Thursday, December 10, 2009

Abu Ayub al-Ansari Bersama Baginda SAW

Kenangan Abu Ayub al-Ansari Bersama Baginda SAW

Tak kenal maka tak cinta, begitulah pepetah Melayu memberi kiasan. Saya banyak kali menyebut mengenai Saidina Abu Ayub al-Ansari ini tetapi belum pernah menulis mengenainya lagi. Kesempatan kali ini, mari kita kongsikan sedikit sirah mengenai Abu Ayub al-Ansari

Nama sebenar beliau ialah Khalid bin Zaid bin Kulaib dari Banu Najjar. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang utama dan paling rapat kepada Nabi SAW.


Ketika Rasulullah SAW sampai di Madinah di dalam peristiwa hijrah, baginda disambut dengan gembira oleh orang-orang Ansar di Madinah. Hati mereka berada bersama-sama baginda dan mata mereka sentiasa mengikuti pererakan baginda dengan rasa penuh cinta dan kebaktian. Mereka ingin memberi baginda sambutan yang amat baik sekali pernah diberikan oleh seseorang.

Pada mulanya, Rasulullah SAW berhenti di Quba yang terletak dekat pinggir kota Madinah dan tinggal di sana selama beberapa hari. Perkara pertama yang dilakukannya ialah membina sebuah masjid sebagaimana dijelaskan dalam al-Qur’an:

“Masjid yang didirikan atas dasar taqwa.” (At-Taubah: 108)

Nabi SAW memasuki kota Madinah dengan menunggang untanya. Para pemimpin Madinah berdiri di sepanjang jalan, setiap orang berharap untuk mendapatkan penghormatan dari Nabi SAW agar baginda ingin singgah dan bermalam di rumahnya. Seorang demi seorang berdiri di jalan yang dilalui oleh unta baginda. Mereka semua berkata:

“Tinggallah bersama kami, hai Rasulullah.”

Rasulullah SAW akan menjawab:

“Biarkanlah unta ini berjalan semahunya.”

Unta itu terus berjalan, diikuti dengan rapat para penduduk Madinah. Setiap kali ia melewati sebuah rumah, tuan rumah tersebut merasa sedih dan kecewa manakala orang-orang yang rumahnya menunggu giliran untuk dilalui oleh unta itu sentiasa mengharap-harap agar ia berhenti di depan pintu mereka. Unta itu meneruskan perjalanannya dengan diikuti oleh orang ramai sehingga ia berhenti di atas sebidang tanah di depan rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Namun, Rasulullah SAW tidak turun dari untanya itu.

Selepas beberapa ketika, unta itu berjalan semula, Rasulullah SAW membiarkan tali kekangnya terlepas. Walau bagaimana pun, tidak lama kemudian ia berpusing semula dan berhenti di atas tanah tadi. Hati Abu Ayyub dipenuhi dengan kegembiraan. Beliau keluar mendapatkan Nabi SAW dan menyambutnya dengan ghairah sekali. Beliau mengangkat barang-barang Nabi sambil merasakan bahawa beliau sedang membawa harta yang paling berharga sekali di dunia ini.

Rumah Abu Ayyub memiliki dua tingkat. Beliau telah mengosongkan tingkat atas dan semua milik keluarganya supaya Nabi SAW boleh tinggal di situ. Namun Nabi SAW lebih suka tinggal di tingkat bawah. Malam pun sampai dan Nabi SAW berehat. Tetapi apabila mereka telah menutup pintu, Abu Ayyub menoleh ke arah isterinya lalu berkata:

“Celakalah kita! Apa yang telah kita lakukan? Rasulullah SAW berada di bawah dan kita ada di atasnya! Adakah kita berjalan di atas Rasulullah SAW! Adakah kita menghalang wahyu?! Jika benar, maka binasalah kita!”

Pasangan suami isteri itu menjadi bertambah bimbang tidak tahu apa yang harus dilakukan. Mereka hanya dapat sedikit akal bila mereka bergerak ke tepi rumah supaya tidak betul-betul berada di atas Nabi. Mereka juga berhati-hati supaya berjalan di tepi-tepi sudut lantai dan tidak di tengah-tengahnya. Pada keesokan paginya, Abu Ayyub menemui Rasulullah SAW lalu berkata:

“Demi Allah, kami tidak dapat melelapkan mata sedikit pun malam tadi, begitu juga dengan Ummu Ayyub.”

“Mengapa hai Abu Ayyub?” Tanya Rasulullah, hairan.

Abu Ayyub pun menerangkan kebimbangan mereka kerana berada di atas manakala baginda pula berada di bawah, dan mungkin mereka juga boleh menghalang wahyu.

“Janganlah bimbang, hai Abu Ayyub,” kata Nabi SAW, “Kami lebih suka tinggal di tingkat bawah kerana ramai orang yang akan menziarahi kita.”

“Kami akur dengan kehendak Rasul,” jawab Abu Ayyub.

Abu Ayub ada menceritakan satu kisah:-

“Pada suatu malam yang sejuk, sebuah kendi kami telah pecah dan air mengalir di atas lantai atas. Ummu Ayyub dan aku memandang air tersebut. Kami hanya memiliki sehelai kain baldu yang kami gunakan sebagai selimut. Kami pun menggunakannya untuk mengelap air itu kerana bimbang ia menyerap ke bawah dan terkena pada Nabi SAW. Pada waktu pagi, aku mendapatkan baginda lalu berkata:

`Aku tidak senang berada di atasmu.’

Dan memberitahunya apa yang telah terjadi. Baginda menerima keinginanku dan kami pun berpindah tempat.”

Rasulullah SAW tinggal di rumah Abu Ayyub selama hampir tujuh bulan sehingga masjid yang dibinanya telah siap di atas tanah tempat unta baginda berhenti. Baginda berpindah ke bilik yang dibina di sekeliling masjid tersebut untuk diri dan keluarganya. Dengan demikian, baginda menjadi jiran Abu Ayyub. Alangkah beruntungnya kerana mendapat jiran semulia itu!


Abu Ayyub sangat mencintai Nabi SAW dengan seluruh hati dan nabi SAW juga amat mencintainya. Tidak ada peraturan rasmi di antara mereka. Nabi SAW terus menganggap rumah Abu Ayyub seperti rumahnya sendiri.

Pada suatu hari, Abu Bakar keluar dari rumahnya di waktu tengahari yang terik lalu pergi ke masjid. Umar terlihatnya lalu bertanya:

“Hai Abu Bakar, apa yang membuat engkau keluar pada waktu begini?”

Abu Bakar mengatakan bahawa dia terlalu lapar, lalu Umar pun turut mengakui dirinya juga kelaparan. Rasulullah SAW terserempak dengan mereka lalu bertanya:

“Apa yang membuat kamu berdua keluar dari rumah pada waktu begini?”

Mereka memberitahu baginda lalu baginda berkata:

“Demi Tuhan yang jiwaku di tanganNya, hanya laparlah yang membuat aku keluar juga. Marilah bersamaku.”

Mereka pun pergi ke rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Kebetulan, Abu Ayyub sedang bekerja di kebun kurma berdekatan. Beliau mendengar suara Nabi SAW lalu segera datang.

“Selamat datang kepada Rasul dan siapa saja yang bersamanya,” katanya lalu meneruskan, “hai Rasulullah, biasanya engkau tidak datang pada waktu begini.”

Abu Ayyub selalu menyimpan sedikit makanan untuk Nabi setiap hari. Jika Nabi tidak datang, maka Abu Ayyub memberikan makanan tersebut kepada keluarganya.


Abu Ayyub keluar dan memotong setandan kurma yang di dalamnya ada kurma masak dan ada kurma yang setengah masak.

“Aku tidak mahu engkau memotong yang ini,” kata Nabi, “Mengapa engkau tidak bawakan kurma yang masak saja?”

Abu Ayyub berkata:

“wahai Rasulullah, silakanlah makan kurma yang telah masak dan yang setengah masak ini. Aku akan menyembelih seekor kambing untukmu.”

“Kalau begitu, jangan sembelih kambing yang ada susu,” pesan baginda.

Abu Ayyub menyembelih seekor anak kambing, memasaknya separuh dan memanggang yang separuh lagi. Beliau juga meminta isterinya supaya membuat roti kerana isterinya pandai dalam hal itu.

Bila makanan telah siap, ia dihidangkan di depan Nabi SAW dan kedua-dua orang sahabatnya itu. Nabi mengambil sekeping daging, meletakkannya ke atas roti lalu berkata:

“Wahai Abu Ayyub, bawakanlah ini kepada Fatimah, dia tidak makan seperti ini selama beberapa hari.”

Apabila mereka selesai makan dan merasa puas, Nabi SAW berkata:

“Roti dengan daging, busr dengan rutb!”

Kemudian air mata mengalir dari kelopak matanya. Baginda berkata lagi:

“Ini adalah nikmat yang akan ditanyakan kepada kamu pada hari kiamat kelak. Maka jika kamu makan nikmat itu, ucapkanlah bismillah dan bila selesai katakanlah Alhamdulillahillazi huwa ashba’na wa an’ama a laina (Segala puji bagi Allah yang telah mencukupkan kami dan menganugerahkan nikmat ke atas kami). Ini adalah baik.”

Itulah imbasan terhadap kehidupan Abu Ayyub sehari-harian. Beliau juga mempunyai karier ketenteraan yang tersendiri. Banyak dari masanya dihabiskan sebagai seorang pahlawan sehingga dikatakan mengenainya:

“Beliau tidak terlepas dari semua pertempuran yang disertai oleh kaum Muslimin sejak dari zaman Nabi SAW sehinggalah zaman Muawiyah melainkan beliau terlibat semuanya.”


Misi ketenteraan terakhir yang disertainya ialah yang disediakan oleh Muawiyah dan dipimpin oleh anaknya, Yazid untuk menentang Konstantinopel. Pada waktu itu, Abu Ayyub sudah sangat tua, hampir berusia lapan puluh tahun. Tubuhnya kurus kering kerana diserang sakit malaria. Tetapi hal itu tidak menghalangnya daripada menyertai pasukan tentera dan menyeberangi lautan untuk berjihad di jalan Allah. Tidak lama selepas terlibat dalam peperangan itu, Abu Ayyub jatuh sakit dan terpaksa berundur dari berjihad. Namun begitu, beliau tetap berada di atas kudanya dalam keadaan seperti melekat.

Yazid datang mendapatkannya lalu bertanya:

“Wahai Ayahanda Abu Ayyub, adakah ayahanda memerlukan sesuatu?”

“Hai Yazid, sampaikanlah salamku kepada tentera Muslimin dan katakan kepada mereka bahawa Abu Ayyub menyuruh kamu supaya menyerbu masuk ke dalam kawasan musuh sejauh yang boleh, bawalah dia dan kebumikan dia di bawah dinding kota Konstantinopel, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa seorang lelaki yang soleh akan syahid dan dikebumikan di bawah dinding tersebut.”

Kemudian beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Tentera Muslimin melaksanakan keinginan sahabat Nabi yang agung itu. Mereka berjaya mengundurkan tentera musuh dalam serangan demi serangan sehingga mereka sampai ke dinding kota Konstantinopel. Di sana, mereka mengebumikan jasad beliau.

Kaum Muslimin mengepung kota tersebut selama empat tahun tetapi akhirnya berundur.

Rupanya, janji Nabi mengenai kemenangan ke atas kota Konstantinople ini benar. Ia disempurnakan oleh Sultan Muhamad al-Fateh.


"Sirah, Perjalanan Menbina Sejarah"
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
3 Julai 09, jam 3.12 pagi
 


Lading_Emas

No comments:

Post a Comment