Tuesday, October 27, 2009

Pengajaran dari Sirah Rasullulah


Bergurau dalam pergaulan

Biasanya kita lihat orang yang suka bergurau wajahnya selalu kelihatan muda dan menyenangkan. Di mana-mana tidak pernah kelihatan murung, sebaliknya kehidupannya penuh dengan keriangan. Amat berbeza dengan orang yang pendiam dan serius dalam kehidupannya mempunyai raut wajah yang berlainan. Wajahnya kelihatan tua walaupun umurnya masih lagi muda dan ada yang sampaikan muda-muda lagi sudah beruban.

Bergurau di dalam Islam tidaklah dilarang asalkan gurauan itu ada haq. Sebaliknya kalau gurauan itu dimaksudkan untuk membuatkan orang lain ketawa atau agar ia ditertawakan, sudah tentu ia dilarang. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Barang siapa berbicara dengan sesuatu kalimat sehingga kalimat itu menjadi tertawa sahabat2nya, nescaya Allah bakal menyiksanya kelak di dalam neraka.”

Pada zaman Rasulullah S.A.W bgurau ini sudah berlaku di dalam pergaulan. Bahkan baginda sendiri pernah bergurau dgn keluarganya atau para sahabat2nya.

Pernah menurut hadith yg bersumber dari Hassan ada seorang nenek datang mghadap baginda, di hadapan baginda beliau berkata :

“Wahai Rasulullah doakanlah agar saya dapat masuk syurga.”

“Wahai nenek, ketahuilah bahawa di syurga kelak tidak tdapat org tua seperti kamu,”jawab Rasulullah S.A.W..

Spontan sahaja nenek tua itu terus menangis setelah mendengar sabda Rasulullah S.A.W. yg demikian, tetapi kemudian sambil tersenyum baginda bersabda : “Bukan aku katakan bahawa tidak ada orang tua yg masuk ke syurga. Kerana semuanya telah berubah menjadi gadis2 perawan. Ingatlah firman Allah Yang Maksudnya :

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dgn ciptaan istimewa”.

“Serta kami jadikan mereka sentiasa dara (yg tidak pernah disentuh).” ( Surah Al-Waaqi’ah: 35-36)

Ketika mendengar jawapan itu,dgn spontan wanita tua itu tertawa, dan mengerti bahawa dia akan menjadi gadis di syurga.

Berdasarkan kisah tadi, dpt kita lihat bhw kehidupan Rasulullah juga tidak lepas dari gurauan. Mungkin dari segi ini pulalah beliau kemudiannya mendapat simpati daripada pengikut-pengikutnya.

Mereka tidak merasa bosan walaupun dalam suasana menderita akibat tekanan berat dari orang2 Quraisy. Kesemuanya dihadapi dengan tenang dan penuh dgn kegembiraan, dgn muka yg berseri2, namun begitu sentiasa berwaspada. Itulah keperibadian Rasulullah S.A.W, dimana gurauan dibuatnya sebagai selingan dalam pergaulan. Dgn demikian, suasana kehidupan menjadi lebih menarik dan penuh dengan semangat.

Masalah gurauan ini bukan hanya terbatas dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sahaja, melainkan para sahabat dan bahkan kepada keluarga Rasulullah S.A.W sendiripun kadang-kadang bergurau.

Pada suatu hari Rasulullah S.A.W berada di rumah Aisyah R.A. Kebetulan pada waktu itu Aisyah sedang memsak bubur haritsah. Bila bubur itu masak dia menghidangkannya kepada Saudah dan Rasulullah S.A.W.. Tetapi Saudah lalu berkata :

“Maaf, saya tidak suka makanan ini.”

“Demi Allah, kamu harus makan buburku ini atau kusapukan ke mukamu,”jawab Aisyah.

Lalu segera Aisyah mengambil sedikit bubur dan disapukan ke muka Saudah. Begitu juga yang dilakukan oleh Saudah lalu disapukan ke muka Aisyah. Melihat kejadian itu, Rasulullah S.A.W. hanya tersenyum simpul.

Sesungguhnya bergurau itu disenangi oleh semua pihak asalkan tidak melampaui batasnya. Tidaklah kira pangkat atau keturunan, tua atau muda,lelaki atau perempuan, bahkan juga kanak-kanak pun sukakan gurauan. Kerana bergurau adalah bunga dalam pergaulan dan pelipur lara setia di kala duka. Sewaktu Saiyidina Ali R.A menjawat jawatan khalifah ada salah seorang rakyatnya yang datang bertanya kepadanya :

“Wahai Amirul Mukminin, pada zaman khalifah Abu Bakar dan Umar suasana negara selalunya aman. Tidak berlaku sebarang kekacauan dan juga perselisihan. Tetapi sekarang setelah tuan menjawat jawatan ini, ternyata keadaan negara kacau bilau dan tidak lagi tenteram. Kenapakah ini yang berlaku?”

“Tentu sahaja, sebab dahulu ketika kedua itu menjawat jawatan sebagai khalifah, rakyatnya terdiri dari orang-orang seperti saya. Maka amanlah keadaan negara. Tetapi sekarang ini ketika saya menjadi khalifah, rakyat terdiri daripada orang-orang sperti kamu. Maka rosaklah negara.” Jawab Saiyidina Umar sambil tersenyum.

Walaubagimanapun, janganlah ada dikalangan kita bergurau sembarangan. Berguraulah dengan sopan dan tidak menyingung perasaan sesiapa dan menghina agama. Sungguhpun bergurau itu tidak dilarang, tetapi terlebih bergurau juga tidak elok. Al-Ahnaf berkata : “ Banyak tertawa menghilangkan kewibawaan, sedang banyak bergurau menghilang harga diri.”

Juga didalam sebuah hadith disebutkan,

Maksudnya :

“Barangsiapa yang banyak ketawa, nescaya orang lain akan meremehkannya.”

Pada suatu hari Rasulullah S.A.W bertemu dengan Shuhaib yang sedang sakit mata sedang makan kurma. Lalu beliau menegurnya :

“Hai Shuhaib, adakah kamu makan kurma sedangkan matamu sakit?”

“Betul ya Rasulullah, tetapi saya memakannya dengan sebelah mata yang sihat,”jawab Shuhaib bergurau.

Mendengar jawaban itu Rasulullah S.A.W lalu tersenyum. Tetapi sebahagian mereka mengatakan pada waktu itu baginda tertawa hingga menampakan gig-gigi serinya.

Demikian inilah kegunaan gurau dalam pergaulan, dimana Rasulullah S.A.W dan para sahabat juga kadang-kadang bergurau. Hanya yang perlu diingatkan, janganlah ada yang bergurau melampaui batas yang sepatutnya. Seperti menyinggung perasaan orang lain, lupa tanggungjawab kepada agama dan melebihi had tatacara pergaulan.

Selang-selikanlah kehidupan ini dengan bergurau kerana sesuai dengan tuntutan Rasulullah S.A.W. Pasti kehidupan ini akan lebih bersemarak. Penuh dengan keghairahan kerja dan ibadah serta tidak merasa kebosanan.

JUJUR DALAM BERNIAGA


Kejujuran amat penting dalam kehidupan kita seharian. Terutama sekali dalam bidang perniagaan. Tanpa kejujuran, setiap kerja yang kita lakukan tidak akan mendatangkan hasil yang memuaskan hati kita. Mungkin juga akan menyebabkan kita menemui jalan penyelesaian yang buntu atau jika ia berjaya sekalipun, kejayaan itu hanya bersifat sementara sahaja. Seandainya kita jujur dalam berniaga, tidak dinafikan kita dapat menarik pelanggan untuk berurusan dengan kita. Ini kerana kita telah diberi kepercayaan untuk urusan jual beli. Didalam sejarah Nabi Muhammad SAW disebutkan bahawa beliau adalah orang yang paling berhasil dalam memperdagangkan barang-barang Khadijah berbanding dengan kawan-kawan perdagangan yang lain. Kunci kejayaan baginda tentulah hasil dari kejujuran baginda dalam urusan perniagaan. Bukankah baginda amat dikenali dengan gelaran Al-Amin yang bermaksud “yang jujur dalam setiap perkara”. Baginda tidak pernah cuba untuk menipu barang dagangan, dan disebabkan sifatnya itulah hasilnya amat memuaskan. Berdagang adalah antara usaha manusia untuk mencari rezeki di muka bumi ini. Sesungguhnya kita diwajibkan untuk keluar mencari rezeki.

Sabda Rasulullah SAW :

“Wahai sekalian manusia, takutlah kepada Allah. Dan carilah rezeki dengan cara yang baik. Kerana sesungguhnya seseorang itu tidak akan mati sebelum sempurna rezekinya meskipun lambat daripadanya. Maka takutlah kalian kepada Allah. Dan carilah rezeki dengan cara yang baik.

"Ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram.”

(HR Ibnu Majah, Al-Hakim dari Jabir)

Yang dimaksudkan dengan mencari rezeki yang baik ialah dengan menghindarkan diri daripada melakukan tatacara berniaga yang ditetapkan oleh Allah SWT. Peniaga tidak boleh minimbunkan barang dagangannya ketika ekonomi sedang meleset kerana pada saat itu semua orang memerlukan barang yang ditimbunkan. Peniaga tidak boleh untuk menyembunyikan barang dagangannya yang buruk dengan barang dagangan yang baik mutunya. Mereka juga tidak boleh untuk memuji-muji barang dagangan mereka sahaja yang baik. Selain itu tidak boleh untuk mengurangkan timbangan atau takaran dalam menimbang atau menakar dagangannya. Selain itu banyak lagi perkara yang tidak boleh dilakukan dalam berniaga walaupun ianya membawa keuntungan yang besar. Kerana keuntungan itu tidak membawa sebarangan atau manfaat kepada peniaga itu kerana ia diperolehi dari jalaan yang tidak halal. Jadi samalah seperti perumpamaan, membuka gedung di tengah lautan.

Pada suatu hari, Rasulullah SAW masuk ke dalam pasar. Di dalam pasar itu beliau berjumpa dengan seorang penjual makanan. Alangkah terkejutnya baginda apabila beliau melihat makanan yang begitu elok itu. Baginda mendekati peniaga tersebut dan memasukkan tangannya ke dalam bakul makanan itu bagi menguji kebaikkannya. Tiba-tiba baginda mendapati bahagian dalamnya basah.

Baginda bersabda : “Kenapakah ini?”

Peniaga itu mnjawab : “Ia terkana hujan”

Maka baginda bersabda lagi : “Mengapa tidak kamu letakkan di atas agar dapat dilihat oleh pembeli? Ingatlah, barangsiapa yang melakuakan tipuan, tidak termasuk dalam golongan kami.”

Peniaga yang ditemui oleh Rasulullah itu bertindak jujur dalam mejalankan perniagaannya kerana meletakkan makanan yang tidak elok disebelah bawah

agar tidak dilihat oleh pembeli. Perbuatannya ini boleh menyebabakan pembeli mengalami kerugian kerana dalam prinsip jual beli, prinsip asasnya adalah diantara kerelaan pembeli dan peniaga. Kerelaan akan timbul apabila kedua belah pihak berlaku jujur dengan mengakui barangan dagangan itu benar-benar sesuai dengan keadaan.

Rasulullah bersabda yang bermaksudnya :

“Barangsiapa mengangkat pedang melawan kami, maka ia tidak termasuk dalam golongan kami. Dan barangsiapa yang memalsukan kami ( dalam jual beli) maka tidaklah masuk dalam golongankami.”

( HR. Muslim dari Abu Hurairah.)

Tidak dapat kita nafikan dalam dunia perniagaan akan berlaku penyelewengan dan banyak ragamnya. Ada ketikanya seorang peniaga itu akan mencampurkan barang dagangannya yang bermutu tinggi dengan yang bermutu rendah. Ada juga dikalangan peniaga yang sanggup untuk melakukan sumpah palsu bagi melariskan barang dagangannya. Terdapat juga peniaga yang gemar mengurangkan berat timbangannya.

Terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh An-Nasa’I dan Ibnu Majah, ada disebutkan bahawa ketika Rasulullah sampai ke Madinah telah

baginda ketahui bahawa penduduknya gemar mengurangkan timbangan dan takaran. Disebabkan ingin membetulkan keadaan, maka baginda tidak

berputus asa untuk membetulkan keadaan disitu sehinggalah turn ayat dari Surah Al-Mutaffifiin, ayat 1-3 sebagai ancaman kepada orang- orang yang

tidak betul dalam membuat timbangan.

Maksudnya :

“ Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam pertimbangan).”

“ Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang-cupak) dari orang mereka mengambilnya cukup.”

“ Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.”

(Surah Al-Muyaffifiin :1-3)

Setelah ayat ini turun, orang-orang Madinah jujur dalam melakukan timbangan dalam berniaga.

Para peniaga yang tidak berbudi akan cuba mengaut keuntungan dengan sewenang-wenangnya. Rasulullah sentiasa menganjurkan agar menjadi

peniaga yang jujur dan benar. Sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud :

“ pedagang yang benar dan terpecayaitu bersama-sama para nabi, orang-orang yang benar dan para syuhada.”

(HR.At.Tarmidzi)

MENJUNJUNG TINGGI ILMU PENGETAHUAN

Majunya sesuatu bangsa kerana ilmu. Kerajaan Mesir kuno, kerajaan Babilonia, kerajaan Romawi, kerajaan Persia, kesemuanya mencapai kemajuan hingga dikenali sebagai sebuah pusat-pusat peradaban kerana kerajaan-kerajaan ini telah menngeterapakan ilmu pengetahuan dalam kehidupannya. Kemudian disusuli dengan kebangkitan bangsa Arab yang kemudiannya dapat menandingi bahkan mengalahkan kerajaan Persia dan Romawi Timur juga kerana kemajuannya dalam ilmu pengetahuan. Jadi ilmu pengetahuan adalah asas utama bagi seseorang atau negara untuk mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang. Tidak mungkin seseorang atau sesebuah negara dapat mencapai kemajuan dalam bidang atau apapun kalau orang itu atau rakyat di negara itu masih dalam kebodohan, dan acuh tak acuh terhadap ilmu pengetahuan.

Begitu pentingnya ilmu pengetahuan dalam arena kehidupan , Rasulullah S.A.W. telah mempelopori umatnya untuk gait mencari ilmu pengetahuan, baik ilmu pengetahuan umum mahupun agama. Ilmu pengetahuan umum yang dimaksudkan agar umtnya akan dapat mengharungi kehidupan dengan aman dan tenteram, segala keperluan tercukupi berkat kepandaian ilmunya di dalam mengolah segala yang diciptakan Allah

Ta’ala di muka bumi. Diolahkan tanah menjadi subur setelah ditanami pelbagai macam dengan tumbuh-tumbuhan. Dari hasil tumbuh-tumbuhan ini manusia boleh memanfaatkannya untuk menjadi keperluan harian. Diolahkan air untuk menjadi tenaga elektrik yang menjadi penerang manusia dimalam hari.

Diolahnya bumi untuk menghasilkan bahan galian yang menjadi benda berguna untuk kegunaan harain manusia. Pendek kata segala yang dijadikan oleh Allah Ta’ala di muka bumi ini semuanya dapat untuk memberi manfaat kepada kehidupan mahluknya di muka bumi ini terutamanya jika dimanfaatkan ilmu
pengetahuan yang ada. Sedang ilmu pengetahuan agama dimaksudkan untuk menjadi pembimbing dalam kehidupan manusia agar tidak melanggar peraturan kehidupan manusia seperti yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala. Selalu mentaati perintah Allah iaitu tidak melanggar arahannya dan meninggalkan larangannya. Bilamana kedua ilmu ini diseimbangkan, nescaya kehidupannya akan bahagia dan sejahtera baik didunia dan diakhirat.

Sebagaimana yang dinyatakan tadi, Rasulullah S.A.W. adalah pelopor dalam menghairahkan umatnya untuk mencari ilmu pengetahuan.

Maka tidak menghairankan jika kebanyakkan hadith Rasulullah lebih berkisar kepada masalah ilmu pengetahuan. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa melalui jalan dimana ia menuntut ilmu pada jalan itu, nescaya Allah akan memudahkan kepadanya jalan ke syuirga.”

(HR.Muslim)

Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud :

“Barangsiapa yang keluar untuk menuntut ilmu, nescaya dia ada didalam sabilillah (berjuang didalam jalan Allah) hingga dia kembali.”

Betapa tinggi kedudukan ilmu,jelas tersirat di dalam dua hadith di atas. Sehingga orang yang menuntut ilmu itu bukan hanya akan menjunjung tinggi martabatnya didunia dan di akhirat pun kelak akan memperoleh pahalanya.

Pengaruh hadith di atas itu benar-benar meresap di hati setiap orang Islam,terutamanya mereka yang memeng mempunyai keghairahan untuk menuntut ilmu. Maka tidak hairanlah dalam waktu yang singkat perkembangan ilmu pengetahuan di kalangan umat Islam berkembang dengan pesat. Dalam satu kesempatan, dihadapan umum Rasulullah S.A.W. telah bersabda : “Aku adalah kota ilmu, sedang Ali adalah pintu gerbangnya.” Mendengar ucapan demikian tiba-tiba sahaja orang-orang Islam merasa dengki terhadap Ali. Ada sepuluh orang yang menguji Ali. Mereka telah mempersiapkan pertanyaan yang harus dijawabnya jika benar-benar ia sebagai pintu gerbangnya ilmu.

“Hai Ali, manakah yang lebih utama, ilmu atau harta-benda?”tanya salah seorang daripada mereka.

“Ilmu itu lebih utama daripada harta benda,”jawab Ali.

“Apa alasanmu?”katanya.

“Ya, kerana ilmu adalah warisan para nabi, sedang harta-benda adalah warisan daripada Firaun, Qarun, Syaddad dan lain-lainnya,”jawab Ali.

Lalu datang orang keduanya dan terus bertanya : “Hai Ali, manakah ynag lebih utama, ilmu atau harta benda?”

“Ilmu lebih utama daripada harta benda.”,jawab Ali.

“Apa alasanmu?”dia bertanya.

“Ya, kerana ilmu menjagamu, tetapi harta, kamu yang menjaganya,”jawab Ali.

Datang lagi orang yang ketiga, dan bertanya, “Hai Ali, yang manakah lebih penting, ilmu atau harta benda?”.

“Ilmu lebih utama daripada harta benda.”

“Apa alasanmu?”

“Ya, kerana orang yang berilmu akan mempunyai ramai teman, sedangkan orang yang berharta akan mempunyai ramai musuh.”

Kemudian datanglah orang yang keempat dan bertanya, sebagaimana pertanyaan teman-temannya terdahulu. Namun Ali yang dijuluki Rasulullah S.A.W.

sebagai pintu gerbangnya ilmu tidak kurang akal untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan mereka. Dan ternyata jawaban-jawabannya sangat memuaskan bagi penanyanya.

Dikatakan didalam sebuah hadith bahawasanya Nabi Sulaiman A.S. disuruh untuk memilih antara ilmu dan kerajaan. Lalu ia memilih ilmu, sehingga Allah Ta’ala memberinya ilmu di samping juga kerajaan. Ini membuktikan bahawa orang yang mempunyai ilmu itu lebih baik dan utama daripada mempunyai harta benda betapapun banyaknya. Kerana harta-benda dapat habis bila tidak disertakan dengan ilmu. Sebaliknya dengan ilmu, seseorang itu diharapkan dapat untuk menambahkan harta yang ada. Oleh sebab itu, walaupun Nabi Sulaiman A.S memilih ilmu akan tetapi dengan ilmunya itu dia dapat untuk menduduki kerusi kerajaan dengan kekayaan yang berlimpah-ruah.

Disebutkan didalam Al-Quran yang membawa maksud”

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu”. (Surah Faatir:28)

Sebagai umat Islam sudah sewajarnyalah bahkan wajib menunutut ilmu pengetahuan, sesuai dengan anjuran Rasululllah S.A.W: “Tuntutlah ilmu walau

pun ilmu itu ada di negeri China”. Dengan ilmu dan takwa agama Islam pasti jaya menungulli umat-umat lainnya.

MENYAYANGI BINATANG

Binatang adalah mahluk Allah Ta’ala juga. Ia diciptakan bukan tidak ada gunanya. Banyak kegunaan binatang kepada manusia. Hanya kerana kemampuan akal manusia masih terbatas, belum boleh menyelidiki seluruh alam binatang dari segi kemanfaatannya bagi manusia, maka ramai yang menganggap remah terhadap bintang. Mereka memperlakukan bintang menurut selera mereka sendiri tanpa mendhiraukan kesakitan yang dialami oleh binatang itu. Sehubungan dengan itu, maka manusia diwajibkan untuk menyangui bintang. Erti menyayangi binatang di sini bukan bermaksud kita tidak boleh membunuh binatang tertentu yang boleh memudaratkan kita. Kita boleh membunuh ular, tikus, musang atau mana-mana bintang lain yang boleh memudaratkan kita. Tetapi kerana kita diwajibkan untuk menyayangi binatang, tentu sahaja cara membunuhmya haruslah dengan berperikemanusiaan. Bukan kerana tikus boleh membunuh, lalu dibakar hidup-hidup sebagai tontonan. Yang demikian ini bererti tidak mempunyai rasa sayang kepada binatang. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :

“Orang-orang yang penyanyang itu Allah yang Maha Penyanyang akan menyangi mereka. Maka sayangilah semua mahluk yang ada di muka bumi pasti mahluk yang ada di langit (para malaikat) menyanyangi kalian.”

Pada suatu hari Mas’ud berpergian bersama-sama Rasulullah S.A.W..Ditengah jalan dia menemukan seekor burung yang mempunyai 2 anak. Ketika Rasulullah S.A.W sedang mendatangi hajat ke belakang, kedua anak burung itu diambil. Tetapi tidak beberapa lama kemudian tiba-tiba ibunya datang mencari sambil berputar-putar di kepala Ibnu Mas’ud.

Seketika itu pula Rasulullah S.A.W. bersabda : “Siapakah yang telah menyusahkan burung ini dengan mengambil anaknya? Kembalikan anaknya kepadanya.”

Begitu pula tidak berapa lama dari kejadian itu, beliau melihat sarang semut terbakar. Dengan hiba beliau bertanya : “ siapakah yang telah membakar ini?”

“Kami ya Rasulullah, yang membakarnya,:jawab kaum itu. “sesungguhnya tidak layak menyiksa dengan api kecuali Allah yang menjadikan api.”.

Kejadain diatas merupakn bukti bahawa ajaran Rasulullah S.A.W yang menganjurkan umatnya untuk saling sayang-menyayangi sesama mahluk tidak kira manusia denagn manusia atau manusia dengan binatang. Oleh sebab itu, dalam berbagai kesempatan baginda tidak henti-henti menegur para pengikutnya agar tidak berlaku kasar dengan binatang. Sehinggakan dalam kehidupan seharian baginda selalu menyayangi binatang walaupun bukan binatang baignda. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan olea Bukahari dan Muslim bersumber dari Anas R.A. berkata :

Maksudnya :

“Rasulullah S.A.W. telah melarang dikurungnya binatang untuk dibunuh.”

(HR. Bukhari, Muslim)

Walaupun demikian, dalam kehidupan seharian, kita sering melihat orang menyabung ayam dan sebaginya. Kebiasaannya ini benar-benar telah melanggar ajaran Islam. Mereka sebetulnya tidak mempunyai hati dan perikemanusiaan. Mungkin dalam pemikiran mereka itu binatang tersebut tidak mempunyai perasaan. Seandainya bintang itu mampu untuk bersuara, pasti ia akan memprotes tindakan manusia itu.

Pernah suatu ketika di negeri Arab adalah menjadi suatu kebiasaan bagi mereka untuk memberi cap atau tanda dengan besi yang dibakar atas himar-himar mereka di bahagian muka. Tetapi kebiasaan itu diketahui oleh Rasulullah S.A.W, maka kemudiannya beliau melarangnya. Hinggakan akhirnya kebiasaan itu diubah dengan memberi cap pada setiap himar dekat kemaluannya. Di dalam agama Islam ada diajarkan cara menyembelih binatang. Ini dimaksudkan agar manusia menghindari perbuatan yang sifat menyiksa binatang. Kita dilarang untuk menyembelih dengan senjata-senjata yang tumpul, dengan tulang atau dengan gigi. Kerana senjata-senjata ini boleh menyebabkan sakitnya binatang yang disembelih. Begitu pula waktu menyembelih tidak boleh untuk mengangkat senjata menyembelih dari leher tepat menyembelih setelah benar-benar penyembelihan. Ini untuk memastikan agar binatanhg ini tidak mengalami kesakitan yang kedua kalinya. Demikianlah antara lain Islam memberikan tuntutan bagaimana sebaliknya menghadapi binatang hingga benar-benar dapat dihindarkan perbuatan yang sifatnya menyiksa. Tidak ada orang yang berhak menyiksa kecuali Allah Ta’ala.

Perhatikanlah sabda Rasulullah S.A.W. yang bersumber dari Syaddad bin Aus dan diriwayatkan oleh Muslim.

Rasulullah S.A.W bersabda ::

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan cara yang baik pada tiap-tiap sesuatu. Maka apabila kamu membunuh, hendaklah kamu baikkan cara pembunuhannya. Dan jika kamu menyembelih, maka hendaklah kamu baikkan cara penyembelihannya. Dan hendaklah seseorang dari kalian menajamkan pisaunya dan hendaklah ia memudahkan (kematian) bintang sembelihannya.”
(HR. MUSLIM)

MENYAYANGI PEMBANTU RUMAH

Kebelakangan ini sering saja kita dengar tentang penderaan pembantu rumah. Waluapun mereka datang dari negara lain, tetapi mereka juga manusia yang ada hati dan perasaan. Sebaliknya sebagai majikan haruskah menjaga kebajikan pembantu rumah selama mana mereka di bawah penyeliaan. Dapat kita jadikan iktibar dari zaman Rasulullah bagaiumana baginda menjaga pembantu baginda.

Dalam sejarah kenabian belum pernah terdengar para sahabat Rasulullah S.A.W yang menjadi pembantu baginda mengeluh kerana

perlakuan kasar baginda. Abu Dzar Al-Ghaifari, Bilal, Zaid bin Harithah dan lain-lain lagi adalah sahabat baginda yang selalu melayani baginda. Kenyataannya mereka lebih senang untuk berkumpul bersama-sama dengan baginda.

Terdapat banyak hadith-hadith Rasulullah yang menerangkan bagaimana untuk bergaul dengan pembantu rumah dengan baik. Didalam

sebuah hadith yang bersumber dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud

“Apabila datang kepada salah seorang kalian akan pembantunya dengan membawa makanannya (tuan rumah), bilamana dia tidak mempersilakannya duduk bersama-sama, maka hendaklah ia (pembantu)lah yang menguasai pengurusan makanan (tuan rumah).”
(HR Bukhari)

Hadith diatas adalah salah satu ajaran Rasulullah S.A.W. agar kita melayan pembantu rumah dengan baik. Bukan disebabkan majikan telah membayarnya setiap bulan, lantas meperlakukan pembantu rumah sesuka hati. Walaupun pembantu rumah boleh diklasifikasikan sebagai buruh, iaitu mahu bekerja kerana dibayar gaji, tetapi sebagai anggota rumahtangga iapun mempunyai tanggungjawab untuk menjaga harta kekayaan tuannya. Dengan kata lain, ia mempunyai tanggungjawab yang amat besar di atas keselamatan harta tuannya. Maka sewajarnya kita mengikut apa yang telah diamalkan oleh Rasulullah S.A.W.

Terdapat dalam sebuah hadith dari Ibnu Umar dimana beliau mendengar Rasulullah bersabda:

“Kalian semua adalah pemimpin yang bakal ditanyai mengenai rakyatnya. Imam (ketua negara) adalah pemimpin dan dia bakal ditanya mengenai rakyatnya. Suami adalah pemimpin di dalam keluarganya dan dia bakal ditanya mengenai rakyatnya. Isteri adalah pemimpin didalam rumah suaminya dan dia bakal ditanya mengenai rakyatnya. Dan pembantu rumah adalah pemimpin didalam menguruskan harta benda tuannya dan dia bakal ditanya mengenai rakyat nya. Dan kalian semua adalah pemimpin dan bakal ditanya mengenai rakyatnya”

(HR. Bukhari, Muslim)

Terdapat sebuah lagi kisah yang dapat kita jadikan iktibar, yang dipetik dari buku “KASKUL” yang dikarangkan oleh Bisri Mustafa yang mengisahkan seorang majikan yang baik hati. Didalam buku itu diceritakan : “Pada suatu hari ada seorang saudagar yang kaya- raya sedang menerima tetamu. Para pelayan kemudiannya menghidangkan berbagai jenis jamaun yang enak-enak. Tiba-tiba ada seorang pelayan yang membawa kuah, kerana kurang berhati-hati, tumpahlah kuah yang telah dibawanya dan terjatuh mengenai majikannya. Tentu sahaja majikannya itu marah. Tetapi disebabkan tetamu yang ramai, ditahan saja marahnya sehinggalah tetamunya bersurai. Dalam pada itu, pelayan tadi bersiap-siap mencari helah kerana memang diketahui majikannya akan memarahinya. Lalu dia teringatkan sebuah ayat Al-Quran yang bermaksud:

“Iaitu orang-orang yang mendermakan pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang akan menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

(Surah Ali Imran:134)

Dihafalnya ayat itu berkali-kali hinggalah hafal keseluruhan ayat itu. Maka setelah jamuan selesai, langsung saja majikan tadi menemui pelayan

tadi. Ketika melihat majikannya menghampiri, lalu pelayan tadi pun bersenandung dengan ayat Al-Quran ynag bermaksud :

“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya.”

(Surah Ali Imran:134)

Mendengarkan ayat itu, majikan itu pun tersenyum. Lalu pelayan itu meneruskan senandungnya yang bermaksud :

“Dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang”

(Surah Ali Imran :134)

Mendengar ayat itu lagi, seketika majikan itu pun berkata : “hai pelayan, sekali ini aku maafkan kau. Janganlah kau ulangi lagi perbuatanmu itu.

Belajarlah untuk berhati-hati dan bersopan kepada sesiapa.”

Betapa gembira pelayan itu, hingga ia meneruskan senandungnya yang terakhir yang bermaksud :

“Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

(Surah Ali Imran :134)

Sungguh tersentuh hati majikan itu ketika melihat pelayannya yang begitu pandai menggunakan dalil dari Al –Quran. Hingga akhirnya kerana merasa kasihan dia mengeluarkan sejumlah wang dan dihadiahkan kepada pelayannya lalu berkata: “Hai pelayan kurang ajar, terimalah wang ini. Awas sekali lagi kau janganlah ulangi apa yang lakukan tadi.”

Akhirnya pelayan itu bersyukur sambil tersenyum serta bersyukur kepada Allah Ta’ala. Demikianlah sekadar kita jadikan renungan dan teladan kepada majikan atau pembantu rumah. Kedua-duanya haruslah berpegang kepada apa yang telah diterangkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Insya-ALLAH, hubungan yang baik akan terjalin.




Lading_Emas

No comments:

Post a Comment