Wednesday, October 28, 2009

Wasiat Rasulullah pd Sd. ALi

13 Wasiat Rasulullah S.A.W. pd Saidina Ali,
-------------------------------------------------------------------------------------
RASULULLAH S.A.W. ada menyampaikan pesanan dan wasiat kepada isteri, anak, kaum
kerabat dan umat Islam seluruhnya. Namun antara wasiat yang menarik dan boleh
dijadikan bahan renungan bersama ialah wasiatnya kepada menantu baginda, Saidina Ali
Abu Talib.


Sungguhpun wasiat itu khusus kepada Ali, namun kita sebagai Muslim dan muslimah, perlu
menjadikannya sebagai iktibar lalu menjadikannya amalan.


Larangan dan suruhan Rasulullah saw melalui wasiat itu, adalah juga untuk kaum
Muslimin dan muslimat. Malah, boleh dikatakan semua perkara dalam wasiat itu adalah
ciri-ciri utama orang beriman.


Berikut adalah antara wasiat Nabi kepada Ali seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu
Abbas:
Ibnu Abbas meriwayatkan, bahawa Ali Abu Talib berkata:
"Pada hari perkahwinan dengan Fatimah, Rasulullah saw bersabda kepadaku, mengutarakan tiga belas[13] wasiat khusus untukku:"





1. Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam) tanpa memakai
kain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa memasuki tempat mandi tanpa kain
separas pinggang, maka dia mendapat laknat (mal'un).


2. Wahai Ali, janganlah engkau 'memakai cincin di jari telunjuk dan di jari tengah'.
Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.


3. Wahai Ali, sesungguhnya Allah mengagumi hamba-Nya yang melafazkan istighfar:
"Rabighfirli fainnahu la yaghfirul-zunuba illa Anta" ( Tuhanku, ampunilah aku.
Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau).
Allah lalu berfirman:
   "Hai malaikat-Ku, sesungguhnya hamba-Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Aku. Hai malaikat-Ku: Jadilah saksi, bahawasanya aku telah mengampuni dia".




4. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu
menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab (pendusta). Dan,
bahawasanya benar itu memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq.
Ketahuilah engkau, bahawasanya sidq (benar) itu berkat dan kizb (dusta) itu celaka.


5. Wahai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-dumba.
Bahawasanya orang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan menjadi
penghalang kepadanya di pintu syurga.


6. Wahai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar,
kecuali dalam keadaan darurat, dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau.
Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan nama-Nya.




7. Wahai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya
Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari.


8. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan maki-
hamun dan sumpah-seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada
akhirnya penyesalan.


9. Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencolek (mencungkil) gigi. Bahawasanya
bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah, manakala mencolek
gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana
sisa-sisa makanan di celah gigi tidak dicolek selepas makan.


10. Wahai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah.Apabila timbul rasa marah,
duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan kesabaran Allah Taala ke atas
hamba-Nya. Pertahankah diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau
kepada kesabaran.


11. Wahai Ali, perhitungkanlah (tahassub) kurniaan Allah yang telah engkau nafkahkan
untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh peruntukan daripada Allah.




12. Wahai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada
diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka engkau kasihkan
juga pada diri saudara engkau, yakni engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi
hukuman. Dengan itu, engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi.


13. Wahai Ali, perbaikkanlah perhubungan di antara penduduk (jiran) sekampung dan
antara ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan
dan kekeluargaan, nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.


Wahai Ali, peliharakanlah pesananku (wasiatku). Engkau akan peroleh kemenangan dan
kelepasan. InsyaAllah.


Islam pada awalnya asing dan akan kembali terasing, maka berbahagialah kiranya bagi
yang terasing.


Untuk renungan dan ikthibar kepada kita semua di Jumaat yg sungguh mulia ini.


Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda,
"Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat.."



Lading_Emas

No comments:

Post a Comment