Wednesday, September 30, 2009

Eid Fitri -- Saidina Omar tanya apa TAKWA..?



Petikan Dari Blog Zulkifli Nordin,

Alhamdulillah Ahad 01 Syawal 1430 bersamaan 20 Sept 2009, saya diberi keizinan ALLAH untuk bersama umat Islam sekitar Kulim mendirikan solat sunat 'Eidulfitr di Masjid Muhajirin, Taman Tunku Putra.
Saya bersama sahabat saya Sdr. Ustadz Khari telah selamat sampai ke Masjid Muhajirin sekitar jam 08.15am. Saya kemudiannya beramah mesra dengan pengerusi Masjid Muhajirin, Sdr. Shamsuddin dan Ahli Jawatankuasanya dan beberapa jemaah yang hadir awal.
Kemudian kami memulakan majlis dengan bertakbir raya, dan saya sempat bertakbir satu round.

Allah hu akbar Allah hu akbar Allah hu akbar
la ila haillallah wallah hu akbar
Allah hu akbar walillah hil hamd
La ila haillallah huwala na'budu illa iyya humukhlisin nalahuddin
walau karihal kaafirun, walau karihal musyrikun, walau karihal munaafiquun
La ila haillallah hu wahdah, sodaqo wa'dah, wanaso ro'abdah
wa a'azzanjudahuu wahazamal ahzaa bawahdah
La ila haillallah wallah hu akbar
Allah hu akbar walillah hil hamd

Kemudian kami mendirikan solat sunat 'Eidulfitr, dan pihak Masjid meminta saya mengimamkan solat. Sebagaimana biasa, sebelum solat, sahabat saya Ustadz Khari menyampaikan kaifiyat solat, memperingatkan jemaah supaya bertakbir 7 kali dirokaat pertama diselangselikan dengan tasbih 6 kali, dan bertakbir 5 kali dirokaat kedua diselangselikan dengan 4 tasbih. Pada roka'at pertama saya membaca surah Al-'A'la, dan rokaat kedua surah Ad-Dhuhaa.
Kemudian saya naik menyampaikan khutbah. Setelah memuji ALLAH dan membaca
ayat 20 surah Al-Fath,
   "Alhamdulillah hillazi arsala rasu lahu bil huda wadiinil haq, liyuz hiro hu 'aladdiinikullih, walau karihal musyrikuun", saya memperingatkan diri saya dan para jemaah dan hadirin supaya bertaqwa kepada ALLAH dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kita mati melainkan dalam Islam.
Saya memanjat syukor kerana diberi kesempatan untuk meraikan hari yang di anugerahkan ALLAH kepada umat Islam. Anugerah kerana kemenangan kita memerdekakan diri daripada belengu nafsu, penjajahan iblis dan syaitan. Satu perjuangan yang sukar, sebagaimana sabda Rasulullah saw
"mujahiddin nafsi-perang melawan diri sendiri".
Puasa mengajar kita erti mencapai matlamat taqwa sebagaimana yang disebut dalam
Al-Baqarah 183, "Ya aiyuhallazi na aamanu kutiba 'alaikumussiyyam, kama kutiba 'alallazi namin qoblikum, la 'allakum tattaaquun".

Taqwa ertinya sebagaimana disebut Saidina 'Umar ra, apabila ditanya sahabat apa itu taqwa?,
   Saidina 'Umar menjawab dengan bertanya semula. "Bagaimana kamu jika berjalan dimalam hari yang gelap gelita dijalan yang penuh ranjau dan duri dalam keadaan mata tertutup".
 Jawab sahabat, "sudah tentu kami akan berjalan dengan penuh hati-hati wahai 'Umar".
Kata Saidina 'Umar, "itulah kehidupan didunia, penuh ranjau dan duri yang kamu tidak nampak". 
Tanya Saidina 'Umar lagi, "bagaimana kamu dikala itu datang seorang bermata celik membawa jamong/lampu, memimpin kamu melalui jalan itu".
Sahabat menjawab, "sudah tentu sangatlah mudah perjalanan kami". 
Lantas Saidina 'Umar menjawab, "itulah yang disebut ALLAH dalam al Baqarah:2-3, "Zaa likal kitaa bula roy bafii, hudal lil muttaqin; allazi nayu' minu nabil ghoib: Al Quran, kitab yang tidak ada keraguan sedikit pun padanya, menjadi penyuluh dan petunjuk bagi orang yang bertaqwa, iaitu orang yang beriman dengan perkara yang ghaib (yang dia tidak nampak)".

Sebab itulah Rasulullah berpesan dalam khutbatul wida',
"Berpeganglah kamu kepada AlQuran dan sunnahku, nescaya kamu tidak sesat".

Lalu ALLAH berfirman dalam surah Al Baqarah: 185,
"syahru ramadhonallazii unzilafiihil quraanu hudallinnas, wabaiyinati minal huda wal furqan,
sesungguhnya dibulan Ramadhan diturunkan AlQuran sebagai penyuluh dan petunjuk bagi manusia, dengan penuh keterangan dan bukti mengenainya, supaya ianya menjadi al furqan, iaitu pembeza kehidupan kamu".

  Dengan menjalani kehidupan berdasarkan Al Quran dan sunnah, kita akan dapat membezakan yang mana halal haram, dosa pahala, 'adil zalim, hak batil, benar palsu, Islam dan bukan Islam!
Dan puasa mengajar kita erti Iman. Kalau 'ibadah lain orang akan nampak amalan kita. Solat, haji, zakat dan lain-lain, semuanya orang nampak.
Namun puasa suatu 'ibadah yang orang tidak akan nampak dan tahu. Hanya ALLAH dan kita sahaja yang tahu. Itulah iman~meyakini perkara yang ghaib.

  Dan puasa mengajar kita erti kesyumulan Iman dan Islam. Walau bagaimana cantik amalan puasa kita, daripada tarawih berjema'ah, diikuti tadarrus, kemudian pada dini malam, kita bangun tahajjud dan sunat taubat, kemudian bersahur. Setelah bersahur, kita ke masjid mendirikan tahiyyatul masjid dan fajar. Setelah berjema'ah suboh, kita bertalaqi AlQuran. Sebelum ke pejabat, kita sempat mendirikan dhuha 08 roka'at.

  Dalam perjalanan kepejabat, kita memasang CD Syeikh 'Abdul Rahman Syudais. Tiba di pejabat, kita membuat kerja diringi CD zikir munajat. Masuk zohor kita ke surau pejabat, mendengar tazkirah zohor, kemudian zohor berjema'ah diiringi dengan ba'diyah. Kita menyambung kerja dengan alunan zikir munajat dan nasyid. Masuk 'asar kita bersama kekawan kesurau berjema'ah. Sambil menunggu untuk pulang, kita membaca AlQuran dua tiga muka. Dalam perjalanan pulang, kita memasang CD Syeikh Sa'ad Al Ghamidi.

   Sepanjang hari kita lebih banyak diam walaupun sebelumnya kita kaki sembang. Kita lebih banyak memutar buah tasbih, walaupun sebelumnya kita banyak menjetik buah carrom. Bila kekawan mengumpat mengata, kita lebih banyak beristighfar walaupun sebelumnya kita ni dikenal sebagai Radio burok FM stereo, ketika berjalan dibandar kita banyak tunduk dan bertasbih, walaupun sebelum tu pantang nampak dahi licin punggung bulat, di bazar dan supermarkat kita membeli sekadar yang perlu, walaupun dulu sampai taukeh supermarket tahu kita juara shopping.

   Macam tu punya bagus dan baik kita lalui puasa, namun sampai dirumah, setelah mandi dan berserban jubah menunggu magrib jam 07.15pm, tepat jam 07.14pm kita ambil kurma sebiji, bismillah dan kita makan. Isteri kita pun tegur, "hai abang, belum masuk waktu lagi tu, ada lagi seminit".
Lalu kita jawab, "alahai engkau Minah, dari pagi abang puasa sikit punya bagus, dengan segala tahajjud, quran, zikir dan munajat, takkanlah seminit pun ALLAH nak kira!".

Kita semua tahu, macam mane hebat puasa kita, macam mane champion puasa kita, namun seminit yang kita tolak itu bukan ALLAH tolak seminit, tetapi ALLAH tolak seluruh puasa kita hari itu.
Begitulah bila ALLAH berfirman "Ya aiyuhal lazi na aamanud khuluu fissilmi kaaffah
~Hai orang beriman, terimalah, pakailah, hiduplah, gunalah, peluklah Islam itu sepenuhnya (jangan kamu tolak dan ingkar walaupun setitik)".

Namun dalam kehidupan kita bangsa Melayu beragama Islam dalam negara yang diisytihar Islam, berapa punya banyak syariat Islam kita ingkar dan tolak, dan ada yang yang kita ubah dan kita labelkan sebagai Islam.

Kita letakkan Perlembagaan Persekutuan mengatasi AlQuran sebagaimana terkandung dalam Artikel 4 Perlembagaan. Hingga menyebabkan pemakaian serban disekolah-sekolah menjadi haram (saperti yang diisytihar oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Meor Attiqurrahman), hingga pemakaian jilbab dan purdah menjadi haram di jabatan Kerajaan (saperti dalam kes Halumatussa'adiah);
Kita daulatkan undang-undang Kanun Kesiksaan yang dibawa oleh Lord Reid la'natullah hi 'alaih, dan kita enggan laksanakan hudud, qisas dan ta'zir.

Kita masih bertafaakur dihadapan patung-patung Tugu Negara pada Hari Pahlawan, Hari Angkatan Tentera, Hari Polis dan banyak lagi walaupun muzakarah ke 19 Majlis Fatwa Kebangsaan memfatwakan 22 tahun lepas pada 08.10.1987 bahawa perbuatan itu adalah syirik dan mesti dihentikan serta merta. Lebih malang kita mengesahkan perbuatan itu dengan mengadakan majlis bacaan yaasin.
Kita biarkan wanita Islam dipaksa berpakaian seksi, ketat dan terbelah sana sini di syarikat Air Asia, MAS dan lain-lain, walaupun AlQuran meletakkan wanita ditempat yang sangat mulia sehingga ada surah ALLAH turunkan khusus mengenai wanita sahaja iaitu AnNisaa'.

Malah kita sampai keperingkat menukar ayat AlQuran bilamana ALLAH menyuruh kita rejam penzina, sebat si pemfitnah dengan qazaf dan lain-lain,; namun kita menukarnya kepada denda dan kita labelkan undang-undang itu sebagai Enakmen Jenayah Syariah Islam!!
Dan kita maki hamun dan marah apabila 'ulama' menegur dan menasihatkan kita bahawa perbuatan kufur, syirik, fahsyad, maksiat dan mungkar saperti itu tidak membawa kita ke syurga!

Dalam khutbah kedua, saya memperingatkan diri saya dan para jemaah bahawa hidup didalam fitrah akan memberikan kita keyakinan, ketenangan dan keamanan. Sebagaimana ikan yang tinggal didalam laut, walau bagaimana masin laut itu, tetapi sedikitpun tidak menjejaskan si ikan kerana ia duduk didalam alam fitrahnya. Namun ikan yang tidak masin sedikit pun walaupun tinggal didalam laut masin begitu lama, sebaik sahaja ia keluar dari alam lautan fitrahnya, dan pergi ke pantai, dalam tempoh tak berapa lama, kita campak sedikit garam makan masin piauw lah si ikan itu!

Begitulah manusia, selagi ia hidup di alam fitrah AlQuran dan sunnah, selagi itu ia tidak akan dimasinkan oleh lautan kufur, syirik, fahsyad, maksiat dan mungkar. Namun sebaik sahaja ia keluar daripada alam fitrah AlQuran dan sunnah, hanya dengan sedikit garam kufur, syirik, fahsyad maksiat dan mungkar, ia akan menjadi rosak binasa dalam tempoh yang tidak lama!

Sebaik sahaja kita hidup dialam fitrah AlQuran dan sunnah, dan menjalani kehidupan berdasarkan AlQuran dan Sunnah, insyallah apabila kita dipanggil mengadap ALLAH, kita akan dipanggil dengan begitu manja dan sayang oleh ALLAH saperti dalam surah AlFajr,
   "Ya aiyatuhannafsul mutma'innah, irji 'i ila robbi kiro dhiyatam mardhiah, fad khulii fi 'ibadii, wad khulii jannati-hai jiwa yang tenang, kembalilah engkau dalam keadaan redho dan meredhoi, masuklah kedalam golongan hambaKu, masuklah kedalam syurgaKu".

  Sebab itulah kita bersyukur kepada ALLAH kerana memberikan kita ni'mat Islam dan Iman. Walaupun Abu Tolib duduk tinggal bersama Nabi, melindungi Nabi, makan minum tidur sebantal dengan Nabi, namun dia tidak mendapat ni'mat Iman & Islam.

Walaupun Abu Lahab @ Abdul Uzza Abdul Mutallib menyambut maulidurrosul yang pertama, memberi susu pertama Nabi dimuka bumi ini melalu hamba tercintanya Suwaibah, bukan sahaja dia Pak saudara Nabi, malah ia hidup berjiran dengan Nabi, Hinggakan menjadi besan Nabi bila anak lelakinya 'Utbah dan 'Utaibah berkahwin dengan Umi Kalsum dan Rokaiyah anak perempuan Nabi, namun Abu Lahab berakhir dengan kekufuran dan menjadi manusia terkutuk. Daripada 6.3 billion manusia yang hidup hari ini, hanya 1.8 billion mendapat ni'mat Iman & Islam. 4.5 billion manusia yang hidup bersama kita dimuka bumi hari ini bukan sahaja kufur, neraka jahanam tempat mereka nanti abadan-abada (selama-lamanya).

  Saya juga memperingatkan diri saya dan para jema'ah supaya mengamalkan sunnah Nabi didalam menyambut 'Eidulfitr. Selain daripada berpakaian cantik dan berwarna warni, kita hendaklah datang ke masjid melalui satu jalan dan balik melalui jalan berlainan, dan singgah ziarah kerumah-rumah yang kita lalui. Saya juga mencadangkan agar dimasa hadapan solat 'Eid dibuat dipadang bukan lagi didalam masjid sebagaimana 'amalan Nabi. Selain Syi'ar, ia juga memberi peluang wanita yang haid untuk turut sama. Selain bersalam dan mengucapkan selamat hari raya, lebih afdhal diiringi dengan ucapan;
"taqobbalallah minna waminkum-moga ALLAH menerima semua 'amal 'ibadah kalian dibulan Ramadhan", dan hendaklah dijawab;
"minna waminkum taqobbal ya kareem-moga ALLAH menerima 'amal 'ibadah kamu juga".

  Begitu cantik ajaran Islam, selain do'a mendo'akan, kita juga mendapat pahala atas ucapan itu. Saya juga memperingatkan diri saya dan para jema'ah supaya jangan membazir, dan jangan dihabiskan masa dengan beraya bersama peti tivi[TV]. Amat malang bagi umat Islam zaman moderen ini, menjadikan tivi, movie dan mawi sebagai akrab handai, dan meninggalkan saudara mara, jiran dan sahabat handai.

Moga ALLAH memberikan kita keampunan, dan menganugerahkan kita hidayah dan istiqomah. Moga 'Edulfitr ini mengembalikan umat islam kezaman kegemilangan kita, zaman dimana kita menjadi khoirah ummattin, umat yang diikuti dan dicontohi, bukan kerana kita kaya, bukan kerana kita moderen dan hebat, bukan kerana kita punya bangunan tertinggi jembatan terpanjang mobil tercanggih ekonomi yang hebat, tetapi kerana "ta' muru nabil ma'ruf, watan hau na 'anil mungkar, watu' minu nabiillah-kerana kita menyeru kepada yang ma'aruf, mencegah kemungkaran, dan kita beriman kepada ALLAH".

  Selesai sahaja khutbah, saya sempat beramah mesra dengan para jema'ah yang hadir. Yang paling mengharukan saya, bukan sahaja para jema'ah sekitar Kulim yang datang, malah ada antara mereka daripada Pulau Pinang, utara Perak, termasuk dari Perlis pun ada. Mereka datang semata-mata nak bersolat 'Eid bersama saya, dan kemudian kembali ketempat masing-masing. Datang mereka hanya sekadar mahu mendengar khutbah yang hendak saya sampaikan, kerana mereka mendapat tahu daripada facebook, blog saya dan sumber maklumat yang lain. Alhamdulillah, syukur itu kepada ALLAH.

  Saya kemudian bertemu dengan kanak-kanak yang datang begitu ramai. Sempat saya memberikan duit raya sebanyak RM5-00 seorang. Habis semua 80 sampul yang dibawa. Tetapi seronok melihat kanak-kanak yang ramai itu riuh rendah dapat duit raya. Memanglah tak banyak yang dapat saya beri, almaklumlah duit sendiri, tak macam "golongan tertentu", yang rampok dan sapu wang rakyat, kemudian menjadi Rob-Bin-Hud dan memberi sedikit balik kepada rakyat. Kemudian ada rakyat yang jahlun mencium tangan mengucap syukur kepada Rob-Bin-Hud. Macam seorang perompak yang merompak sebuah teksi, kemudian dia ambil sedikit duit teksi dan berikan kepada pemandu yang dirompaknya, "ini tambang kamu untuk balik rumah", dan si pemandu bukan main berterima kasih kerana mendapat sedikit duit tambang, "bagus si Rob-Bin-Hud, dia sedekahkan sikit duit tambang untuk saya balik..!! Begitulah bengongnya segelintir daripada kaum yang dipanggil Melayu!!!
Saya sangat bernasib baik kerana lelongan baju Melayu di kilang Shinetsu dan beberapa tempat lain mendapat sambutan luarbiasa. Maklumlah baju baru dilelong RM10-00 sepasang. Berebut mereka, habislah lapan kotak :))
Setelah itu, saya sempat berhari raya dibeberapa rumah, termasuk rumah saudara pengerusi Masjid Muhajirin di Taman Tunku Putra iaitu saudara Shamsuddin.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih dan jazakallah kepada sahabat saya saudara Ustadz Khari yang telah mengatur program saya. Juga kepada saudara Shamsuddin dan AJK Masjid yang memberi layanan yang baik kepada saya. Tidak lupa kepada putera-puteri Kilang Shinetsu yang banyak membantu saya termasuk memberi sumbangan beras dan lain-lain, selain menghabiskan stok lelongan baju Melayu. Insyallah tahun depan kita lelong lagi!

Saya kemudiannya memulakan ziarah 'Eidulfitr diseluruh Parlimen Kulim Bandar Bharu, bermula daripada Terap ke Badlishah, kemudian ke Sg. Tengas, Sg. Taka, terus ke Ulu Mahang, Kg. Lobak, kemudian ke Selama dan Kg. Sg. Salleh. Saya sempat ke Lubok Buntar dan Serdang, sebelum terus ke Parit Nibong dan Bandar Bharu. Setelah itu ke Kg. Tebuk Mat Rashid dan Kg. Permatang Pasir, sebelum terus ke Junjong dan Taman Jelutong, Taman Bersatu dan Taman Jati. Sebelum pulang saya sempat singgah di Sg. Karangan, sebelum terus ke kampung di Baling. Insyallah saya akan menyiarkan gambar-gambar yang sempat dirakam semasa kembara 'Eidulfitr tersebut. Keseluruhannya saya cloock-in dalam 198 km, daripada pukul 08.00am hinggalah waktu maghrib, dengan solat jama' ta'khir maghrib/isya di Masjid Carok Bemban, Baling.
Allah hu akbar, Allah hu akbar, Allah hu akbar, walillah hilhamd.
Salam 'Eidulfitr dengan ucapan taqobbalallah minna waminkum.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Ahad
01 Syawal 1430
20 September 2009

No comments:

Post a Comment