatican. Telah wujud begitu banyak maklumat-maklumat benar mengenai Islam dari sumber-sumber berwibawa di internet. Ia termasuklah terjemahan Al-Qur'an, terjemahan Hadis, video-video ceramah mengenai Islam dan penerangan-penerangan mengenai bagaimanakah jika mahu memeluk Islam dsb.

Masjid-masjid di Barat dan badan-badan dakwah telah berusaha gigih menerangkan mengenai Islam, bahawa agama yang suci ini bukanlah agama yang menggalakkan keganasan, tapi menggalakkan kehidupan harmoni lagi aman damai.
  Paling jelas, mana-mana saudara baru Islam di Barat adalah berkualiti. Mereka adalah bijakpandai.
Sebahagian dari mereka adalah para Pendeta Kristian yang sudah berpuluh tahun menjadi pendakwah Kristian, malah mereka ini lahir dalam keluarga yang taat mengikut ajaran Kristian.
Setelah mereka memeluk Islam, mereka menjadi pendakwah Islam yang terkenal, malah telah berjaya mengajak ibubapa dan adik-beradik mereka kembali kepada Islam. 
  Saudara-saudara baru yang berkualiti ini adalah individu-individu yang disegani di kawasan-kawasan tempat mereka tinggal.
Sebahagiannya adalah doktor, pensyarah, jurutera, saintis, pemberita, jurnalis dsb yang tentunya berinteraksi dengan ramai orang. Mereka berjaya mengajak kawan-kawan bukan Islam untuk datang ke masjid, agar mereka ini nampak dengan mata kepala sendiri bagaimanakah umat Islam melakukan solat, dan bahawa di masjid tidak ada patung-patung. 

Sebahagian dari kawan-kawan yang datang ke masjid ini kemudiannya telah kembali kepada Islam, mengucap dua kalimah syahadah di hadapan kawan-kawan mereka.
  Wujudnya senario bila mana saudara-saudara baru yang berkualiti ini memutuskan bahawa Islam adalah agama yang sebenar bukanlah satu perkara yang berlaku sekelip mata.
Mereka ini telah mengkaji berbagai-bagai agama lain dan membuat perbandingan. Mereka juga telah mengkaji Kristian Roman Katolik dan telah mengemukakan berbagai soalan kepada para paderi. Mereka sudah yakin kepada Islam sebelum memeluk Islam!
  Keadaan ini (saudara baru yang berkualti) amat sukar diperolehi oleh Kristian Roman Katolik. Mereka tahu bahawa sesiapa yang mengkaji sendiri dan membandingkan agama-agama amat sukar menemui apa yang dikatakan kebenaran hakiki dalam agama Kristian, terutama setelah mengkaji Bible. Kerana itu, mereka lebih percaya pada 'Christian by default' iaitu melalui kelahiran, kemudian ibubapa akan membawa anak-anak ke gereja untuk dibaptis.

  Pada 31 Ogos 2005, Pope Benedict VII memaklumkan kepada umat Katolik agar melahirkan lebih banyak anak. Mengapakah Gereja Roman Katolik perlu bergantung kepada kadar kelahiran dan bayi? Kerana orangramai tidak menukar agama menjadi Kristian Katolik berdasarkan pada kajian terhadap Bible. Ringkasnya, jika seseorang itu mengkaji Bible untuk mencari 'kebenaran', maka mereka tidak akan menemukannya.

  Contoh mudah: Jesus dikatakan oleh Kristian Roman Katolik sebagai Tuhan. Tapi Jesus (Tuhan) telah dibunuh. Alasan mereka (bahawa Tuhan Jesus membiarkan dirinya disalib) ialah untuk mengampunkan dosa umat Kristian. Tapi umat Kristian masih perlu 'diampunkan dosanya' oleh paderi yang berkelayakan dengan membeli Sijil Pengampunan!

  GEREJA BERTUKAR MENJADI MASJID   
Sebenarnya hal ini merupakan kempen secara langsung kepada para penganut Kristian Roman Katolik supaya mengkaji dengan lebih lanjut mengenai sebab-sebab gereja sudah tidak ada pengunjung, ditutup, kemudian dibeli oleh orang Islam, lalu dijadikan masjid. Tidak dapat tidak, mereka akan mengkaji kenapa para penganut Kristian kembali kepada Islam di benua Eropah dan Amerika.
Dulu mereka amat kurang mengetahui mengenai Islam, tapi pada masa kini mereka dalam senyap-senyap sudah membaca terjemahan Al-Qur'an, dan melihat kawan-kawan mereka yang dulunya ke gereja, kini sudah ke masjid.
  Beribu-ribu gereja di Eropah dan Amerika sudah ditutup kerana bilangan 'practising Christians' sudah berkurangan. Bilangan gereka yang ditutup bertambah, bukan berkurang. Sebahagian besar dari gereja-gereja ini sudah menjadi masjid, dan dipenuhi oleh 'practising Muslims' yang dulunya (kebanyakannya) beragama Kristian.
  KESIMPULAN   
Nota ini tidak bertujuan merendah-rendahkan para penganut agama Kristian Roman Katolik. Sebagai seorang Muslim, saya sendiri menganggap bahawa apa yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT. 
Bila sampai masa yang dikehendakiNya, maka berbondong-bondonglah penduduk Barat kembali kepada Islam, dan mereka menjadi umat Islam yang berkualiti, yang mempraktikkan Islam dalam kehidupan mereka sehari-hari. 
Mereka bukan masuk Islam pada nama saja. Sebahagian dari mereka masih mengekalkan nama Kristian, tapi mereka adalah Muslim yang berkualiti. Mereka ini malah patut menjadi contoh teladan kepada umat Islam di Timur apatah lagi di Timur Tengah. 
  Mengapa? Kerana keperibadian mereka, jelasnya cara mereka berinteraksi sesama mereka dan bila berhadapan dengan bukan Islam, adalah berhemah lagi bersopan. Mereka berdakwah menerusi peribadi yang baik. Mereka elakkan dari bergaduh, tuduh-menuduh atau mempersendakan sesama sendiri. Sebaliknya mereka berpakat dan menyusun strategi dan taktik yang mantap untuk meramaikan saudara-saudara baru Islam yang berkualiti. 
Mereka menjalani cara hidup yang 'Islamik' dan mereka Muslim. Maka sesiapa yang memperhatikan cara hidup mereka akan tertarik kepada Islam.
  Adakah kita yang lahir dalam keluarga Muslim telah menjadi contoh teladan yang baik kepada sesiapa saja kawan-kawan kita yang bukan Islam? Maksudnya, adakah mereka nampak bahawa kita adalah 'practising Muslims'? Berdakwah tidak semestinya menyeru mereka secara terus-terang agar masuk Islam. Itu dakwah secara langsung. Dakwah secara tidak langsung mungkin lebih dialu-alukan tanpa disedari.
Apa dia?   Mereka lihat kita menunaikan janji apabila berjanji. Mereka lihat kita solat bila masuk waktu. Mereka rasa lebih senang bila bersama dengan kita berbanding bila bersama rakan seagama dengan mereka.
Mereka lihat kita hormat pada mereka. Mereka lihat kita memahami mereka dan tidak merendah-rendahkan pegangan mereka dsb.
Ada lagi? Ada:   Mereka lihat kita sesama Muslim tidak bergaduh, tidak tuduh-menuduh, tidak kafir-mengkafir antara satu sama lain. Mereka dapat lihat golongan ulama' menyeru kepada perpaduan, bukan kepada perpecahan. Mereka lihat walaupun ada perbezaan pendapat, namun umat Islam tidaklah hingga bergaduh sesama sendiri, malah saling faham-memahami. Mereka lihat umat Islam bijak dalam politik dan amalkan politik yang sihat dsb. 
Ada lagi? Ada:   Mereka dapat lihat bahawa umat Islam tidak minum arak, tidak berjudi, tidak berzina. Mereka dapat lihat umat Islam jadi kuat kerana sistem zakat. Yang kaya membantu yang miskin hingga sukar untuk ditemui umat Islam yang miskin. Mereka dapat lihat bahawa umat Islam adalah berkualiti, membaca Al-Qur'an, memahaminya, dan mempraktikkannya dalam kehidupan sehari-hari
Mereka lihat umat Islam maju kerana berpegang teguh pada ajaran Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah. Mereka lihat umat Islam hormat kepada alim ulama' kerana alim ulama' melakukan dakwah bukan kerana wang atau kerana sesuatu kepentingan peribadi bersifat duniawi, tapi semata-mata kerana Allah SWT. Banyak contoh baik yang mereka dapat lihat.
  Sudah wujudkah contoh-contoh yang baik itu di Timur? Ia sudah wujud, namun mungkin kualitinya belum memuaskan hingga boleh mencapai tahap bahan dakwah secara tidak langsung.
Orang Islam ramai, tapi yang 'Islamik' atau apa yang mereka (bukan Islam) sebut sebagai 'practising Muslims' tidak ramai.
'Practising Muslims' bukan terletak pada melaksanakan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, haji. 'Practising Muslims' menjadikan cara hidup mereka keseluruhannya menurut suruhan Islam.
Maknanya, mereka solat dan mereka tidak terima rasuah.
Mereka solat dan mereka tidak pecah amanah.
Mereka solat dan mereka saling hormat-menghormati dan faham-memahami sesama mereka. 
Mereka solat dan mereka bersungguh-sungguh untuk jadi contoh teladan yang baik.   
Semoga Nota yang tidak sepertinya ini boleh jadi bahan renungan saya dan sahabat-sahabat yang sudi memikirkannya.
Mudah-mudahan kita akan berubah menuju tahap 'practising Muslims' yang boleh jadi contoh. Mungkin ilmu agama kita tinggi, tapi mungkin masih ada tindak-tanduk kita yang belum benar-benar mencerminkan ketinggian ilmu yang ada pada kita itu dipraktikkan dengan baik. Kita mungkin popular dan sering berceramah di sana-sini, tapi mungkin ada terselit kata-kata yang kurang manis didengar atau tidak sesuai untuk dikatakan oleh orang berilmu seperti kita. Kita sendiri perlu berubah, bukan orang biasa saja yang perlu berubah.
  Ringkasnya, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kini sudah jadi kenyataan bahawa umat Islam adalah paling ramai di atas muka bumi. Namun kita perlulah menjadi Muslim yang berkualiti, lagi diredhaiNya.
  Saya mohon maaf jika terdapat kekurangan dan kesilapan dalam Nota ini. Sebagai seorang yang jahil, saya sekadar berkongsi pendapat sesuai dengan kejahilan saya. Semoga ada manfaatnya pada diri saya sendiri dan juga kepada sahabat-sahabat yang saya kasihi kesemuanya.
  Wallahu'Alam.

  Sumber Rujukan: www.islamicpopulation.com/source.html, www.cia.gov/library/publications/the-world-factbook/rankorder/2119rank.html, en.wikipedia.org/wiki/CIA_World_Factbook, www.religioustolerance.org/worldrel.htm   _________________________________ 
Semoga Allah SWT merahmati kita semua.   سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم   
Nukilan Hibatullah Yusof Al-Haj

. .
~***~LadingEMAS~***~

No comments:

Post a Comment