Menjawab Syi’ah: Ayat Rejam
Tahrif al-Quran merupakan salah satu akidah yang penting di dalam ajaran Syi’ah berdasarkan kitab-kitab utama mereka. Jelas sekali akidah ini bertentang dengan al-Qur`an. Oleh sebab Ahli Sunnah membantah kepercayaan mereka yang sesat itu maka, mereka cuba untuk mengalihkan pandangan umat Islam daripada serangan terhadap mereka itu dengan mengatakan bahawa kononnya Ahlus Sunnah Wal Jama’ahlah yang melakukan tahrif terhadap al-Quran. Di antara ayat al-Quran didakwa telah diselewengkan oleh sahabat-sahabat r.a. terutamanya Umar r.a. ialah berkenaan hukum rejam terhadap penzina muhshon (Lelaki atau perempuan yang telah berkahwin dan melakukan hubungan yang sah) sebagaimana yang terdapat di dalam riwayat-riwayat Ahlus Sunnah seperti:
قَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ وَهُوَ جَالِسٌ عَلَى مِنْبَرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحَقِّ وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ الْكِتَابَ فَكَانَ مِمَّا أُنْزِلَ عَلَيْهِ آيَةُ الرَّجْمِ قَرَأْنَاهَا وَوَعَيْنَاهَا وَعَقَلْنَاهَا فَرَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ فَأَخْشَى إِنْ طَالَ بِالنَّاسِ زَمَانٌ أَنْ يَقُولَ قَائِلٌ مَا نَجِدُ الرَّجْمَ فِي كِتَابِ اللَّهِ فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ أَنْزَلَهَا اللَّهُ وَإِنَّ الرَّجْمَ فِي كِتَابِ اللَّهِ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى إِذَا أَحْصَنَ مِنْ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ إِذَا قَامَتْ الْبَيِّنَةُ أَوْ كَانَ الْحَبَلُ أَوْ الِاعْتِرَافُ
Umar bin al-Khattab berkata ketika ia berada di atas minbar Rasulullah s.a.w.:
“Sesungguhnya Allah telah mengutuskan Muhammad s.a.w. membawa kebenaran dan menurunkan kepadanya kitab. Di antara yang diturunkan kepadanya ialah ayat rejam di mana kami telah membacanya, mengingatinya dan memahaminya.
Maka Rasulullah s.a.w. telah merejam dan kami juga telah merejam selepas itu. Saya bimbang setelah berlalu beberapa ketika akan ada orang yang berkata:
“kami tidak mendapati ayat rejam di dalam kitab Allah” lalu mereka menjadi sesat kerana meninggalkan salah satu kefardhuan yang telah diturunkan oleh Allah.
Sesungguhnya rejam di dalam kitab Allah adalah benar ke atas orang yang berzina bila dia telah muhshon sama ada lelaki dan perempuan bila terbukti atau dia mengandung atau dia mengaku”.
(Sahih Muslim Bab Merejam Orang Yang Telah Berkahwin Kerana Berzina, Sahih Al-Bukhari Bab Pengakuan Berzina Dan Bab Merejam Perempuan Mengandung Kerana Berzina Bila Ia Telah Muhshon, Sunan At-Termizi Bab Hadith Yang Datang Berkenaan Memastikan Hukum Rejam)
Ayat rejam yang dimaksudkan di atas dijelaskan melalui riwayat yang lain iaitu:
عن بن عباس قال سمعت عمر يقول : قد خشيت أن يطول بالناس زمان حتى يقول قائل ما نجد الرجم في كتاب الله فيضلوا بترك فريضة أنزلها الله ألا وإن الرجم حق على من زنا إذا أحصن وكانت البينة أو كان الحبل أو الاعتراف وقد قرأناها الشيخ والشيخة إذا زنيا فارجموهما البتة وقد رجم رسول الله صلى الله عليه و سلم ورجمنا بعده قال أبو عبد الرحمن لا أعلم أن أحدا ذكر في هذا الحديث الشيخ والشيخة فارجموهما البتة غير سفيان وينبغي أنه وهم والله أعلم
Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. katanya, saya mendengar Umar r.a. berkata:
“Sesungguhnya saya bimbang setelah berlalu beberapa ketika akan ada orang yang berkata “kami tidak mendapati ayat rejam di dalam kitab Allah” lalu mereka menjadi sesat kerana meninggalkan salah satu kefardhuan yang telah diturunkan oleh Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya rejam adalah benar ke atas orang yang berzina bila dia telah muhshon dan ia dilaksanakan bila terdapat bukti atau dengan mengandung atau dengan pengakuan. Sesungguhnya kami telah membacanya:
الشيخ والشيخة إذا زنيا فارجموهما البتة
Bermaksud: Lelaki dan perempuan (telah berkahwin) bila berzina maka rejamlah kedua-duanya sebagai hukuman yang pasti.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah melakukan hukum rejam dan kami juga telah melakukannya selepas itu”.
Abu Abd ar-Rahman (Imam Nasa’ie) berkata: “Saya tidak mengetahui seorangpun menyebutkan di dalam hadith ini ‘الشيخ والشيخة إذا زنيا فارجموهما البتة’ selain dari Sufyan. Boleh jadi dia keliru”.
(Sunan an-Nasaie Bab Membuktikan Rejam, Musannaf Ibnu Abi Syaibah Bab Berkenaan Penzina)
Golongan Syi’ah mendakwa ‘Umar mengatakan bahawa ayat rejam terdapat di dalam kitab Allah dan ia adalah suatu kebenaran’ tetapi sekarang ayat tersebut tidak terdapat di dalam al-Quran yang berada di tangan umat Islam. Ini bermakna telah berlaku penyelewengan terhadap al-Quran berdasarkan riwayat Ahlus Sunnah sendiri. Apatah lagi ‘Umar sendiri mengatakan keinginannya untuk menulis ayat tersebut tetapi dia tidak melakukannya kerana bimbang akan dikatakan menambah kitab Allah.
Imam al-Bukhari meriwayatkan dengan penambahan tersebut:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ عُمَرَ يَعْنِي ابْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ خَطَبَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ بَعَثَ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحَقِّ وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ الْكِتَابَ فَكَانَ فِيمَا أُنْزِلَ عَلَيْهِ آيَةُ الرَّجْمِ فَقَرَأْنَاهَا وَوَعَيْنَاهَا وَرَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجَمْنَا مِنْ بَعْدِهِ وَإِنِّي خَشِيتُ إِنْ طَالَ بِالنَّاسِ الزَّمَانُ أَنْ يَقُولَ قَائِلٌ مَا نَجِدُ آيَةَ الرَّجْمِ فِي كِتَابِ اللَّهِ فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ أَنْزَلَهَا اللَّهُ تَعَالَى فَالرَّجْمُ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى مِنْ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ إِذَا كَانَ مُحْصَنًا إِذَا قَامَتْ الْبَيِّنَةُ أَوْ كَانَ حَمْلٌ أَوْ اعْتِرَافٌ وَايْمُ اللَّهِ لَوْلَا أَنْ يَقُولَ النَّاسُ زَادَ عُمَرُ فِي كِتَابِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَكَتَبْتُهَا
Daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas r.a. bahawa ‘Umar iaitu Ibn al-Khattab r.a. telah berkhutbah dengan berkata:
“Sesungguhnya Allah telah mengutuskan Muhammad s.a.w. membawa kebenaran dan menurunkan kepadanya kitab. Di antara yang diturunkan kepadanya ialah ayat rejam di mana kami telah membacanya, mengingatinya dan memahaminya. Maka Rasulullah s.a.w. telah merejam dan kami juga telah merejam selepas itu. Saya bimbang setelah berlalu beberapa ketika akan ada orang yang berkata “kami tidak mendapati ayat rejam di dalam kitab Allah” lalu mereka menjadi sesat kerana meninggalkan salah satu kefardhuan yang telah diturunkan oleh Allah. Maka rejam adalah satu kebenaran ke atas orang yang berzina dari kalangan lelaki dan perempuan bila terdapat bukti atau dia mengandung atau dia mengaku. Demi Allah! Kalaulah tidak kerana orang akan mengatakan ‘Umar menambah di dalam kitab Allah’ nescaya aku akan menulisnya (ayat rejam)”.
(Sahih al-Bukhari Bab Syahadah Di Sisi Hakim Secara Mu’allaq, Sunan Abi Daud Bab Berkenaan Rejam. Imam Malik juga mengeluarkan riwayat ini dengan sedikit perbezaan dan mengemukakan dengan jelas ayat tersebut)
Jawapan terhadap persoalan yang ditimbulkan oleh Syi’ah.
Pertama: Ayat ini termasuk di dalam ayat yang dimansukhkan pembacaan dan tulisannya tetapi hukumnya tidak dimansukhkan dan berkekalan terhadap penzina muhshon lelaki atau perempuan (Al-Itqan fi Uloom al-Quran jil. 2 hal. 70, Al-Burhan fi Uloom al-Quran jil. 2 hal. 32, At-Tamhid jil. 4 hal. 277 dan lain-lain kitab uloom al-Quran). Berkenaan kata-kata Sayyidina ‘Umar r.a. kami membacanya di zaman Rasulullah s.a.w. maka ulama mengatakan maksud Umar ialah qara’a (قرأ) dengan makna talaa (تلوناها) dan ia digunakan juga kepada hadith Nabi s.a.w. sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran:
وَاذْكُرْنَ مَا يُتْلَى فِي بُيُوتِكُنَّ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ وَالْحِكْمَةِ
Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan hikmah pengetahuan (hadis-hadis Rasulullah) (Al-Quran Surah al-Ahzab ayat 34)
Antara dalil bahawa ayat ini telah dimansukhkan tilawahnya ialah bila Umar r.a. menyebutkan demikian tiada sebarang bantahan daripada sahabat-sahabat yang lain yang mendengarnya menyuruh supaya ia ditulis di dalam mushaf. Di samping itu mereka juga memahami maksud ‘Umar ialah untuk menyatakan kebimbangan manusia akan tersilap di dalam memahami hukum berkenaan rejam.
Kedua: Berkenaan kata-kata Sayyidina ‘Umar r.a. kalaulah tidak kerana orang akan mengatakan ‘Umar menambah di dalam kitab Allah’ nescaya aku akan menulisnya mempunyai beberapa pengertian. Antaranya Umar beri’tiqad bahawa ayat itu adalah al-Quran yang tidak dimansukhkan tilawahnya dan sepatutnya ia diletakkan di dalam mushaf tetapi disebabkan tidak umum di kalangan masyarakat bahawa ianya adalah salah satu ayat al-Quran maka ‘Umar tidak berani untuk menulisnya kerana bimbang akan dituduh menambah al-Quran. Tetapi pendapat ini tertolak kerana ia akan menampakkan bahawa terdapat ayat al-Quran yang tidak mutawatir dan ‘Umar r.a. tidak berani di dalam menyatakan kebenaran.
Pendapat yang lain pula ialah kata-kata Sayyidina ‘Umar r.a. itu adalah isyarat kepada terbukti bahawa ayat itu telah dimansukhkan tilawahnya dan sudah umum di kalangan umat Islam bahawa ianya telah mansukh. Maksud ‘Umar r.a. ialah kalaulah tidak kerana ayat itu telah mansukh tilawahnya dengan diketahui secara umum di mana kalaulah aku menulisnya di dalam al-Quran orang akan mengatakan aku menambah al-Quran tentu aku menulisnya kerana aku mengetahui bahawa ia memang daripada al-Quran. Dan boleh jadi juga Umar r.a. mahu mengisyaratkan bahawa ayat yang telah mansukh tilawahnya tidak boleh ditulis di dalam mushaf. Kesimpulannya, Umar r.a. mahu mengisyaratkan bahawa tidak syak lagi hukum rejam itu adalah daripada Allah dan ia adalah satu kebenaran. Cuma yang menegahnya daripada menulis di dalam mushaf ialah ianya telah mansukh tilawahnya. (HaSyi’ah as-Sindhi ‘ala Sahih al-Bukhari jil. 4 hal. 115)
Ketiga: Di dalam kebanyakan riwayat berkenaan perkara ini tidak disebutkan dengan jelas ayat tersebut. Yang dinyatakan hanyalah ayat rejam di dalam kitab Allah dengan tidak dijelaskan ayat mana dan kitab yang mana. Hanya beberapa riwayat sahaja yang menyebutkan dengan jelas ayat tersebut iaitu riwayat Isma’ili, Nasa`ie dan Hakim. Tetapi tambahan ayat tersebut tidak kuat di sisi ulama hadith. Kerana itu Hafidz Ibn al-Hajar mengatakan: “Boleh jadi Bukhari membuang ayat tersebut dengan sengaja”
(Fath al-Bari jil. 12 hal. 143).
Imam Nasa`ie pula selepas mengemukakan riwayat ini mengatakan:
قال أبو عبد الرحمن لا أعلم أن أحدا ذكر في هذا الحديث الشيخ والشيخة فارجموهما البتة غير سفيان وينبغي أنه وهم والله أعلم
Abu Abd ar-Rahman (Imam Nasa’ie) berkata: “Saya tidak mengetahui seorangpun menyebutkan di dalam hadith ini ‘الشيخ والشيخة إذا زنيا فارجموهما البتة’ selain dari Sufyan. Boleh jadi dia keliru”.
(Sunan an-Nasaie Bab Membuktikan Rejam, Musannaf Ibnu Abi Syaibah Bab Berkenaan Penzina)
Bila diteliti ternyata Sufyan bin ‘Uyainah berseorangan meriwayatkan lafaz ayat tersebut daripada Zuhri. Perawi-perawi lain yang meriwayatkan daripada Zuhri tanpa tambahan ayat tersebut ialah seperti Salih bin Kaisan di dalam Bukhari, Yunus di dalam Muslim dan Sunan Nasa`ie, Husyaim di dalam Musnad Ahmad dan Sunan Abi Daud, Ma’mar di dalam Musannaf Abd ar-Razzak, Musnad Humaidi, Musnad Ahmad dan Jami’ at-Termizi, Malik di dalam Muwattha’, Abdullah bin Abi Bakr bin Hazm dan ‘Aqil di dalam Sunan Nasaie dan Sa’ad bin Ibrahim di dalam Sunan Nasa`ie dan Musnad Ahmad.
Di antara bukti yang menunjukkan bahawa Sufyan tidak dapat memastikan ayat yang di sebutkannya itu ialah kata-katanya sendiri selepas mengemukakan riwayat ini di dalam Musnad al-Humaidi iaitu:
فقد سمعته من الزهري بطوله فحفظت منه أشياء وهذا مما لم أحفظ منها يومئذ
Bermaksud: “Sesungguhnya saya telah mendengarnya daripada Zuhri dengan panjang lebar lalu saya mengingati daripadanya beberapa perkara dan ini termasuk perkara yang saya tidak ingat pada ketika itu”.
(Musnad al-Humaidi jil. 1 hal. 15)
Di dalam Muwattha’ Imam Malik Bab Hadith Yang Datang Berkenaan Rejam juga terdapat tambahan ayat tersebut. Namun begitu terdapat dua masalah pada riwayat tersebut iaitu pertama, ia diriwayatkan secara mursal oleh Sa’id bin Musayyab daripada Umar r.a. dan kedua, Yahya bin Sa’id yang mengambil riwayat tersebut daripada Sa’id bin Musayyab telah bercanggah dengan Daud bin Abi Hind yang juga mengambil riwayat yang sama daripada Sa’id bin Musayyab di mana ia tidak menyebutkan ayat tersebut. Riwayat tersebut ialah:
حدثنا ابو بكر بن خلاد قال ثنا الحارث بن أبي اسامة قال ثنا عبدالوهاب بن عطاء قال ثنا داود بن أبي هند عن سعيد بن المسيب قال قال عمر بن الخطاب رضي الله تعالى عنه على هذا المنبر يعني منبر المدينة أني اعلم أقواما سيكذبون بالرجم ويقولون ليس في القرآن ولولا أني أكره أن أزيد في القرآن لكتبت في آخر ورقة أن رسول الله صلى الله عليه و سلم قد رجم ورجم أبو بكر وأنا رجمت
Abu Bakr bin Khallad telah meriwayatkan kepada kami, katanya: al-Harith bin Abi Usamah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abd al-Wahhab bin ‘Atho’ telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Daud bin Abi Hind telah meriwayatkan kepada kami daripada Sa’id bin Musayyab, katanya: ‘Umar r.a. telah berkata di atas mimbar ini iaitu mimbar Madinah:
“Sesungguhnya aku mengetahui beberapa golongan akan mendustakan hukum rejam dan mereka mengatakan ianya tidak terdapat di dalam al-Quran. Kalaulah tidak kerana aku tidak suka menambah-nambah di dalam al-Quran nescaya aku telah tulis di akhir helaiannya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah melaksanakan hukum rejam, Abu Bakar dan aku juga telah melaksanakannya”.
(Hilyah al-Awliya’ Abu Nu’aim jil. 2 hal. 174. Lihat juga Musnad Musaddad hal. 26)
Bukti Bahawa Ayat Tersebut Bukan Daripada Al-Quran.
Mufti Taqi Uthmani di dalam Takmilah Fath al-Mulhim mengemukakan jawapan dengan hujah yang berlainan daripada apa yang dikemukakan di atas. Mengikut penelitian beliau selepas meneliti riwayat-riwayat berkenaan perkara ini maka kesimpulannya ialah ia bukanlah salah satu daripada ayat al-Quran. Ayat tersebut hanyalah salah satu daripada ayat yang terdapat di dalam kitab Taurat atau salah salah satu kitab Bani Israil. Bilamana Allah telah memperakukan hukumnya kepada umat ini maka digunakan lafaz turun secara majaz dan bukanlah bermaksud turun seperti turunnya ayat al-Quran. Yang dimaksudkan turun hukum di sini ialah diperakui hukum tersebut (Mutaqqidimin dari kalangan sahabat dan tabi’en menggunakan istilah nuzul iaitu turun dengan makna yang lebih luas berbanding dengan muta’akhirin. Istilah nuzul di sisi mereka (mutaqaddimin) merangkumi mengkhususkan yang umum, mentaqyidkan yang mutlaq, bersesuaian sesuatu ayat dengan sesuatu peristiwa, diakui hukum dan sebagainya. Untuk penjelasan lebih lanjut lihat al-Fauz al-Kabir karangan Syah Waliyullah ad-Dehlawi hal. 191.
Di antara dalil bahawa ia adalah salah satu ayat di dalam Taurat ialah apa yang dikemukakan oleh Imam at-Thabari di dalam tafsirnya daripada Jabir bin Zaid berkenaan kisah rejam di kalangan Yahudi:
حدثني يونس قال، أخبرنا ابن وهب قال، قال ابن زيد: وكان الشريف إذا زنى بالدنيئة رجموها هي، وحمَّموا وجهَ الشريف، وحملوه على البعير، وجَعلوا وجهه من قِبَل ذنب البعير. وإذا زنى الدنيء بالشريفة رجموه، وفعلوا بها هي ذلك. فتحاكموا إلى النبي صلى الله عليه وسلم فرجمها. قال: وكان النبي صلى الله عليه وسلم قال لهم: من أعلمكم بالتوراة؟ قالوا: فلان الأعور! فأرسل إليه فأتاه، فقال: أنت أعلمهم بالتوراة؟ قال: كذاك تزعم يهودُ! فقال له النبي صلى الله عليه وسلم: أنشدك بالله وبالتوراة التي أنزلها على موسى يوم طُور سَيْنَاء، ما تجد في التوراة في الزانيين؟ فقال: يا أبا القاسم، يرجمون الدنيئة، ويحملون الشريف على بعير، ويحمِّمون وجهه، ويجعلون وجهه من قبل ذنَبِ البعير، ويرجمون الدنيء إذا زنى بالشريفة، ويفعلون بها هي ذلك. فقال له النبي صلى الله عليه وسلم:"أنشدك بالله وبالتوراة التي أنزلها على موسى يوم طُور سَيْناء، ما تجد في التوراة؟ فجعل يروغ، والنبي صلى الله عليه وسلم يَنْشُده بالله وبالتوراة التي أنزلها على موسى يوم طور سيناء، حتى قال: يا أبا القاسم،"الشيخ والشيخة إذا زنيا فارجموهما البتة". فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: فهو ذاك، اذهبوا بهما فارجموهما
Yunus meriwayatkan kepada saya katanya, Ibnu Wahb menceritakan kepada kami, katanya, Ibnu Zaid (Ibnu Zaid iaitu Jabir bin Zaid seorang tabi’en, faqih Basrah. Mengambil riwayat daripada Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan lain-lain. Walaupun riwayat ini adalah riwayat mursal namun dari segi hukumnya adalah marfu’. Lihat at-Tarikh al-Kabir jil. 2 hal. 204) berkata: “Golongan bangsawan (dari kalangan Yahudi) bila seorang lelaki dari mereka berzina dengan perempuan dari kalangan orang biasa maka mereka merejam perempuan itu dan menghitamkan muka orang bangsawan tersebut lalu meletakkannya di atas belakang unta dengan membelakangkan mukanya (lalu dibawa berjalan dengan unta itu). Dan bila seorang lelaki dari kalangan orang biasa berzina dengan perempuan dari kalangan bangsawan maka mereka merejam lelaki itu dan melakukan kepada perempuan itu sebagaimana kepada lelaki bangsawan tadi. Maka mereka menjadikan Nabi s.a.w. sebagai hakim lalu Baginda merejamnya. Dia (Ibnu Zaid) berkata lagi:
“Nabi s.a.w. berkata kepada mereka: “Siapakah yang paling alim tentang Taurat dari kalangan kamu? Mereka menjawab: “Seorang yang buta sebelah matanya (Abdullah bin Suriya)”.
Lalu Nabi s.a.w. mengutus orang kepadanya lalu dia datang. Nabi s.a.w. bertanya: “Engkaukah orang yang paling tentang Taurat dari kalangan Yahudi? Dia menjawab:
“Demikianlah yang dikatakan oleh orang Yahudi”. Nabi s.a.w. berkata:
“Aku ingin bertanya kepadamu demi Allah dan demi Taurat yang Allah turunkan kepada Musa pada hari Thur Sainaa’, apakah yang kamu dapati di dalam Taurat berkenaan hukum dua orang yang berzina? Lalu ia menjawab:
“Wahai Aba al-Qasim, mereka merejam perempuan kebanyakan dan meletakkan lelaki bangsawan di atas belakang unta lalu menghitamkan mukanya dan membelakangkan mukanya di atas unta tersebut. Dan mereka merejam lelaki biasa dan melakukan kepada perempuan itu sebagaimana kepada lelaki bangsawan tadi”. Nabi s.a.w. berkata lagi:
“Aku ingin bertanya kepadamu demi Allah dan demi Taurat yang Allah turunkan kepada Musa pada hari Thur Sainaa’, apakah yang kamu dapati di dalam Taurat”?
Dia cuba berdalih dan Nabi s.a.w. terus menjadikan Allah dan Taurat yang diturunkan oleh Allah pada hari Thur Sainaa’ sebagai saksi untuk bertanya sehingga akhirnya dia berkata:
“Wahai Aba al-Qasim “الشيخ والشيخة إذا زنيا فارجموهما البتة”. Maka Nabi s.a.w. bersabda: “Inilah yang dikehendaki, bawalah kedua-duanya maka rejamlah ia”.
(Tafsir at-Thabari jil. 10 hal. 328)
Riwayat ini jelas menunjukkan bahawa ayat yang dibaca oleh Yahudi Abdullah bin Suriya ini merupakan satu ayat daripada Taurat dan dibenarkan oleh Nabi s.a.w. dan diperakui hukumnya. Kalaulah ibarat ini tiada di dalam Taurat yang ada hari ini, ia tidak mendustakan riwayat di atas kerana tidak perlu diperjelaskan lagi penyelewengan kitab Taurat oleh golongan Yahudi. Boleh jadi juga yang dimaksudkan dengan Taurat ini ialah kitab yang lain seperti Talmud, Bible, Misyna dan lain-lain kerana orang Arab menyebutkannya sebagai Taurat juga.
Di antara dalil lain yang menunjukkan bahawa ia bukan dari al-Quran tetapi daripada hadith ialah pertama:
عن أبي أمامة بن سهل بن حنيف عن خالته العجماء قالت : سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقول : الشيخ والشيخة إذا زنيا فأرجموهما البتة بما قضيا من اللذة
Daripada Abi Umamah bin Sahl bin Hunaif daripada ibu saudaranya al-‘Ajmaa’ katanya: saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “ (Al-Mu’jam al-Kabir jil. 24 hal. 350. Al-Haithami di dalam Majma’ az-Zawaid jil. 6 hal. 406 mengatakan rijalnya adalah rijal sahih)
Di dalam riwayat-riwayat yang lain ada perbezaan dari segi lafaz iaitu menggunakan lafaz ‘أقرأنا’ iaitu membacakan kepada kami. Namun begitu lafaz yang digunakan di sini iaitu saya dengar menunjukkan bahawa ia bukanlah ayat al-Quran.
Kedua:
عَنِ كَثِيرِ بْنِ الصَّلْتِ قَالَ : كُنَّا عِنْدَ مَرْوَانَ وَفِينَا زَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ قَالَ زَيْدٌ كُنَّا نَقْرَأُ الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَيَا فَارْجُمُوهُمَا الْبَتَّةَ. قَالَ فَقَالَ مَرْوَانُ : أَفَلاَ نَجْعَلُهُ فِى الْمُصْحَفِ قَالَ لاَ أَلاَ تَرَى الشَّابَّيْنِ الثَّيِّبَيْنِ يُرْجَمَانِ قَالَ وَقَالَ ذَكَرُوا ذَلِكَ وَفِينَا عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَنَا أَشْفِيكُمْ مِنْ ذَاكَ قَالَ قُلْنَا كَيْفَ قَالَ آتِى النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- فَأَذْكُرُ كَذَا وَكَذَا فَإِذَا ذَكَرَ الرَّجْمَ أَقُولُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكْتِبْنِى آيَةَ الرَّجْمِ قَالَ فَأَتَيْتُهُ فَذَكَرْتُهُ قَالَ فَذَكَرَ آيَةَ الرَّجْمِ قَالَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكْتِبْنِى آيَةَ الرَّجْمِ. قَالَ :« لاَ أَسْتَطِيعُ ذَاكَ ».
Daripada Kathir bin as-Shalt katanya: “Kami berada dekat Marwan dan bersama kami Zaid bin Thabit r.a.. Zaid berkata:
“Kami membaca ‘الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَيَا فَارْجُمُوهُمَا الْبَتَّةَ’. Perawi (Kathir) berkata: Marwan berkata: “Kenapa kita tidak meletakkannya di dalam mushaf? Dia (Zaid) menjawab:
“Tidak! Tidakkah engkau tahu dua orang anak muda yang telah berkahwin direjam (bila keduanya berzina)”. Perawi berkata: Zaid berkata:
“Mereka (sahabat) menyebutkan perkara tersebut dan bersama kami Umar bin al-Khattab r.a. lalu dia berkata: “Aku akan membawakan penawar kepada kamu tentang perkara ini”. Dia (Zaid) berkata: kami berkata: “Bagaimana? Dia (Umar) menjawab:
“Aku akan pergi kepada Nabi s.a.w. lalu aku akan menyebutkan begini, begini. Maka bila dia menyebutkan berkenaan rejam aku akan berkata: “Wahai Rasulullah! Tuliskan kepadaku ayat rejam”. Umar berkata lagi: “Maka aku datang menemui Nabi s.a.w. lalu aku menyebutkannya lalu dia menyebutkan ayat rejam”. Umar r.a. berkata: “Wahai Rasulullah! Tuliskan kepadaku ayat rejam”.
Nabi s.a.w. menjawab:
“Aku tidak boleh melakukan demikian”. (Sunan al-Baihaqi Bab Ayat Yang Dijadikan Dalil Bahawa Sabil Bermaksud Menyebat Dua Orang Penzina (Yang Bukan Muhshon) Dan Merejam Orang Yang Muhshon)
Riwayat ini jelas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. sendiri tidak memasukkan ayat tersebut di dalam ayat-ayat al-Quran.
Ketiga:
عَنْ كَثِيرِ بْنِ الصَّلْتِ قَالَ كَانَ ابْنُ الْعَاصِ وَزَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ يَكْتُبَانِ الْمَصَاحِفَ فَمَرُّوا عَلَى هَذِهِ الْآيَةِ فَقَالَ زَيْدٌ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَيَا فَارْجُمُوهُمَا الْبَتَّةَ فَقَالَ عُمَرُ لَمَّا أُنْزِلَتْ هَذِهِ أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ أَكْتِبْنِيهَا قَالَ شُعْبَةُ فَكَأَنَّهُ كَرِهَ ذَلِكَ فَقَالَ عُمَرُ أَلَا تَرَى أَنَّ الشَّيْخَ إِذَا لَمْ يُحْصَنْ جُلِدَ وَأَنَّ الشَّابَّ إِذَا زَنَى وَقَدْ أُحْصِنَ رُجِمَ
Daripada Kathir bin Shalt katanya: “Ibn al-‘Ash dan Zaid bin Thabit menulis mushaf-mushaf lalu mereka menjumpai ayat ini maka Zaid berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Lelaki dan perempuan (telah berkahwin) bila berzina maka rejamlah kedua-duanya sebagai hukuman yang pasti (iaitu ayat ‘الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَيَا’)”. Umar pun berkata:
“Ketika diturunkan ayat ini aku datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu aku berkata: tuliskanlah (sebagai al-Quran) ayat ini untukku”. Syu’bah berkata: “Seolah-olah Nabi s.a.w. tidak suka sedemikian”. Kerana itu Umar r.a. berkata:
“Bukankah engkau mengetahui bahawa orang tua bila dia bukan muhshon dia akan disebat dan anak muda bila berzina dan ia muhshon maka direjam”.
(Musnad Ahmad Bab Hadith Zaid Bin Thabit, Mustadrak al-Hakim Kitab al-Hudud. Imam az-Zahabi mengatakannya sahih di dalam Talkhis al-Habir)
Kedua-dua riwayat di atas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. tidak suka ayat tersebut ditulis di dalam mushaf semenjak awal lagi dan memang tidak pernahpun ditulis di dalamnya. Di antara sebab mengapa Nabi s.a.w. tidak mahu memasukkannya di dalam mushaf ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh Zaid di dalam riwayat Baihaqi dan Umar di dalam riwayat Ahmad ini iaitu dari segi lafaznya tidak bersesuaian dengan al-Quran. Kerana penggunaan lafaz ‘الشَّيْخُ’ dan ‘الشَّيْخَةُ’ di dalam ayat itu seolah-olah menunjukkan hanya orang tua sahaja yang dikenakan hukuman rejam sedangkan yang dikaitkan dengan hukum rejam ialah penzina muhshon bukannya tua atau muda.
Berdasarkan kepada keterangan di atas jelaslah bahawa ibarat tersebut adalah salah satu daripada ayat di dalam kitab Taurat. Bilamana hukumnya diakui oleh Nabi s.a.w. dan diteruskan hukum tersebut maka sebahagian sahabat menyebutkannya dengan menggunakan perkataan ‘أُنْزِلَ عَلَيْهِ’ iaitu turun. Dan Nabi s.a.w. tidak suka dimasukkan ke dalam al-Quran supaya tidak menimbulkan kekeliruan dengan ayat yang bukan daripadanya.
Berkenaan kata-kata Sayyidina Umar r.a. di dalam riwayat Muwattho’ Malik, Bukhari dan lain iaitu Demi Allah! Kalaulah tidak kerana orang akan mengatakan ‘Umar menambah di dalam kitab Allah’ nescaya aku akan menulisnya adalah bukan dengan maksud menulis sebagai sebahagian daripada al-Quran. Yang dimaksudkan beliau ialah menulis di satu sudut atau di tepi sebagai tafsiran sahaja. Kata-kata tersebut dinukilkan oleh Imam Ahmad yang berbunyi:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ خَطَبَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَحَمِدَ اللَّهَ تَعَالَى وَأَثْنَى عَلَيْهِ فَذَكَرَ الرَّجْمَ فَقَالَ لَا تُخْدَعُنَّ عَنْهُ فَإِنَّهُ حَدٌّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ تَعَالَى أَلَا إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ رَجَمَ وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ وَلَوْلَا أَنْ يَقُولَ قَائِلُونَ زَادَ عُمَرُ فِي كِتَابِ اللَّهِ مَا لَيْسَ مِنْهُ لَكَتَبْتُهُ فِي نَاحِيَةٍ مِنْ الْمُصْحَفِ
Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, Umar bin al-Khattab r.a. berkhutbah lalu memuji Allah dan menyanjungnya. Kemudian ia menyebutkan berkenaan rejam lalu berkata:
“Janganlah kamu tertipu dengannya kerana sesungguhnya ia adalah salah satu hukum daripada Allah ta’ala. Ketahuilah sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah melakukan hukum rejam dan kami juga telah melakukannya. Kalaulah tidak kerana orang akan berkata Umar menambah di dalam kitab Allah suatu yang bukan darinya nescaya aku akan menulisnya di satu tepi mushaf”.
(Musnad Ahmad Bab Musnad Umar Bin Al-Khattab. Di dalam sanadnya ada seorang perawi yang ulama berselisih pendapat tentangnya iaitu Ali bin Zaid bin Jud’an. Ada yang mendho’ifkannya dengan tajrih yang rendah dan ada yang menta’dilkannya dengan ta’dil yang rendah juga)
Berdasarkan kepada riwayat tersebut jelaslah bahawa apa yang dikehendaki oleh Umar r.a. adalah menulis di mana-mana penjuru mushaf bukan menambah asal al-Quran. Dan inilah juga kebiasaan sahabat-sahabat yang lain mereka menulis di mana-mana sudut al-Quran sebagai tafsiran. Begitu juga dengan kemahuan Sayyidina Umar r.a. tidak lebih daripada itu tetapi kerana bimbang akan timbul kekeliruan dan akan dituduh menambah-nambah al-Quran maka dia tidak menulisnya walaupun di sebelah tepi ayat-ayat tersebut. (Lihat Takmilah Fath al-Mulhim jil. 2 hal. 417)
Maksud Kedua Rejam Di Dalam Kitab Allah.
Maksud kata-kata Sayyidina Umar r.a. sesungguhnya rejam di dalam kitab Allah adalah benar adalah sebagai isyarat kepada ayat yang lain iaitu:
وَكَيْفَ يُحَكِّمُونَكَ وَعِندَهُمُ التَّوْرَاةُ فِيهَا حُكْمُ اللَّهِ ثُمَّ يَتَوَلَّوْنَ مِن بَعْدِ ذَلِكَ وَمَا أُوْلَئِكَ بِالْمُؤْمِنِينَ (43) إِنَّا أَنزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدًى وَنُورٌ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُواْ لِلَّذِينَ هَادُواْ وَالرَّبَّانِيُّونَ وَالأَحْبَارُ بِمَا اسْتُحْفِظُواْ مِن كِتَابِ اللَّهِ وَكَانُواْ عَلَيْهِ شُهَدَاء فَلاَ تَخْشَوُاْ النَّاسَ وَاخْشَوْنِ وَلاَ تَشْتَرُواْ بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلاً وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
Dan (sungguh menghairankan), bagaimana mereka meminta keputusan hukum kepadamu, padahal di sisi mereka ada Kitab Taurat yang mengandungi hukum Allah, kemudian mereka berpaling pula sesudah itu (dari hukumanmu)? Dan (sebenarnya) mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu Nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu) dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia) dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.
(Al-Quran Surah al-Maidah :43~44)
Walaupun ayat ini secara jelasnya bukan menunjukkan kepada hukum rejam tetapi secara isyarat ia menunjukkan kepada hukum rejam yang terdapat di dalam salah satu kitab Allah. Buktinya ialah ayat ini turun berkenaan kisah rejam terhadap dua orang Yahudi sebagaimana yang dikemukakan oleh al-Humaidi di dalam musnadnya:
حدثنا الْحُمَيْدِيُّ : حَدَّثَنَا سُفْيَانُ ، حَدَّثَنَا مُجَالِدُ بْنُ سَعِيدٍ الْهَمْدَانِيُّ ، عَنِ الشَّعْبِيِّ ، عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ الله ، قَالَ : زَنَا رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ فَدَكَ ، فَكَتَبَ أَهْلُ فَدَكَ إِلَى نَاسٍ مِنَ الْيَهُودِ بِالْمَدِينَةِ أَنِ سلوا مُحَمَّدًا عَنْ ذَلِكَ ، فَإِنْ أَمَرَكُمْ بِالْجَلْدِ ، فَخُذُوهُ عَنْهُ ، وَإِنْ أَمَرَكُمْ بِالرَّجْمِ فَلاَ تَأْخُذُوهُ عَنْهُ ، فَسَأَلُوهُ عَنْ ذَلِكَ ، فَقَالَ : أَرْسِلُوا إِلَيَّ أَعْلَمَ رَجُلَيْنِ فِيكُمْ ، فَجَاؤُوا بِرَجُلٍ أَعْوَرَ يُقَالُ لَهُ : ابْنُ صُورِيَا ، وَآخَرَ ، فَقَالَ لَهُمَا النَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم : أَنْتُمَا أَعْلَمُ مَنْ قِبَلَكُمَا ، فَقَالاَ : قَدْ نَحَا قَوْمُنَا لِذَلِكَ ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم لَهُمَا : أَلَيْسَ عِنْدَكُمُ التَّوْرَاةُ فِيهَا حُكْمُ الله ؟ قَالاَ : بَلَى ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم : فَأَنْشُدُكَ بِالَّذِي فَلَقَ الْبَحْرَ لِبَنِي إِسْرَائِيلَ ، وَظَلَّلَ عَلَيْكُمُ الْغَمَامَ ، وَأَنْجَاكُمْ مِنْ آلِ فِرْعَوْنَ ، وَأَنْزَلَ الْمَنَّ وَالسَّلْوَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ ، مَا تَجِدُونَ فِي التَّوْرَاةِ مِنْ شَأْنِ الرَّجْمِ ؟ فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِلَآخَرِ : مَا نَشَدْتُ بِمِثْلِهِ قَطُّ ، ثُمَّ قَالاَ : نَجِدُ تِرْدَادَ النَّظَرِ زِنْيَةً والاعتناق زنية والقبل زنية ، فَإِذَا شَهِدَ أَرْبَعَةٌ أَنَّهُمْ رَأَوْهُ يُبْدِئُ وَيُعِيدُ ، كَمَا يَدْخُلُ الْمَيْلُ فِي الْمُكْحَلَةِ فَقَدْ وَجَبَ الرَّجْمُ ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم : هُوَ ذَاكَ ، فَأَمَرَ بِهِ فَرُجِمَ ، وَنَزَلَتْ : {فَإِنْ جَاؤُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ ، أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِنْ تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَنْ يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ} الآيَةَ.
Al-Humaidi telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Sufyan telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Mujalid bin Sa’id al-Hamdani telah meriwayatkan kepada kami daripada Sya’bi daripada Jabir bin Abdillah katanya: “Seorang lelaki dari penduduk Fadak telah berzina lalu penduduk Fadak telah menulis kepada Yahudi di Madinah supaya bertanya Muhammad tentang perkara tersebut. (dengan berpesan) Kalau dia memerintahkan kamu supaya disebat maka terimalah hukum tersebut darinya dan jika dia menyuruh supaya direjam jangan terima darinya.
Lalu mereka (Yahudi di Madinah) bertanyanya maka dia berkata: “Hantarkan kepadaku dua orang yang paling alim dari kalangan kamu.
Maka mereka membawakan seorang yang buta sebelah matanya yang dipanggil Ibnu Suriya dan seorang yang lain lalu Nabi s.a.w. berkata kepada keduanya:
“Apakah kamu berdua adalah yang paling alim dari kalangan kamu? Keduanya menjawab: “Begitulah yang dikatakan oleh kaum kami”.
Maka Nabi s.a.w. bertanya keduanya: “Bukankah pada kamu Taurat yang di dalamnya terdapat hukum Allah? Mereka menjawab: “Ya”.
Lalu Nabi s.a.w. bertanya: “Aku mahu bertanyamu dengan nama Tuhan yang telah membelah laut untuk Bani Israel, menaungkan awan ke atas kamu, menyelamatkan kamu daripada keluarga Fir’aun dan menurunkan Mann dan Salwa kepada Bani Israel, apakah yang kamu dapati di dalam Taurat berkenaan hukum rejam?
Salah seorang darinya berkata kepada seorang lagi: “Aku tidak pernah menemui sama sekali hukum seperti itu”. Kemudian keduanya berkata: “Kami dapati mengulangi pandangan adalah zina, memeluk adalah zina dan mengucup adalah zina. Bila empat orang bersaksi bahawa mereka melihat ia memulakan dan mengulangi (menyorong dan menarik) sebagaimana batang celak masuk dalam sarung celak maka wajib direjam”.
Maka Nabi s.a.w. berkata: “Itulah yang dikehendaki! Lalu Baginda memerintahkan supaya direjam maka ia pun direjam. Dan turunlah ayat:
فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِنْ تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَنْ يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (42) وَكَيْفَ يُحَكِّمُونَكَ وَعِنْدَهُمُ التَّوْرَاةُ فِيهَا حُكْمُ اللَّهِ ثُمَّ يَتَوَلَّوْنَ مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ وَمَا أُولَئِكَ بِالْمُؤْمِنِينَ
Bermaksud: Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah) atau berpalinglah dari mereka dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Dan (sungguh menghairankan), bagaimana mereka meminta keputusan hukum kepadamu, padahal di sisi mereka ada Kitab Taurat yang mengandungi hukum Allah, kemudian mereka berpaling pula sesudah itu (dari hukumanmu)? Dan (sebenarnya) mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.
(Musnad al-Humaidi jil. 2 hal. 541, Ma’rifah as-Sunan Wa al-Athar Li al-Baihaqi dan Sunan as-Saghir Bab Hukum Di Antara Mu’ahid Dan Muhajir. Lihat juga al-Bahr al-Madid tafsir Surah al-Maidah ayat 43, Tafsir Ibnu Kathir ayat sama dan lain-lain)
Daripada riwayat di atas jelas bahawa yang dimaksudkan dengan hukum Allah dan apa yang diturunkan oleh Allah ialah yang terdapat di dalam al-Quran secara isyarat walaupun tidak terdapat secara jelas.
Maksud Ketiga Rejam Di Dalam Kitab Allah.
Hafidz Ibnu Hajar mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan rejam adalah satu kebenaran yang terdapat di dalam kitab Allah adalah ayat (Lihat Fath al-Bari jil. 12 hal. 118 Bab Rejam Orang Yang Muhshon Kerana Berzina):
وَاللاَّتِي يَأْتِينَ الْفَاحِشَةَ مِن نِّسَآئِكُمْ فَاسْتَشْهِدُواْ عَلَيْهِنَّ أَرْبَعةً مِّنكُمْ فَإِن شَهِدُواْ فَأَمْسِكُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ حَتَّىَ يَتَوَفَّاهُنَّ الْمَوْتُ أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلاً
Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu). (Al-Quran Surah al-Nisa’ ayat 15)
Sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya:
عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ قَالَ كَانَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أُنْزِلَ عَلَيْهِ كُرِبَ لِذَلِكَ وَتَرَبَّدَ لَهُ وَجْهُهُ قَالَ فَأُنْزِلَ عَلَيْهِ ذَاتَ يَوْمٍ فَلُقِيَ كَذَلِكَ فَلَمَّا سُرِّيَ عَنْهُ قَالَ خُذُوا عَنِّي فَقَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلًا الثَّيِّبُ بِالثَّيِّبِ وَالْبِكْرُ بِالْبِكْرِ الثَّيِّبُ جَلْدُ مِائَةٍ ثُمَّ رَجْمٌ بِالْحِجَارَةِ وَالْبِكْرُ جَلْدُ مِائَةٍ ثُمَّ نَفْيُ سَنَةٍ
Daripada ‘Ubadah bin as-Shamit katanya: “Nabi s.a.w. bila diturunkan wahyu kepadanya Baginda akan gelisah dan berubah warna mukanya. Perawi (Ubadah) berkata: “Pada suatu hari diturunkan wahyu kepadanya lalu berlakulah sebagaimana biasa. Apabila wahyu telah selesai Baginda bersabda: “Ambillah daripadaku. Sesungguhnya Allah telah memberikan penyelesaian kepadaku. Orang yang telah berkahwin dengan orang telah berkahwin dan orang yang belum berkahwin dengan orang yang belum berkahwin. Orang yang telah berkahwin disebat seratus rotan kemudian direjam dengan batu dan Orang yang belum berkahwin disebat seratus rotan kemudian dibuang negeri setahun”.
(Sahih Muslim Bab Had Zina)
Di dalam riwayat ini jelas Nabi s.a.w. mentafsirkan ‘يَجْعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلاً’ dengan merejam orang yang telah berkahwin yang berzina.
Pengarang Takmilah Fath al-Mulhim mengemukakan pandangan yang lain iaitu yang dimaksudkan dengan kitab Allah ialah dari segi bahasa iaitu segala ketetapan Allah termasuklah ketetapan yang terdapat di dalam kitab-kitab sebelumnya termasuk Taurat yang diakui hukumnya oleh Nabi s.a.w.. (Lihat Takmilah Fath al-Mulhim jil. 2 hal. 418)
Di antara riwayat berkenaan ayat ini ialah:
حَدَّثَنَا عَبْد اللَّهِ حَدَّثَنَا خَلَفُ بْنُ هِشَامٍ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ عَنْ عَاصِمِ بْنِ بَهْدَلَةَ عَنْ زِرٍّ قَالَ قَالَ لِي أُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ كَأَيِّنْ تَقْرَأُ سُورَةَ الْأَحْزَابِ أَوْ كَأَيِّنْ تَعُدُّهَا قَالَ قُلْتُ لَهُ ثَلَاثًا وَسَبْعِينَ آيَةً فَقَالَ قَطُّ لَقَدْ رَأَيْتُهَا وَإِنَّهَا لَتُعَادِلُ سُورَةَ الْبَقَرَةِ وَلَقَدْ قَرَأْنَا فِيهَا الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَيَا فَارْجُمُوهُمَا الْبَتَّةَ نَكَالًا مِنْ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Daripada Zirr bin Hubaisy katanya Ubay bin Ka’ab bertanya kepadaku:
“Berapa banyakkah (ayat) yang kamu baca Surah al-Ahzab atau berapa banyakkah kamu mengira ia (Surah al-Ahzab)? Dia (Zirr) berkata, aku berkata,
“Tujuh puluh tiga ayat”. Lalu Ubay menjawab, “Itu sahaja, sesungguhnya aku melihatnya (surah al-Ahzab) menyamai surah al-Baqarah. Sesungguhnya kami membaca padanya terdapat
“ الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَيَا فَارْجُمُوهُمَا الْبَتَّةَ نَكَالًا مِنْ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ”. (Musnad Ahmad Hadis Zirr Bin Hubaisy Daripada Ubay Bin Ka’ab, Kanz Al-Ummal Bab Ayat-Ayat Yang Dimansukhkan Daripada Al-Quran Dan Fasal Berkenaan Jenis-Jenis Hukum Hudud)
Hadith ini dan yang semakna dengannya telahpun dijawab di dalam artikel sebelum ini iaitu kesemua riwayat berkisar kepada perawi yang dho’if dan sebahagian ulama memasukkannya di dalam ayat yang telah dimansukhkan bacaan dan hukumnya.
Lading_Emas
No comments:
Post a Comment